Perbezaan bukan alasan untuk tidak bahagia. Hati ummi tercuit untuk menulis tentang ini kerana sesungguhnya, ummi dan ayah adalah dua insan yang sangat berbeza dari segi latar belakang, prinsip hidup, karakter, minat, dan banyak lagi yang tak akan dapat ummi senaraikan di blog ini. Cuma ingin ummi nyatakan kepada anak ummi bahawa ummi dan ayah punya cita-cita yang sama dalam rangka menegakkan deen Islam dan kerana itulah jua kami bahagia bersama mengemudi rumahtangga yang dibina ini. Buat sahabat-sahabat semua, sesungguhnya baru diri ini sedar bahawa perbezaan tidak membataskan kebahagiaan.
Pasti anak-anak ummi dan sahabat-sahabat sekalian tertanya-tanya kan apakah perbezaan ummi dan ayah. Sekadar berkongsi dengan anak ummi yang bakal lahir ini dan sahabat-sahabat ummi ayah agar kita semua dapat bertaaruf dengan lebih dalam lagi.
Sewaktu di Sek. Men. Sains Tuanku Jaafar, ummi adalah seorang atlit sekolah yang seringkali terlibat dengan aktiviti olahraga di peringkat daerah. Sungguh banyak pingat emas yang telah ummi rangkul dalam acara balapan. Kenangan yang paling tak dapat ummi lupakan adalah menjadi johan merentas desa sekolah dan johan jogathon. Ummi juga sprinter sekolah. Banyak masa ummi dihabiskan di padang untuk latihan dan ummi telah banyak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Terbit rasa kecewa kerna ummi juara di padang, tetapi bukan di kelas.
Ayah pula sungguh berbeza dengan ummi. Komitmen ayah terhadap kelas dan pelajaran tidak berbelah bahagi. Ayah bukan seorang yang rajin mentelaah (ummi pun sama je), tapi ayah punya daya tumpuan yang sangat tinggi di dalam kelas. Otak ayah menangkap setiap bait-bait kata cikgu seperti sebuah kamera. Ummi jeles dengan ayah sebab ayah tidak pernah gagal untuk naik ke atas pentas bila tiba Hari Anugerah Cemerlang. Keputusan ayah juga tidak mengecewakan bila tiba peperiksaan PMR dan SPM. Pokoknya, ayah memang student straight A`s lah. Sampai di matrik pun begitu, kecemerlangan berterusan hingga kini. Ayah memang juara di kelas.
Dahulunya, ummi sangat pelik dengan kejayaan ayah. Ada sedikit rasa cemburu di hati ummi. Ummi rasa, sungguh gelap hati ini untuk menerima ilmu. Ummi cuba mengorek rahsia belajar ayah, tetapi jawapannya sungguh menghampakan sebab ayah kata setelah segala usaha dikudratkan, kita harus bertawakal kepada Allah di samping sentiasa berdoa dan itulah yang ummi tidak lakukan (ummi pula yang kena komen). Sebenarnya, bukan itu jawapan yang ummi mahukan daripada ayah. Dalam diam ummi aplikasikan segala nasihat ayah. Ummi takutkan kegagalan dan ummi tidak mahu keputusan akademik ummi menjadi fitnah kepada perkahwinan ini. Alhamdulillah, telah dua kali ummi mencapai kecemerlangan yang sebenar iaitu sewaktu ummi baru melansungkan perkahwinan dan sebelum ummi mengandungkan baby. Alhamdulillah, terkena juga tempias kepintaran ayah kepada ummi. Hehe.
Harapan ummi, kecemerlangan ini dapat membantu jalan Allah. Semoga anak di dalam kandungan ummi ini berjiwa besar dan punya cita-cita yang tinggi. Anakku, ummi harap baby ummi ni akan menjadi muslim yang serba boleh ya.
p/s:
Jelas sangat dari pengalaman ini bahawa perbezaan di antara suami isteri ataupun dengan sahabat-sahabat, bukanlah patut dijadikan alasan bahawa kita tidak sekepala, tidak boleh bersama mahupun hidup bahagia. Sebenarnya perbezaan inilah yang menjadikan kita semua saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kelebihan suami isteri atau sahabat kita, mendokong kelemahan kita. Perbezaan inilah jua yang mencorakkan hidup kita dengan pelbagai warna menjadikan hidup ini cukup indah untuk dilalui bersama.
No comments:
Post a Comment