‘Nampak macam solehah tapi dating dengan boyfriend!!’
‘Kecik-kecik lagi dah pandai nak berkepit dengan perempuan!!’
Mungkin inilah perkara yang bermain dalam minda orang-orang yang memandang sinis ummi ayah. Ummi ayah sering berjumpa dengan golongan manusia yang menganggap kami ini seperti pasangan couple yang lain. Tidak kiralah ummi ayah sedang makan di gerai atau bersiar-siar di sekitar kompleks membeli-belah. Kejadian ini seperti tidak dapat dielakkan sehingga kami sudah imun dengan pandangan mata masyarakat yang gemar memberi label kepada ummi ayah.
Walaupun wujud golongan seperti ini dalam masyarakat, ada juga yang menunjukkan pandangan gembira atau suka dengan pasangan muda seperti ummi ayah. Tidak dinafikan golongan yang kedua ini banyak memberi semangat atau motivasi yang membuatkan ummi ayah bangga tetapi dengan wujud golongan yang pertama tadi sedikit sebanyak mencalar kesabaran ummi ayah dan adakalanya menyebabkan ayah hilang sabar.
Mungkin ada benarnya sekiranya persepsi meraka itu pada pasangan muda-mudi yang bergaul bebas dan fitnah yang melanda golongan ‘bertudung labuh’ yang tidak menjaga batas pergaulan meraka. Tetapi kebanyakan persepsi atau sangkaan itu adalah tidak benar.
“….dan jauhilah sangkaan-sangkaan itu kerana kebanyakannya adalah tidak benar”
Kadang-kadang rasa tekanan juga baby dengan sangkaan orang ni, tetapi ummi ayah tidak dapat menghalang persepsi orang lain terhadap kami. Pemikiran manusia memang susah hendak diubah terutamanya orang yang tidak memahami ummi ayah.
Dari sudut positifnya mungkin mereka masih lagi ada nilai Islam yang memandang serong perbuatan maksiat dan cuba mencegahnya dengan hati.
“…dan selemah-lemah iman itu adalah mencegah dengan hati.”
Tetapi jika dipandang dari sudut yang lainnya, sangkaan tidak tepat terhadap orang lain tidak menggambarkan akhlak Islam yang sebenarnya terutamanya sangkaan atau persepsi yang buruk. Bersangka baik adalah selemah-lemah hubungan kasih sayang antara saudara sesama Islam.
Susah sebenarnya untuk kita bersangka baik dengan semua orang Islam kerana ada muslim yang mempunyai akhlak yang buruk dan untuk bersangka baik pun ada tempatnya. Janganlah baby terlalu bersangka baik dengan orang lain sehingga tidak mengunci rumah atau menyerahkan barang pada orang yang tidak dikenali untuk dijaga.
Apa yang penting, nanti kalau baby sudah faham apa yang ummi ayah katakan ini, baby janganlah terlalu berbaik sangka atau berburuk sangka dengan orang lain. Cubalah kita amalkan persepsi yang sesuai dengan keadaannya.
Ummi dan ayah tidak kisah kalau yang bersangka buruk itu orang yang tidak memahami keadaan kami tetapi apa yang menggeramkan ummi ayah adalah orang yang berburuk sangka itu orang yang memperjuangkan Islam.
Pernah suatu ketika ummi dan ayah berjumpa dalam kereta kancil merah kami (opah punya sebenarnya) untuk memberi barang kepada ayah (waktu itu kami tinggal di asrama masing-masing) tetapi dipandang serong oleh seseorang dari jauh. Mungkin ini sangkaan buruk ummi ayah juga terhadap orang itu. Mungkin dia memandang dengan perasaan gembira atau kagum, tetapi raut mukanya yang tidak menyenangkan menyebabkan kami bersangka tidak baik.
Tetapi, tempoh pandangannya yang agak lama dan dalam ekspressi yang sinis (anggapan kami) menyebabkan ayah berasa sangat marah pada waktu itu. Hendak saja rasanya ayah tunjukkan cincin perkahwinan dan surat nikah kami pada masa itu tetapi dia berada dalam kedudukan yang agak jauh menyebabkan ayah bolayan saja. Banyak lagi keadaan yang serupa melibatkan orang-orang yang terlibat dalam menyebarkan Islam tetapi cukuplah satu cerita buatmu anakku untuk tatapan di masa hadapan nanti.
Tergamakkah seorang wanita untuk berdating di depan khalayak ramai di dalam kawasan UIA?
Kalau hendak difikirkan, agak mustahil perkara ini boleh terjadi di kawasan UIA yang masih menjaga batas-batas pergaulan mahasiswa dan mahasiswinya. Kalaupun tidak, tidakkah mereka memperhatikan dua bentuk cincin di jari ummi sebagai tanda perkahwinan kami? Dan kadang-kala ummi mengenakan inai di jarinya sebagai penghindar fitnah.
Sesungguhnya bersangka baiklah kita sesama muslim agar terjalin ukhuwwah antara kita.
Mesti baby tertanya-tanya, “Apa yang ummi ayah buat kalau orang pandang serong pada ummi ayah?”
Humm…..banyak caranya untuk hilangkan persepsi buruk orang kepada kita. Salah satunya, ummi sengaja membetulkan tudung untuk menunjukkan cincin kahwin kami pada orang. Ataupun untuk menunjukkan inai di tangan ummi. Kadang-kala kami sengaja memegang erat tangan masing-masing, biar orang tersebut sedar perbuatannya disedari kami.
Ayah kadang-kadang hilang kesabarannya, terus memandang balik pada orang tersebut dalam tempoh yang lama sehingga dia sendiri termalu dengan perbuatannya memerhatikan ummi ayah.
Alhamdulillah sekarang kami sudah imun dengan golongan yang sinis (atau sebenarnya gembira) dengan kami. Apa yang kami fikirkan sekarang, kami bahagia dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan agama. InsyaAllah.
p/s: kalau kita terlalu memikirkan apa orang kata, tidak ubahlah kita seperti cerita bapa, anak dan keldainya yang akhirnya putus asa dan kecewa dengan diri mereka akibat terlalu mengikut kata orang lain.
Dari Blog Ke Telegram
2 years ago
No comments:
Post a Comment