Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar
Boleh juga dipanggil Sekolah Temu Jodoh
Itulah ungkapan sekolah ummi ayah yang terletak di Kg Gentam, Kuala Pilah. Semasa mula-mula masuk ke sana, kami telah disogokkan dengan gelaran sekolah kami yang tidak diketahui samada betul atau tidak.
“Betul ke ramai yang masuk sekolah ni jumpa jodohnya?”, tanya kami sesama sendiri.
“Betul!!. Kalau tak caya tanyala orang lain”, kata seorang senior mencelah.
Wah, hebat betul penangan sekolah ni ye. Barang siapa yang masuk sekolah ini, maka akan berjumpalah dengan jodoh masing-masing. Mungkin tidaklah semua akan bertemu jodohnya di sekolah ummi ayah ni, tapi bilangan pasangan yang agak ramai melayakkan gelaran tersebut kepada sekolah kami ni.
Bukanlah seorang dua yang berkahwin sesama sendiri dari kalangan pelajar sekolah ummi ayah ni tapi sehingga mencecah puluhan malah mungkin ratusan jika dikira dari ‘super super senior’ kami. Apa yang ayah tahu, ramai senior yang jarak umur dekat dengan kami telah berkahwin dengan schoolmate masing-masing.
Guru juga tidak ketinggalan bertemu jodoh masing-masing dari kalangan guru juga. Cikgu Nuruddin dan seorang warden perempuan (maaf cikgu tak ingat nama) merupakan salah satu pasangan yang berkahwin sesama sendiri. Itu belum ditambah lagi dengan pasangan guru yang sama-sama mengajar di sekolah kami walaupun tidak bertemu jodoh di sini, Ustaz Syamsul dan Cikgu Fauziah, Cikgu Rozi dan Cikgu Azlin, Mr Loo dan Mrs Loo serta Cikgu Masyitah dan Ustaz Basri.
Ummi ayah pun tidak menyangkakan yang kami akan berkahwin dengan pasangan masing-masing dari sekolah yang sama, STJ. Kalau difikirkan-fikirkan, tak kan lah semua orang berpakat ingin mencari bakal isteri atau suami sebelum keluar dari sekolah ni. Ish ish, pening juga ayah fikir pasal perkara ni. Apa yang penting, mungkin ada benarnya gelaran tersebut hingga layak dipanggil Sekolah Temu Jodoh.
Baby pun tahu yang hidup, mati, jodoh dan rezeki, semuanya sudah ditentukan Allah. Tetapi semuanya atas perancangan Allah jua untuk menemukan jodoh masing-masing di tempat yang ‘special’ seperti STJ ni. STJ bukanlah sebuah sekolah yang hebat atau selalu tersenarai dalam top 10 SBP di Malaysia ni atas pencapaian akademiknya, apatah lagi tempat untuk bertemu jodoh. Di hadapannya terletak sebuah kandang lembu yang ‘mencantikkan’ lagi pemandangan di pintu masuk sekolah ini ditambah pula dengan keluasan yang agak sempit hingga tergolong antara SBP yang paling sempit kawasannya.
Mungkin STJ tercinta ni ada ‘aura’nya tersendiri sehingga ramai pelajar tegedik-gedik hendak mencari bakal suami atau isteri sendiri (ayahlah agaknya sebab ayah yang ‘approach’ ummi dulu. Hehe). Aura yang Allah sahaja yang tahu sehingga Dia menjadikan tempat yang ‘special’ ini sebagai tempat pertemuan jodoh pasangan-pasangan yang ‘terpilih’ (terpilihkah kami?? Mungkin. Huhu ).
Sekarang, sudah terbuktilah gelaran Sekolah Temu Jodoh bagi ummi ayah yang tidak menjangkakan takdir yang ditetapkan pada kami. Allah telah memilih kami sebagai insan terpilih untuk membuktikan kebenaran gelaran STJ. Sekiranya ada orang bertanyakan gelaran tersebut pada kami,
“Betul ke STJ Sekolah Temu Jodoh?”
Dengan yakinnya ummi ayah akan menjawab,
“Betul sangat! Kalau tak percaya hah kat depan mata inilah buktinya dengan baby dalam perut”
Banyak kenangan ummi ayah yang terakam di sekolah yang banyak mengajar kami erti kehidupan ini. Kenangan bersama kawan-kawan yang gila-gila, kenangan bersama guru-guru yang berdedikasi, kenangan menghirup udara ‘segar’ di petang hari (pelajar STJ je tahu. Hehe) dan kenangan program-program yang amat menyentuh jiwa kami. Walaupun gelaran Sekolah Temu Jodoh sudah sebati dengan sekolah ummi ayah ni tetapi ada lagi satu gelaran yang tidak kurang pentingnya, Sekolah Tekanan Jiwa.
Nanti kalau berkesempatan, InsyaAllah ummi ayah akan ceritakan pula tentang gelaran Sekolah Tekanan Jiwa bagi STJ. Baby tunggulah ye nanti. Jangan selalu tendang perut tau. Kesian ummi sakit kena tendang dengan baby.
Segala ini hanyalah buatmu anakku yang sangat kami nantikan.
hafiz!! aku nak blk smula ke sekolah.. nak mintak msk skola ko. blh?? hehe.. harap2 adala jodoh aku kat sane.. kekeke
ReplyDelete