Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Blog Archive

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

February 28, 2009

Nenek dan atuk


Keluargaku

Merekalah insan yang paling ayah sayangi yang banyak mengajar ayah erti kehidupan ini. Kehidupan yang penuh pancaroba dan ujian yang kadang-kala kita sendiri tidak mampu hadapinya. Alhamdulillah, ayah dikurniakan ibu dan bapa seperti nenek atuk yang banyak mencorakkan diri ayah hingga menjadi seperti sekarang ini. Tingginya kesabaran mereka dalam melayani karenah ayah terutamanya sewaktu kecil dahulu.

Ayah ini bukanlah budak yang baik atau pendiam semasa kecilnya dan terkenal dengan kenakalan ayah di kalangan sepupu terdekat. Dilahirkan sebagai cucu lelaki sulung dalam keluarga besar atuk menjadikan ayah sedikit sebanyak berpengaruh dalam keluarga ayah (ye ke? Yelah agaknya).

Pernah pada suatu hari ayah dilarang menggunakan remote TV kerana asyik menukarkan siaran kartun sepanjang hari dan menghalang orang lain daripada menonton siaran yang lain. Sekeluarga marah dengan ayah setelah puas dinasihati dan degil untuk memberikan remote tersebut secara baik, maka terpaksalah dirampas dari ayah. Dengan kenakalan dan kedegilan yang terkenal di kalangan saudara, ayah menyorokkan bateri remote tersebut dan membaling pasir pada insan yang memarahi ayah (bukan nenek atau atuk). Habis kotor makcik ayah itu dengan pasir dan kesannya ayah semakin dimarahi dan dihukum tidak boleh memegang remote sepanjang minggu tersebut. Hehe. Nakal jugak ayah ni sampai baling pasir kat orang ye. Ish ish.

Kisah kenakalan ayah pada adik-beradik ayah (makcik-makcik baby) pun apa kurangnya. Pernah satu ketika ayah bergaduh dengan maksu baby yang selalu melaporkan kesalahan ayah pada nenek atuk. Ayah hilang sabar hingga membaling sebatang kayu padanya hingga berdarah kepala maksu. Kalau difikirkan balik kesian jugak maksu baby tu. Tapi tak pelah, ayah budak kecik lagi masa tu. Huhu.

Maksu pun menangis kesakitan dan terus berjumpa nenek yang sedang membasuh pakaian ketika itu. Kemarahan nenek tidak tertanggung lagi kerana karenah ayah ditambah kepenatan menguruskan rumah tangga dan bekerja di siang hari, terus mengejar ayah dengan gayung ataupun cetong. Ayah pun terus melarikan diri dan pulang apabila kemarahan nenek telah reda. Walaupun reda tetapi ayah tetap dihukum dengan rotan atas kesalahan mencederakan maksu (sorry maksu ye).

Memang penat rasanya ingin mendidik anak yang degil dan nakal ini. Kalau tak kena caranya hilang kesabaran kita walaupun tahu anak kita sememangnya degil. Tetapi dalam mendidik anak janganlah kita terlalu berlemah lembut dan membiarkan anak-anak berbuat sewanang-wenangnya. Hukuman nenek atuk setimpal dengan kesalahan yang ayah lakukan. Ayah redha dengan segala yang nenek atuk lakukan kerana semuanya untuk kebaikan ayah juga. Baby jangan nakal-nakal tau macam ayah dulu. Kesian ummi ayah nanti.

Ayah dididik untuk membesarkan perintah solat oleh nenek dan atuk sedari kecil lagi. Walaupun ayah tidak memahami dengan sebenar-benarnya kewajipan solat, tetapi ayah diajar supaya menunaikan solat bersama-sama atuk sejak berumur 4 tahun lagi.

“Kenapa ayah tak kejut apis tadi?”, tanya ayah pada atuk menangis.

“Apis tak sedar ayah kejut tadi. Tak pelah, apis boleh solat sendiri nanti”, pujuk atuk meredakan tangisan ayah.

Kejadian ayah tidak dapat bersolat jemaah bersama atuk semasa ayah berumur lima tahun. Ayah menangis teresak-esak kerana lazimnya kami bersolat sama dan ayah mengikut sahaja segala pergerakan atuk dalam solat. Ketinggalan bersolat bersama atuk membuatkan ayah sedih kerana ayah masih tidak hafal lagi segala pergerakan dalam solat subuh hatta rakaat solat subuh.

Kenangan yang tersimpat erat dalam memori ayah dan tidak mungkin ayah lupakan berkat kesabaran atuk mengajar ayah mengenal Islam melalui solat berjemaah. Mengejutkan ayah untuk bersolat dan mengajar ayah cara-cara mengambil wuduk dengan sempurna. Terima kasih buat atuk yang tidak pernah jemu mengajar ayah perkara paling berharga dalam hidup kita.

InsyaAllah ayah akan cuba sedaya upaya untuk mendidik baby dengan cara hidup Islam yang sebenar-benarnya. Segala pengajaran nenek atuk yang penuh kasih sayang itu akan ayah aplikasikan dalam mendidik baby kelak. Semoga Allah memberkati atuk nenek buat selama-lamanya.

“Ya Allah, engkau ampunilah diriku dan kedua ibu bapa ku. Dan engkau kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi daku ketika kecil.”

February 27, 2009

Pertemuan Pertama Ayah

1st birthday abang slps kami kahwin...

Waktu kat strawberry farm

Macam mana agaknya pertemuan pertama atau ‘dating’ kami yang pertama?

Ayah ada beritahu sebelum ni yang ayah tak pernah ber’dating’ kecuali kalau opah aki datang ke sekolah ummi ayah. Sudah semestinya perasaan takut, gementar, risau dan bermacam-macam lagi perasaan bercampur-baur dalam hati ayah. Manakan tidak, opah dan aki ingin berjumpa dengan budak lelaki yang minat pada anaknya, ummi. Takut dimarahi opah aki kerana berani meng’approach’ ummi, takut dikecewakan kerana anaknya tidak bersedia lagi ntuk bercinta, takut itu, takut ini dan macam-macam lagi takut bermain di benak ayah.

Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja ayah cancel pertemuan dengan opah aki pada masa itu. Yelah siapa yang tak takut kalau pihak perempuan yang baru sahaja diluahkan perasaan cinta padanya, terus dipanggil ‘interview’ oleh orang tuanya. Macam nak masuk temuduga kerja pulak. Huhu. Sekiranya berjaya, anda akan dipanggil bekerja di sini. Tetapi sekiranya gagal, anda dikehendaki meninggalkan hasrat anda itu buat selama-lamanya. Dahsyat bunyinya tu.

Dalam kerisauan yang teramat sangat dan ketakutan yang melampau, ayah gagahkan diri juga untuk bertemu bakal ibu dan bapa mertua ayah (macam dah yakin pulak akan berkahwin dengan si dia tercinta. Hehe). Segalanya bermula dengan kisah ‘steamboat STJ’.



Pada waktu yang ditetapkan di pagi ahad yang redup, abang ummi ataupun paklong memanggil ayah dari asrama (kami bertiga: ayah, ummi dan paklong belajar di tempat yang sama, STJ. Paklong tua setahun daripada kami). Katanya opah dan aki sudah tiba di sekolah. Pertemuan bersejarah yang terjadi di bawah sebatang pohon terletak di belakang Dewan Seri Bestari.

Kedatangan ayah disambut dengan senyuman opah dan aki. Perasaan gementar dalam diri ayah sedikit sebanyak hilang dengan senyuman mesra opah dan aki.

“Nampaknya mereka ni tak kisah aku berkawan dengan anak diorg”, hati ayah berkata-kata.

Opah aki menyambut kedatangan ayah dengan raut wajah ceria dan menyenangkan. Pertemuan yang dimulai dengan pengenalan antara kami, seterusnya latar belakang keluarga kami dan cerita-cerita lucu tentang ummi. Banyak juga rahsia ummi terbongkar dengan ayah pada masa tu. Hehe (gelak jahat).

Semasa pertemuan itu, ayahlah orang yang paling senyap sekali dek kerana malu dan segan dengan opah aki. Opah dan aki ini memang berkelebihan untuk mudah mesra dengan semua orang tidak kiralah siapa pun orang tersebut. Keramahan dan kerendahan hati opah aki inilah yang membuatkan ayah selesa pada pertemuan tersebut walaupun bertambah segan. Umpama kami sahabat karib yang telah terpisah berpuluh-puluh tahun dan baru sahaja bertemu kembali. Baby pun boleh bayangkan bagaimana ramahnya opah aki baby ni. Nanti baby pun mesti peramah macam opah aki kan.

Sewaktu pertemuan bersejarah itu, opah membawa hidangan steamboat yang tidak pernah ayah rasai. Itulah pertama kali ayah merasai nikmat steamboat lebih-lebih lagi yang disediakan oleh opah. Bertambah-tambah sedaplah kerana yang membuatnya opah aki dengan penuh kasih sayang kepada bakal menantu meraka (sekarang sudah jadi menantu tersayang). Setiap persoalan dijawab ayah sepatah demi sepatah. Perasaan malu yang menebal membuatkan ayah berat mulut untuk berkata-kata. Seboleh-bolehnya ayah mahu menjawab dengan perkataan yang paling minima sekali. Malunya memang tak dapatlah dibayangkan. Sehingga hendak menambah hidangan yang sedap ni pun perlu dipelawa opah aki.

“Jemputlah tambah. Jangan malu-malu”, pelawa opah pada ayah.

Ayah mengangguk sahaja. Tiada sepatah kata keluar dari ayah yang malu-malu kucing kononnya. Hendak tapi malu. Kalau malu, lapar kata orang. Nasib baiklah opah faham ayah berkeinginan lagi stemboat lazat tu. Kalau tidak, mengidamlah ayah steamboat tu yang tidak puas lagi ayah melahapnya (uiish, dahsyatnya sampai melahap). Biasalah budak asrama. Kalau nampak makanan yang sedap ‘sure’ habis punya. Hingga licin dibuatnya. Sampai burger yang dijual Cikgu Ramlan yang direbus pun habis sekelip mata. Betapa pelahapnya budak-budak asrama ni.

Berakhirnya pertemuan itu atau ‘dating’ pertama ayah dengan bekal opah pada ayah. Seronok tak terkata dapat menjamah lagi steamboat yang sungguh lazat. Bolehlah ayah berlagak sedikit dengan kawan-kawan asrama.

Aku dapat bekal dari bakal ibu dan bapa mertua. Hehe. Jangan jeles.

Kereta aki meluncur keluar dari perkarangan STJ menghala pulang ke Cheras. Hilangnya kelibat meraka, maka muncul pula rasa rindu pada opah dan aki. Rindu rasanya ingin berbual-bual dengan opah aki walaupun hanya sepatah dua yang ayah tuturkan. Rindu masakan enak disediakan opah aki. Sayang dan kasih ayah pada bakal ibu dan bapa mertua ayah yang sangat ‘sporting’ ini.

Ingin rasanya ayah kembali pada masa lalu merasai nikmat pertama ukhuwwah yang terjalin antara ayah dan opah aki. Dan sekarang hubungan suci ini diteruskan lagi dengan perkahwinan ayah dan ummi atau lebih tepat lagi perkahwinan dua keluarga iaitu keluarga ayah serta keluarga ummi. Ayah berharap agar ukhuwwah yang terjalin mampu untuk mendorong kita ke syurga yang abadi. InsyaAllah.

February 26, 2009

Pengubat Rindu




Salah satu perkara yang ummi ayah rindukan saat ini ialah kakde ataupun ‘ammah baby. Sudah 3 bulan berlalu sejak ‘ammah dan ‘ammu meninggalkan kami merantau ke negeri orang atas dasar ilmu. Negeri yang pernah disinggung di dalam al-Quran mengingati kisah cinta Ratu Balqis dan Nabi Allah, Sulaiman. Ratu yang terpesona dengan kehebatan empayar Nabi Sulaiman jauh melebihi empayarnya dihiasi istana tersergam indah yang berlantaikan kaca umpama air mengalir di bawahnya.

Aslm abg apiz pkabo?, muncul satu window ym di emel ayah daripada adik ipar tercinta.

alhamdulillah sihat?kakde sihat? xde kelas ke?, jawab ayah kembali.

Itulah permulaan ym ayah bersama adik ipar ataupun ‘ammah baby. Kasihan sangat ayah tengok adik ipar ayah ni yang demam dek kerana sejuk di Sanaa’ sana. Keadaan tubuhnya yang tidak lagi mampu untuk membiasakan diri dengan cuaca sejuk di Yaman, tempat ‘ammu dan ‘ammah menyambung pelajaran. Kembali ke tempat asal ‘ammah iaitu istana Balqis yang menjadi saksi kehebatan Nabi Sulaiman memindahkan istananya dalam sekelip mata.

Kenapa tempat asal ‘ammah istana Balqis?

Mesti itu persoalan yang bermain di minda baby kan. Bukanlah ‘ammah lahir di Sanaa’ atau pernah menetap di sana tetapi kerana persamaan nama ‘ammah dengan ratu yang hebat di zamannya, Balqis. Kami semua mengusik ‘ammah yang umpama sirih pulang ke gagang, di mana akan mengikut suaminya ke Sanaa’ sebaik sahaja selepas berkahwin untuk tinggal di istana Balqis. Hehe.

Keadaan cuaca yang sejuk di lembah itu menyebabkan ‘ammah umpama wajib mengambil MC setiap minggu walaupun telah 3 bulan berlalu sejak mereka meninggalkan Malaysia. Kasihan sangat dengan keadaan ‘ammah baby di perantauan sana yang jauh dari keluarga dan sentiasa teringatkan keluarga tercinta di tanah air. ‘Ammah dinasihatkan ‘ammu untuk mengambil penawar yang terdapat di dalam al-Quran terutamanya madu yang banyak khasiatnya.

Bukanlah ‘ammah ‘ammu tidak mahu pergi ke klinik berjumpa doktor untuk pemeriksaan formal, tetapi caj yang dikenakan terutamanya foreigner melampaui dari yang sepatutnya iaitu RM90 untuk sekali rawatan beserta ubat. Lebih baik mengambil syifaa yang terdapat di dalam Kalamullah ditambah dengan ilmu sains al-Quran yang dipelajari ‘ammu. Sudah tentu jauh lebih murah terutamanya di negara Timur Tengah yang mempunyai banyak bekalan dan mudah didapati. Semoga ‘ammah dapat biasakan diri dalam cuaca sejuk yang tidak menentu di sana.

Baby tahu tak perkara pertama yang ditanya ‘ammah pada ayah selepas khabar ayah di sini.

Perut angah dah nampak ke?

Sayangnya ‘ammah pada anak buahnya tidak diragui lagi walaupun belum melihat dunia nyata dan masih sangat kecil dalam kandungan ummi. ‘Ammah ‘ammu pun tak sabar hendak berjumpa baby bila lahir kelak. InsyaAllah semasa waktu baby lahir nanti, ‘ammah ‘ammun akan pulang ke Malaysia untuk menyambut kelahiran yang ditungu-tunggu ini.

Pada awalnya, kami sekeluarga tidak pasti ingin memanggil ‘ammah ‘ammu dengan panggilan apa jika baby sudah lahir kelak. Saja hendak mencari panggilan sesuai buatmu anakku bila lahir kelak. Cadangnya ingin dipanggil makde pakde atau ummude pakde, yang sesuai dengan gelaran kakde untuk ‘ammah dalam adik-beradik ummi. Tetapi hajat ‘ammah ‘ammu untuk dipanggil ‘ammah dan ‘ammu diterima kami sekeluarga. Katanya ‘ammah, panggilan buat pakcik dan makcik di Yaman. Yelah orang dah duduk kat Yaman kan. Mestilah nak jadi orang Yaman kejap. Ambil berkat bumi bertuahlah katakan. Hehe. ‘Ammah jangan marah, nanti baby gigit ‘ammah.

Terubat jua rindu kami pada ‘ammah walaupun dalam waktu yang singkat ber’ym’ kerana terputus talian di sana. Ummi ayah sentiasa doakan kebahagiaan dan kebaikan yang banyak buat ‘ammah ‘ammu di bumi anbia sana. InsyaAllah.

Semoga kalian cepat-cepat pulang ke Malaysia ye…

Rindu sangat pada Balqis (`ammah) dan Ali (`ammu)…

p/s: Balik Malaysia nanti, angah masakkan tempoyak ikan patin dan asam pedas ye…

February 25, 2009

Janji seorang kekasih...

Macam dalam cerita wayang pulak

Bila bercinta tu macam-macam janji ditabur untuk mencuri hati pasangan yang dicintai. Sanggup mengharungi lautan berapi. Sanggup mendaki gunung yang tinggi. Sanggup juga sehidup semati. Dahsyat sungguh kuasa cinta ni ye. Macam tak ada apa-apa yang boleh menghalangnya kan. Ayah ni tidaklah pandai bermadah. Cuma, kalau nak meng’ayat’ ummi sikit-sikit tu pandailah (betul tak ummi. Hehe). Kalau tak takkanlah ummi boleh ‘sangkut’ dengan ayahkan. Betul tak baby? Ummi jangan marah, nanti ayah suruh baby tendang ummi. Hehe.

Ayah pun sebenarnya tidak terkecuali untuk berjanji ketika kami becinta dahulu. Tapi bukanlah janji yang melampau-lampau hingga ‘sanggup ku renangi lautan berapi’. Kalau sanggup jawabnya, mati hanguslah ayah tak dapat kahwin dengan ummi. Janji ayah simple je. Janji kami akan bersama-sama ke UIA untuk memudahkan hidup kami bersama sebagai sepasang suami isteri. Ingatkan segalanya berjalan lancar tetapi datang juga ujian dari Allah untuk menguji kekuatan janji ayah pada ummi.

Ujian tu datang sewaktu kami sedang menunggu keputusan SPM dikeluarkan. Sebelum itu ayah ada pergi ke interview di UTP untuk menyambung pengajian sama ada di UTP atau di luar negara. Tiada harapan diletakkan kerana janji kami untuk melanjutkan pelajaran di UIA. Semua pelajar yang akan di’ interview’ dikehendaki untuk berada di UTP selama seminggu untuk dinilai dari progam-program yang dianjurkan.

Tiba-tiba handset ayah berbunyi pada suatu petang, nombor tidak dikenali tertera.

“Hello, ini En. Mohd Hafiz bin Mohd Norrizan?”, satu suara bertanya di hujung talian.

“Ye, saya bercakap”, iya ayah tertanya-tanya.

“Saya dari pihak UTP. En. telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dalam masa terdekat ini surat tawaran akan sampai ke rumah En. Hafiz. Segala maklumat lanjut akan diberitahu dalam surat itu nanti”, sambung pemanggil itu.

“Baiklah. Terima kasih”, ayah menghentikan perbualan.

Berbagai-bagai perasaan bercampur-baur dalam hati ayah. Terkejut, gembira, terpinga-pinga dan dalam masa yang sama sedih. Ayah tidak menyangkakan akan mendapat apa-apa tawaran dari UTP kerana janji kami untuk bersama dan pergi interview sekadar untuk berseronok sahaja. Tiada yang serius semasa interview dan tiada tekanan untuk mendapatkan tawaran tersebut. Mungkin ini perancangan Allah untuk menguji hubungan ummi dan ayah.

Semasa ayah mendapat panggilan tersebut, ummi dan opah sekeluarga sedang berada di SOGO membeli barang keperluan. Sebaik mendengar berita tawaran itu, ummi terus tiada ‘mood’ untuk berjalan-jalan. Setitis demi setitis air mata ummi berguguruan membasahi pipi. Ummi sedih sekiranya ummi terpaksa berpisah dengan ayah untuk tempoh masa yang agak lama. Takut ayah lupa pada janji kami untuk bersama. Risau perkara tidak diduga dalam hidup kami kelak.

Sebaik tiba di rumah, ummi terus masuk ke bilik dan menangis sepenuh hati. Satu-satunya adik perempuan ummi atau ‘ammah baby (semoga ‘ammu dan ‘ammah baby berbahagia di Sanaa’) masuk ke bilik dan turut menangis bersama-sama ummi. Opah memujuk kedua-duanya agar reda kesedihan mereka. Walaupun sedih, tapi lucu juga ‘ammah baby (Balqis) ni ye. Boleh dia menangis sekali dengan ummi yang sedih mendengar berita tu.Ish ish. Itulahkan, mungkin inilah namanya hati wanita. Cepat tersentuh dengan kesedihan orang lain lebih-lebih lagi dengan kesedihan saudaranya sendiri.

Ayah telah bertekad untuk tidak menerima tawaran tersebut demi janji ayah pada ummi. Ayah yakin itulah yang terbaik buat kami sekiranya ingin meneruskan perhubungan kami ke alam perkahwinan. Ayah ni tidaklah sekuat mana untuk menghadapi dugaan dan tekanan di luar negara kelak. Risau segala yang dirancang tidak menjadi dalam rangka untuk mencapai redha Illahi.

Surat tawaran tiba di rumah nenek atuk, dan ayah terus membukanya. Ayah dikehendaki mendaftar di KDU pada tarikh yang ditetapkan(tak ingat tarikhnya) untuk persediaan A-level dan akan dihantar sama ada ke UK, Australia atau New Zealand bergantung pada keputusan A-level nanti. Ayah menunggu hingga tarikh itu tiba dan tetap tinggal di rumah tanpa persediaan untuk ke KDU. Nenek atuk tidak pernah memaksa anak-anaknya. Mereka menghormati keputusan anak-anak sekiranya itu yang terbaik. Pada hari pendaftaran ke sana, ayah menerima panggilan dari pihak UTP.

“En. hendak menolak tawaran yang En. terima ke?”, tanya seorang perempuan berbangsa India di hujung talian.

“Ya, saya”, jawab ayah.

“Kenapa En.? Adakah En. tidak berminat bidang yang ditawarkan?”, tanyanya lagi.

“Ya. Saya kurang berminat dengan bidang yang ditawarkan”, jawab ayah lagi.

“Jadi En. memang menolak tawaran ini?”, ingin kepastian.

“Ya. Saya menolak. Terima kasih atas tawaran tersebut”, tanda penghargaan.

“You’re welcome. Have a good day”, dia mematikan perbualan kami.

Jika diikutkan hati ayah, handak rasanya ayah terima tawaran itu sebab ayah memang sangat berminat dalam bidang perakaunan. Itu merupakan salah satu bidang yang ayah idam-idamkan selain computer engineering dan beberapa bidang lain. Tetapi janji ayah pada ummi mengatasi tawaran tersebut sekiranya ayah ingin beristerikan ummi suatu masa nanti.

Bukanlah ayah ni hebat sangat semasa interview tersebut. Rasanya ramai lagi pelajar-pelajar dari sekolah lain yang lebih hebat dan lebih ‘fluent’ berbahasa Inggeris dari ayah yang terangkak-rangkak mencari perkataan yang sesuai untuk berbicara dalam bahasa Inggeris. Mungkin salah satu faktor yang menyebabkan ayah terpilih ialah semasa interview yang menghendaki kami seramai 4 orang dalam satu kumpulan berdebat menentukan cara mana yang terbaik untuk menyelesaikan satu masalah berkaitan komputer (ayah pun tak ingat pasal apa).

Yelah kalau orang dah minat pasal komputer macam ayah ni walaupun tidak seberapa ilmunya (yelah nak ambil computer engineeringlah katakan. Huhu), tahulah serba sedikit berkenaan tajuk yang kami debatkan. Tidak semena-mena semua pelajar dalam kumpulan ayah telah bersetuju untuk memilih cara penyelesaian ayah yang memang ayah sudah tahu sebelumnya. Alahai, janganlah mengalah sebelum masanya tamat. Inikan debat. Tak boleh bersetuju dengan pihak lain sekiranya ingin merebut peluang tawaran dari UTP. Habis segala harapan.

Tapi tidak mengapa. Tawaran UTP bukanlah segala-galanya di dunia ini. Hanya satu tawaran yang nak tak nak kita kena kejar atau dapatkan ‘by hook or by crook’ iaitu tawaran redha Illahi. Ayah doakan 3 orang kawan ayah semasa interview itu mendapat apa yang mereka hajatkan. Amin.

Alhamdulillah tak rugi ayah tolak tawaran tu. Sekarang ayah dapat masuk UIA Kuantan sama dengan ummi. Ayah dapat kahwin dengan ummi. Dan yang paling gembira sekarang ni, ayah dapat hadiah yang paling besar iaitu kehadiran baby yang sudah pandai mengexplore perut ummi.

Semoga cerita ummi ayah ini dapat memberi seribu kebaikan buatmu anakku yang semakin membesar dalam kandungan. Jangan nakal-nakal tau. Kesian ummi.

With love, ummi dan ayah.

February 24, 2009

Ummi dah semakin sihat.....




Alhamdulillah, ummi dah beransur sembuh hari ini berkat makan madu. Muntah-muntah pun dah banyak kurang. Ummi bersyukur sgt sbb ummi dah ada selera nak makan, walaupun ummi rasa masih tak cukup lagi untuk ibu mengandung seperti ummi. Ayah pun selalu habiskan makanan ummi. Semalam, ummi tak berapa lena tidur. Bila telentang, rasa cam ada benda dalam perut ummi yang himpit diaphragm ummi. Bila ummi mengiring, sakit pinggang plak. Semakin hari, perut ummi makin membesar. Sekarang ummi tak dapat nak meniarap dah bila buat assignment sebab ada benda bulat dalam perut ummi. Waktu ummi teruk muntah-muntah, ummi cakap dengan ayah yang ummi rela perut besar dari muntah, tp bila dah kurang muntah dan perut dah besar skit, ummi rasa ummi rela muntah plak. Ish ntah apa-apa la ummi ni. Macam tak bersyukur je.

Sekarang ni, ummi pemalas sangat. Nak angkat buku-buku ummi sendiri pun ummi tak larat. Semuanya ummi harapkan ayah. Kasihan juga melihatkan suami yang terpaksa melayan kerenah isterinya ini. Ummi janji, bila ummi betul-betul sihat nanti, ayah plak manja dengan ummi ye.

Ummi tengah kat kelas ni. Rindunya kat zauj tercinta.

Baby cepatlah membesar tau, ummi dan ayah dah tak sabar nak jumpa baby.

Sayang sangat kat Abang dan Baby...

Sekolah Temu Jodoh (STJ)






Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar

Boleh juga dipanggil Sekolah Temu Jodoh

Itulah ungkapan sekolah ummi ayah yang terletak di Kg Gentam, Kuala Pilah. Semasa mula-mula masuk ke sana, kami telah disogokkan dengan gelaran sekolah kami yang tidak diketahui samada betul atau tidak.

“Betul ke ramai yang masuk sekolah ni jumpa jodohnya?”, tanya kami sesama sendiri.
“Betul!!. Kalau tak caya tanyala orang lain”, kata seorang senior mencelah.

Wah, hebat betul penangan sekolah ni ye. Barang siapa yang masuk sekolah ini, maka akan berjumpalah dengan jodoh masing-masing. Mungkin tidaklah semua akan bertemu jodohnya di sekolah ummi ayah ni, tapi bilangan pasangan yang agak ramai melayakkan gelaran tersebut kepada sekolah kami ni.

Bukanlah seorang dua yang berkahwin sesama sendiri dari kalangan pelajar sekolah ummi ayah ni tapi sehingga mencecah puluhan malah mungkin ratusan jika dikira dari ‘super super senior’ kami. Apa yang ayah tahu, ramai senior yang jarak umur dekat dengan kami telah berkahwin dengan schoolmate masing-masing.

Guru juga tidak ketinggalan bertemu jodoh masing-masing dari kalangan guru juga. Cikgu Nuruddin dan seorang warden perempuan (maaf cikgu tak ingat nama) merupakan salah satu pasangan yang berkahwin sesama sendiri. Itu belum ditambah lagi dengan pasangan guru yang sama-sama mengajar di sekolah kami walaupun tidak bertemu jodoh di sini, Ustaz Syamsul dan Cikgu Fauziah, Cikgu Rozi dan Cikgu Azlin, Mr Loo dan Mrs Loo serta Cikgu Masyitah dan Ustaz Basri.

Ummi ayah pun tidak menyangkakan yang kami akan berkahwin dengan pasangan masing-masing dari sekolah yang sama, STJ. Kalau difikirkan-fikirkan, tak kan lah semua orang berpakat ingin mencari bakal isteri atau suami sebelum keluar dari sekolah ni. Ish ish, pening juga ayah fikir pasal perkara ni. Apa yang penting, mungkin ada benarnya gelaran tersebut hingga layak dipanggil Sekolah Temu Jodoh.

Baby pun tahu yang hidup, mati, jodoh dan rezeki, semuanya sudah ditentukan Allah. Tetapi semuanya atas perancangan Allah jua untuk menemukan jodoh masing-masing di tempat yang ‘special’ seperti STJ ni. STJ bukanlah sebuah sekolah yang hebat atau selalu tersenarai dalam top 10 SBP di Malaysia ni atas pencapaian akademiknya, apatah lagi tempat untuk bertemu jodoh. Di hadapannya terletak sebuah kandang lembu yang ‘mencantikkan’ lagi pemandangan di pintu masuk sekolah ini ditambah pula dengan keluasan yang agak sempit hingga tergolong antara SBP yang paling sempit kawasannya.
Mungkin STJ tercinta ni ada ‘aura’nya tersendiri sehingga ramai pelajar tegedik-gedik hendak mencari bakal suami atau isteri sendiri (ayahlah agaknya sebab ayah yang ‘approach’ ummi dulu. Hehe). Aura yang Allah sahaja yang tahu sehingga Dia menjadikan tempat yang ‘special’ ini sebagai tempat pertemuan jodoh pasangan-pasangan yang ‘terpilih’ (terpilihkah kami?? Mungkin. Huhu ).

Sekarang, sudah terbuktilah gelaran Sekolah Temu Jodoh bagi ummi ayah yang tidak menjangkakan takdir yang ditetapkan pada kami. Allah telah memilih kami sebagai insan terpilih untuk membuktikan kebenaran gelaran STJ. Sekiranya ada orang bertanyakan gelaran tersebut pada kami,

“Betul ke STJ Sekolah Temu Jodoh?”

Dengan yakinnya ummi ayah akan menjawab,

“Betul sangat! Kalau tak percaya hah kat depan mata inilah buktinya dengan baby dalam perut”

Banyak kenangan ummi ayah yang terakam di sekolah yang banyak mengajar kami erti kehidupan ini. Kenangan bersama kawan-kawan yang gila-gila, kenangan bersama guru-guru yang berdedikasi, kenangan menghirup udara ‘segar’ di petang hari (pelajar STJ je tahu. Hehe) dan kenangan program-program yang amat menyentuh jiwa kami. Walaupun gelaran Sekolah Temu Jodoh sudah sebati dengan sekolah ummi ayah ni tetapi ada lagi satu gelaran yang tidak kurang pentingnya, Sekolah Tekanan Jiwa.

Nanti kalau berkesempatan, InsyaAllah ummi ayah akan ceritakan pula tentang gelaran Sekolah Tekanan Jiwa bagi STJ. Baby tunggulah ye nanti. Jangan selalu tendang perut tau. Kesian ummi sakit kena tendang dengan baby.

Segala ini hanyalah buatmu anakku yang sangat kami nantikan.

February 23, 2009

Interview

Hari jumaat yang lalu ummi ayah di‘interview’ oleh committee yang bertanggungjawab untuk menguruskan ceramah ‘Early marriage: marry or not to marry’. Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab ummi ayah yang merupakan salah satu daripada pasangan yang terpilih untuk menjadi ‘tetamu khas’ walaupun secara video penutup sahaja. Terasa malu pada diri sendiri kerana kami bukanlah pasangan yang hebat dalam kepimpinan apatah lagi akademik yang sederhana sahaja(ayah terutamanya). Hehe.

Walaupun segan, malu dan berat hati untuk menerime pelawaan committee yang bersungguh-sungguh untuk meng’interview’ kami, tetapi kami gagahkan juga diri dengan niat untuk berkongsi pengalaman kami yang jarang dimiliki oleh remaja-remaja sebaya ummi ayah dan mungkin boleh menghuraikan sesetengah persoalan yang bermain di minda pemuda-pemudi segenerasi.

Apakah perkara yang anda risau selepas berkahwin? Anak? Study?

Bagaimana anda tahu anda sudah bersedia untuk berkahwin?

Apakah nasihat anda untuk sahabat-sahabat yang sudah berteman mahupun belum berteman?

Itulah antara soalan-soalan yang dikemukakan oleh penemu ramah yang sesetengahnya ‘killer questions’ yang menyebabkan kami berpeluh dahi walaupun telah diberi awal sebelum interview. Tahniah kepada pembuat soalan yang pandai menguji kemampuan menjawab kami. Huhu.

Semua pasangan pasti ada kerisauan mereka setelah mengharungi dunia rumah tangga, tidak terkecuali kami yang masih belajar mematangkan diri yang setahun jagung di alam serba baru ni. Tetapi masalah tentang anak mahupun study tidaklah menjadi kerisauan ummi ayah kerana kami mendapat sokongan dan motivasi yang tidak berbelah bagi dari nenek, atuk, opah dan aki yang sangat menyayangi kami berdua. Merekalah insan yang paling kami cintai selepas Allah dan RasulNya. InsyaAllah.

Cuma seperkara yang agak mengganggu fikiran kami berdua yang puncanya datang dari orang luar. Ummi ayah agak terkesan dengan percakapan orang luar yang menyarankan agar kami jangan merancang atau bersangka buruk dengan kami tentang kehidupan berkeluarga kami.

“Jangan rancang lama-lama sangat. Nanti terus susah nak dapat anak,” kata meraka.

Walaupun ummi ayah tahu anak itu kurniaan Allah, tapi kadang-kala terkesan juga cakap-cakap orang di sekeliling. Hati manusia memang mudah dibolak-balikkan oleh dugaan luar. Alhamdulillah ummi ayah berjaya mengatasi godaan ini dengan selalu berfikir tentang tujuan sebenar kami untuk merancang dan inginkan yang terbaik buat diri kami sekelarga. Kehadiran baby inilah kegembiraan yang nyata untuk ummi ayah dan membuktikan kebesaran Allah atas segalanya. MasyaAllah.

Ummi ayah tidaklah sempurna dari segala segi untuk berkahwin. Dengan ilmu yang sedikit, perwatakan kurang matang dan perasaan yang tidak kena pada tempatnya mungkin tidak melayakkan kami sepenuhnya untuk berkahwin bagi sesetengah orang, tapi kami yakin kami sudah bersedia untuk berkahwin dan sedar segala dugaan, tanggungjawab dan cabaran yang bakal kami hadapi setelah berkahwin. Berkat doa, usaha dan terbergantungan ummi ayah dengan takdir, Allah perkenankan hajat kami untuk berkahwin. Baby doakan semoga matlamat perkahwinan ummi ayah tidak menyimpang dari jalanNya yang penuh kemuliaan.

Berkahwin muda bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipandang ringan. Banyak faktor yang perlu diambil kira untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini dalam perkahwinan muda. Baby perlu tahu yang pasangan muda ini banyak dugaan dan cabarannya terutamanya pemuda yang berdarah muda dan kurang kesabarannya. Bergantung pada seseorang untuk memungkinkan dia berkahwin muda atau sebaliknya.

Bagi yang sudah berpasangan, cubalah sedaya upaya untuk menjaga perhubungan suci kalian dengan menjaga batas-batas syarak dan bermatlamatkan perkahwinan pada akhirnya. Ummi ayah telah mengharungi zaman percintaan sebelum berkahwin sejak di zaman persekolahan lagi dan mencuba sedaya upaya agar tidak terjerumus ke arah kemaksiatan. Di sekolah, kami tidak pernah ber’dating’ atau keluar ke bandar bersama-sama. Masa dating kami hanyalah semasa opah aki datang ke sekolah atau semasa mesyuarat pengawas pada malam Ahad yang dihadiri oleh semua pengawas sekolah.

Walaupun begitu, banyak cerita lucu kami berdua di sekolah (ummilah selalunya, ayah konon-konnonnya ‘macho’. Hehe. Jangan marah ummi). Kalau ayah sedang menaiki tangga di hujung blok kelas-kelas kami (kami tidak pernah belajar sekelas dari sekolah hinggalah sekarang), ummi yang kebetulan berada di hujung tangga yang satu lagi akan lari tidak mahu terserempak dengan ayah. Ayah pun hairan kenapa ummi sebegitu rupa tapi katanya dia malu sangat nak berselisih dengan ayah (pemalunya ummi baby ni ye, tapi ayah lagi pemalu rasanya. Cuma tak tunjuk je. Huhu).

Ummi ayah juga sangat jarang bercakap antara kami kecuali jika terlibat menguruskan aktiviti tertentu di sekolah. Untuk mengubat kerinduan ayah dengan ummi, ayah akan menelefon opah hampir setiap malam selepas menelefon nenek.

Bak kata orang dulu-dulu,’kalau tak dapat tengok orangnya, dapat tengok bumbung rumah pun jadilah.’

Tapi dalam kes ayah, ‘kalau tak dapat cakap dengan orangnya, dapat cakap dengan emaknya pun jadilah.’

Tak malu betul ayah ni kan. ‘Bergayut’ dengan opah macam ‘bergayut’ dengan kekasih. Hinggakan kawan-kawan ayah semua tahu ayah akan bercakap dengan opah sampai berjam-jam lamanya. Ish ish. Kalah orang bercinta. Banyak juga ring ring kad yang ayah beli semata-mata untuk bercakap dengan opah. Rindulah katakan. Nasib baik atuk faham. Kadang-kadang dia sengaja belikan ayah ring ring kad. Termalu sendiri ayah dengan atuk. Hehe.

Alhamdulillah, segala kenangan kami berdua dari zaman persekolahan sehinggalah menamatkan zaman bujang menjadi kenangan terindah buat ummi ayah sepanjang hidup kami. Semoga baby boleh mengambil manfaat dari kisah kami berdua.

Salam sayang dari ummi ayah buatmu anakku yang kami rindui.

p/s: Kalau baby nak tahu lagi cerita kami dulu-dulu, baby janji akan jadi anak yang soleh ye. InsyaAllah kami akan ceritakan dalam blog ini lagi.

February 21, 2009

Opah dan Aki


Dua nama yang tak pernah ummi ayah lupakan dalam hidup kami. Merekalah kawan, merekalah guru, merekalah sahabat karib bahkan merekalah punca kehidupan kami. Baby mesti tak sabar kan nak jumpa opah dengan aki. Yelah kan, opah dengan aki mesti layan baby sepenuh hati sebab baby cucu pertama meraka. Hai, manjalah jawabnya baby dengan opah akinya.


“Kenapa nak guna gelaran opah aki?” baby mesti tertanya-tanyakan sedangkan opah adalah gelaran nenek dari Perak dan aki pula untuk gelaran datuk di Pahang.


Sebelum baby ada dalam perut lagi, opah dgn aki dan tentukan gelaran masing-masing. Kelakar jugak opah aki baby ni. Mereka nak mengekalkan identiti masing-masing. Dua-dua suka gelaran opah aki, lembut sebutannya bak kata meraka. Tak sabar juga opah aki ni ye nak dapat cucu. Hehe. Masa ummi ayah mula-mula kahwin dahulu, opah dgn aki tidak menggalakkan kami mempunyai anak dalam masa terdekat. Yelah, kesian pada ummi ayah yang masih belajar lagi.


Sebenarnya opah aki tak kisah ummi ayah nak ada baby tapi kami menghormati kehendak nenek atuk belah ayah. Meraka risau kalau kami tidak mampu untuk membahagikan masa antara pelajaran, keluarga dan anak. Tidak ada salahnya keinginan mereka itu kerana inginkan yang terbaik untuk ummi ayah berdua. Tetapi, lama-kelamaan naluri untuk bercucu sedikit sebanyak menggugat pendirian nenek atuk. Hehe. Mission accomplished.


Alkisahnya, nenek menelefon opah untuk bertanya khabar masing-masing dan bercerita tentang ummi ayah. Tiba-tiba terkait pula pasal ingin bercucu.


“Bila agaknya Mawaddah nak pregnant, akak tak kisah”, Opah hairan.


“Kat rumah akak ni ada nursery. Boleh akak tolong jagakan kalau dapat baby”, tertawa kecil opah mendengarnya. Terkejut, gembira, bersinar harapan untuk bercucu dalam diri opah aki.


Alhamdulillah, tercapai juga impian opah, aki, nenek dan atuk untuk bercucu sulung. Gembira tak terkata mereka pabila ummi disahkan pregnant. Hinggakan nanek atuk yang pernah sekali sahaja datang ke Kuantan semasa menghantar ayah register, datang buat kali kedua. Hasratnya hanya satu. Melihat bakal ummi ayah kepada cucu mereka. Itulah sentuhan kalbu cucu kepada nenek dan atuknya. Umpama cucu itulah segalanya buat nenek atuk.


Opah aki pun apa kurangnya. Semua excited nak dapat cucu sulung. Habis sayanglah dengan baby ni. Opah pun menjaga sangat-sangat ummi. Segala keperluan ummi diturutkan hinggakan makanan kegemaran pun diperhatikan opah. Yelah ibu mengandung. Manja betul baby dengan opahnya.


“Ummi cubalah tengok tembikai tu?”, kata ummi pada opah.


Opah tanpa membuang masa terus sahaja membeli tembikai untuk memenuhi keinginan ummi. Sedangkan hasrat singgah ke kedai buah hanyalah untuk membeli pisang. Betapa sayangnya opah pada kehendak cucunya yang manja ni (ke ummi yang manja sebenarnya..hehe..jangan marah ummi). Bertuahnya jadi ibu mengandung. Ayah pun nak jadilah bapa mengandung. Boleh manja dengan semua orang. Huhu.


Setiap kali ummi ayah balik ke rumah opah aki, akilah orang yang paling gembira sekali di rumah. Aki akan memeluk ummi seerat-eratnya macam tak nak berpisah apabila kami sampai di rumah.


“Sekarang ni tak dapat peluk cucu lagi. Peluk cucu dalam kandungan pun jadilah. Sama je macam peluk cucu betul”, terharu kami semua mendengarnya. Sentimental jugak aki ni ye.


Opah dan aki selalu membayangkan keadaan cucunya bila lahir nanti. Imagination tentang wajah, kulit, hidung termasuklah rambut cucu kesayangan mereka. Kadang-kadang aki tersenyum sendiri apabila membayangkan keadaan baby nanti. Opah pun apa lagi, mengusiklah aki yang tersenyum sendiri macam orang bercinta. Cinta pada keturunannya yang bakal lahir kelak.


Inilah sedikit sebanyak pengenalan baby dengan opah aki baby yang sangat penyayang dan sporting ni. Lepas ni ummi ayah akan cerita banyak lagi tentang opah, aki, nenek dan atuk. Semuanya tak sabar-sabar nak tunggu kelahiran baby yang tercinta ni. Baby pun mesti kasih dan sayang mereka tau sebab merekalah yang banyak membantu, menyokong dan memberi semangat pada ummi ayah apabila kami merasa lemah atau kekurangan dan semua ini hanyalah buatmu anakku.


Kasih sayang atau cinta opah, aki, nenek dan atuk inilah salah satu kebahagiaan dalam hidup ummi ayah. Inilah salah satu nikmat terbesar yang Allah kurniakan pada hamba-hambaNya di dunia ini.


InsyaAllah perasaan saling cinta-mencintai sesama kita semua inilah yang akan menjadi salah satu faktor memudahkan kita mencapai syurgaNya. Amin.

February 20, 2009

Ummi, ayah & baby...



Assalamualaikum....

Sudah lama rasanye ummi tidak mencoretkan kata-kata di blog ini sejak ayah take over 2-3 hari ni....Sehingga hari ini, genaplah seminggu ummi batuk...Rasa tak tertanggung sgt dgn masalah kesihatan ini... Isnin yg lalu, ummi gi klinik UIA, Dr. hanya mampu bg ummi tab cloperastin hcl (copastin) & vitamin C since ummi tgh pregnant...Ummi pn ragu2 sgt nk makan copastin....ummi rasa sama je kl mkn dgn x mkn...sempatlah juga 3-4 kali mkn copastin, ummi stop....sumenye kerana "buatmu anakku"...ish risau sgt hati ni....ummi rs biarlah ummi yg sakit....

Skrg, ummi mkn madu Yaman....alhamdulillah, dgn izin Allah batuk ummi beransur pulih....kesian kt ayah tak bleh tido malam...rutin harian ayah, sapukan vicks, sediakan air sebelah tilam dan temankan ummi muntah kt tandas tiap2 tgh malam..stp kali muntah ummi mst menangis....

Semalam ayah kata ummi muntah kt lantai tandas...ummi terkejut sbb ummi mmg tak ingat langsung pn yg ummi ada bgn tgh malam...ayah kata, "bahaya betul la syg ni,bgn muntah pn x ingat"...yg kelakarnye tu, ayah kata ummi siap cuci tandas lg dan ayah tlg tuang pencuci lantai Lavendar...haha...mmg ummi x ingat lgsg...ummi penat sgt sbb xdpt tido nyenyak tiap2 mlm...

Sejak pregnant ni ummi mudah menangis terutamanya bila rs penat yg teramat sgt...ummi ingat opah(my beloved mom) ckp kt ummi wkt kecik2 dulu bila opah marah kt ummi,"nnti, bila angah dh ada anak,barulah angah akan ingat kata2 ummi...barulah angah tahu perasaan seorg ibu". ummi ni dulu, tergolong dlm kategori anak yg degil...ummi harap anak ummi xjd mcm ummi...ummi doakan yg terbaik... Mmg betul, dh 3 bulan baby duk dlm perut ummi dan dlm tempoh ini, 1001 kesakitan yg ummi rasakan...sumenye tak kena dlm hidup ini...ayah goreng telur pn ummi x suka...dapur tmpt ummi msk laksa johor, asam pedas & etc pn ummi x bleh pandang...nk jejak kaki kt dapur, lgla ummi x suka...kesian kt ayah...kerja2 rumah byk ayah yg buat...besar sugguh pengorbanan ayah utk ummi & baby...Alhamdulillah baby, Allah kurniakan kt dgn ayah yg tak kenal erti penat melayan kerenah kt berdua...jazakallah abg di atas pengorbanan yg tidak berbelah bahagi ini...

Walaupun kesihatan ummi terganggu sejak ummi pregnant ni, tp semangat ummi semakin membara...setiap pg ummi bersemangat nk menghadiri kuliah...walaupun ummi pregnant, ummi x pernah ngantuk dlm kls...penumpuan terhadap lecture bertambah 2-3 kali ganda...alhamdulillah, sejak ummi pregnant juga byk2 kerja2 dakwah yg tertangguh dahulunya telah terlaksana...impian ummi ayah utk buat kerja2 Islam jua terlaksana...ummi tak tahu dari mana kekuatan yg ummi dpt...tp yg pastinya, Allah snts membantu hamba2 nya yg berkehendak kpd jalan kebenaran...

Harapan ummi ayah, anak ummi ayah yg amat kami sayangi ini akan meneruskan perjuangan kami menegakkan Islam di Bumi Allah ini...

Salam sayang dari ummi buat abang dan baby....

Persepsi

‘Nampak macam solehah tapi dating dengan boyfriend!!’

‘Kecik-kecik lagi dah pandai nak berkepit dengan perempuan!!’

Mungkin inilah perkara yang bermain dalam minda orang-orang yang memandang sinis ummi ayah. Ummi ayah sering berjumpa dengan golongan manusia yang menganggap kami ini seperti pasangan couple yang lain. Tidak kiralah ummi ayah sedang makan di gerai atau bersiar-siar di sekitar kompleks membeli-belah. Kejadian ini seperti tidak dapat dielakkan sehingga kami sudah imun dengan pandangan mata masyarakat yang gemar memberi label kepada ummi ayah.

Walaupun wujud golongan seperti ini dalam masyarakat, ada juga yang menunjukkan pandangan gembira atau suka dengan pasangan muda seperti ummi ayah. Tidak dinafikan golongan yang kedua ini banyak memberi semangat atau motivasi yang membuatkan ummi ayah bangga tetapi dengan wujud golongan yang pertama tadi sedikit sebanyak mencalar kesabaran ummi ayah dan adakalanya menyebabkan ayah hilang sabar.

Mungkin ada benarnya sekiranya persepsi meraka itu pada pasangan muda-mudi yang bergaul bebas dan fitnah yang melanda golongan ‘bertudung labuh’ yang tidak menjaga batas pergaulan meraka. Tetapi kebanyakan persepsi atau sangkaan itu adalah tidak benar.

“….dan jauhilah sangkaan-sangkaan itu kerana kebanyakannya adalah tidak benar”

Kadang-kadang rasa tekanan juga baby dengan sangkaan orang ni, tetapi ummi ayah tidak dapat menghalang persepsi orang lain terhadap kami. Pemikiran manusia memang susah hendak diubah terutamanya orang yang tidak memahami ummi ayah.
Dari sudut positifnya mungkin mereka masih lagi ada nilai Islam yang memandang serong perbuatan maksiat dan cuba mencegahnya dengan hati.

“…dan selemah-lemah iman itu adalah mencegah dengan hati.”

Tetapi jika dipandang dari sudut yang lainnya, sangkaan tidak tepat terhadap orang lain tidak menggambarkan akhlak Islam yang sebenarnya terutamanya sangkaan atau persepsi yang buruk. Bersangka baik adalah selemah-lemah hubungan kasih sayang antara saudara sesama Islam.

Susah sebenarnya untuk kita bersangka baik dengan semua orang Islam kerana ada muslim yang mempunyai akhlak yang buruk dan untuk bersangka baik pun ada tempatnya. Janganlah baby terlalu bersangka baik dengan orang lain sehingga tidak mengunci rumah atau menyerahkan barang pada orang yang tidak dikenali untuk dijaga.

Apa yang penting, nanti kalau baby sudah faham apa yang ummi ayah katakan ini, baby janganlah terlalu berbaik sangka atau berburuk sangka dengan orang lain. Cubalah kita amalkan persepsi yang sesuai dengan keadaannya.

Ummi dan ayah tidak kisah kalau yang bersangka buruk itu orang yang tidak memahami keadaan kami tetapi apa yang menggeramkan ummi ayah adalah orang yang berburuk sangka itu orang yang memperjuangkan Islam.

Pernah suatu ketika ummi dan ayah berjumpa dalam kereta kancil merah kami (opah punya sebenarnya) untuk memberi barang kepada ayah (waktu itu kami tinggal di asrama masing-masing) tetapi dipandang serong oleh seseorang dari jauh. Mungkin ini sangkaan buruk ummi ayah juga terhadap orang itu. Mungkin dia memandang dengan perasaan gembira atau kagum, tetapi raut mukanya yang tidak menyenangkan menyebabkan kami bersangka tidak baik.

Tetapi, tempoh pandangannya yang agak lama dan dalam ekspressi yang sinis (anggapan kami) menyebabkan ayah berasa sangat marah pada waktu itu. Hendak saja rasanya ayah tunjukkan cincin perkahwinan dan surat nikah kami pada masa itu tetapi dia berada dalam kedudukan yang agak jauh menyebabkan ayah bolayan saja. Banyak lagi keadaan yang serupa melibatkan orang-orang yang terlibat dalam menyebarkan Islam tetapi cukuplah satu cerita buatmu anakku untuk tatapan di masa hadapan nanti.

Tergamakkah seorang wanita untuk berdating di depan khalayak ramai di dalam kawasan UIA?

Kalau hendak difikirkan, agak mustahil perkara ini boleh terjadi di kawasan UIA yang masih menjaga batas-batas pergaulan mahasiswa dan mahasiswinya. Kalaupun tidak, tidakkah mereka memperhatikan dua bentuk cincin di jari ummi sebagai tanda perkahwinan kami? Dan kadang-kala ummi mengenakan inai di jarinya sebagai penghindar fitnah.

Sesungguhnya bersangka baiklah kita sesama muslim agar terjalin ukhuwwah antara kita.

Mesti baby tertanya-tanya, “Apa yang ummi ayah buat kalau orang pandang serong pada ummi ayah?”

Humm…..banyak caranya untuk hilangkan persepsi buruk orang kepada kita. Salah satunya, ummi sengaja membetulkan tudung untuk menunjukkan cincin kahwin kami pada orang. Ataupun untuk menunjukkan inai di tangan ummi. Kadang-kala kami sengaja memegang erat tangan masing-masing, biar orang tersebut sedar perbuatannya disedari kami.

Ayah kadang-kadang hilang kesabarannya, terus memandang balik pada orang tersebut dalam tempoh yang lama sehingga dia sendiri termalu dengan perbuatannya memerhatikan ummi ayah.

Alhamdulillah sekarang kami sudah imun dengan golongan yang sinis (atau sebenarnya gembira) dengan kami. Apa yang kami fikirkan sekarang, kami bahagia dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan agama. InsyaAllah.

p/s: kalau kita terlalu memikirkan apa orang kata, tidak ubahlah kita seperti cerita bapa, anak dan keldainya yang akhirnya putus asa dan kecewa dengan diri mereka akibat terlalu mengikut kata orang lain.