“Ada nampak faiha tak bang?”, tanya ummi.
“Tak de plak nampak. Kenapa?”, jawab ayah.
“Dia tak de kat sini. Tadi dia ada dengan sayang. Abang tolong carikan bang”, jelas ummi cemas.
Risau sungguh hati kami bila Faiha binti Asri tiada di depan mata. Baru sebentar tadi kelibatnya ada bersama ummi yang tidak ikut jogging bersama opah kerana bawaan baby dalam kandungan. Puas ummi ayah bersama paklong mencarinya di taman permainan yang padat dengan kanak-kanak bermain riang tetapi Faiha tidak kelihatan.
“Macam mana ni abang? Kita cuba cari kat bawah nak?”, cadang ummi setelah puas mencari.
Ayah mengiyakan sahaja kerana sudah puas kami mencari di kawasan kami berkumpul. Sahabat-sahabat semuanya sedang ber’jogging’ dan ayah baru sahaja selesai melengkapkan satu pusingan Taman Tasik Permaisuri tersebut. Cemasnya kami tidak terkata kerana ummi ditugaskan manjaga makanan dan anak-anak kecil sahabat. Sebelum itu Faiha kelihatan mengikut abangnya Muadz bermain dan tiba-tiba hilang dari pengawasan ummi kerana sibuk menjaga anak kecil yang lain.
Ummi ayah tidak putus-putus berdoa dan mencari kelibat anak comel tersebut. Berbagai-bagai tanggapan buruk terlintas di benak kami dan berharap tiada apa-apa terjadi pada Faiha dan dilindungi Allah dari sangkaan buruk kami. Semoga Faiha terselamat dari berita-berita sedih yang melanda ibu bapa yang kehilangan anak. Nauzubillah.
“Ada nampak Faiha tak?”, tanya ummi pada Aisyah yang turut serta ber’jogging’.
“Dia ada tadi dengan ummi dia. Dia nak ikut akak dengan ummi dia jogging sekali”, jawab Aisyah.
Alhamdulillah. Lega sungguh hati kami mendengarnya. Risau apa-apa yang tidak diingini terjadi pada anak kecil sahabat ummi ayah tersebut. Kami boleh bayangkan ketakutan anak tersebut sekiranya dia menangis atau dikelilingi dengan orang yang tidak dikenalinya. Kanak-kanak sekecil itu yang tidak lagi mengenal dunia yang semakin tidak berperikemanusiaan ini.
Itulah perkara cemas yang terjadi semasa rehlah kami sekeluarga di Taman Tasik Permaisuri bersama sahabat-sahabat tercinta. Sudah lama kami tidak berkumpul di sana lebih-lebih lagi ummi ayah yang sudah lama tidak pulang menjenguk opah di Cheras. Seronok rasanya dapat berjumpa kerana kasih sayang yang terjalin antara kami. Berbual-bual mesra hinggakan terlupa waktu sudah menginjak tengahari. Menjelang pulang, kami sempat bersalam-salaman tanda perpisahan kerana Allah. Sempat juga ummi mencuit pipi Faiha yang sungguh chubby dan menjadi kerisauan hati kami sebentar tadi.
Kami berharap dapat bertemu lagi dengan sahabat-sahabat yang menenangkan hati kami yang terkadang sibuk dengan urusan duniawi. Semoga ukhuwwah yang terjalin sesama kita berkekalan hingga ke syurga hendaknya. Amin.
No comments:
Post a Comment