Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Blog Archive

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

February 28, 2009

Nenek dan atuk


Keluargaku

Merekalah insan yang paling ayah sayangi yang banyak mengajar ayah erti kehidupan ini. Kehidupan yang penuh pancaroba dan ujian yang kadang-kala kita sendiri tidak mampu hadapinya. Alhamdulillah, ayah dikurniakan ibu dan bapa seperti nenek atuk yang banyak mencorakkan diri ayah hingga menjadi seperti sekarang ini. Tingginya kesabaran mereka dalam melayani karenah ayah terutamanya sewaktu kecil dahulu.

Ayah ini bukanlah budak yang baik atau pendiam semasa kecilnya dan terkenal dengan kenakalan ayah di kalangan sepupu terdekat. Dilahirkan sebagai cucu lelaki sulung dalam keluarga besar atuk menjadikan ayah sedikit sebanyak berpengaruh dalam keluarga ayah (ye ke? Yelah agaknya).

Pernah pada suatu hari ayah dilarang menggunakan remote TV kerana asyik menukarkan siaran kartun sepanjang hari dan menghalang orang lain daripada menonton siaran yang lain. Sekeluarga marah dengan ayah setelah puas dinasihati dan degil untuk memberikan remote tersebut secara baik, maka terpaksalah dirampas dari ayah. Dengan kenakalan dan kedegilan yang terkenal di kalangan saudara, ayah menyorokkan bateri remote tersebut dan membaling pasir pada insan yang memarahi ayah (bukan nenek atau atuk). Habis kotor makcik ayah itu dengan pasir dan kesannya ayah semakin dimarahi dan dihukum tidak boleh memegang remote sepanjang minggu tersebut. Hehe. Nakal jugak ayah ni sampai baling pasir kat orang ye. Ish ish.

Kisah kenakalan ayah pada adik-beradik ayah (makcik-makcik baby) pun apa kurangnya. Pernah satu ketika ayah bergaduh dengan maksu baby yang selalu melaporkan kesalahan ayah pada nenek atuk. Ayah hilang sabar hingga membaling sebatang kayu padanya hingga berdarah kepala maksu. Kalau difikirkan balik kesian jugak maksu baby tu. Tapi tak pelah, ayah budak kecik lagi masa tu. Huhu.

Maksu pun menangis kesakitan dan terus berjumpa nenek yang sedang membasuh pakaian ketika itu. Kemarahan nenek tidak tertanggung lagi kerana karenah ayah ditambah kepenatan menguruskan rumah tangga dan bekerja di siang hari, terus mengejar ayah dengan gayung ataupun cetong. Ayah pun terus melarikan diri dan pulang apabila kemarahan nenek telah reda. Walaupun reda tetapi ayah tetap dihukum dengan rotan atas kesalahan mencederakan maksu (sorry maksu ye).

Memang penat rasanya ingin mendidik anak yang degil dan nakal ini. Kalau tak kena caranya hilang kesabaran kita walaupun tahu anak kita sememangnya degil. Tetapi dalam mendidik anak janganlah kita terlalu berlemah lembut dan membiarkan anak-anak berbuat sewanang-wenangnya. Hukuman nenek atuk setimpal dengan kesalahan yang ayah lakukan. Ayah redha dengan segala yang nenek atuk lakukan kerana semuanya untuk kebaikan ayah juga. Baby jangan nakal-nakal tau macam ayah dulu. Kesian ummi ayah nanti.

Ayah dididik untuk membesarkan perintah solat oleh nenek dan atuk sedari kecil lagi. Walaupun ayah tidak memahami dengan sebenar-benarnya kewajipan solat, tetapi ayah diajar supaya menunaikan solat bersama-sama atuk sejak berumur 4 tahun lagi.

“Kenapa ayah tak kejut apis tadi?”, tanya ayah pada atuk menangis.

“Apis tak sedar ayah kejut tadi. Tak pelah, apis boleh solat sendiri nanti”, pujuk atuk meredakan tangisan ayah.

Kejadian ayah tidak dapat bersolat jemaah bersama atuk semasa ayah berumur lima tahun. Ayah menangis teresak-esak kerana lazimnya kami bersolat sama dan ayah mengikut sahaja segala pergerakan atuk dalam solat. Ketinggalan bersolat bersama atuk membuatkan ayah sedih kerana ayah masih tidak hafal lagi segala pergerakan dalam solat subuh hatta rakaat solat subuh.

Kenangan yang tersimpat erat dalam memori ayah dan tidak mungkin ayah lupakan berkat kesabaran atuk mengajar ayah mengenal Islam melalui solat berjemaah. Mengejutkan ayah untuk bersolat dan mengajar ayah cara-cara mengambil wuduk dengan sempurna. Terima kasih buat atuk yang tidak pernah jemu mengajar ayah perkara paling berharga dalam hidup kita.

InsyaAllah ayah akan cuba sedaya upaya untuk mendidik baby dengan cara hidup Islam yang sebenar-benarnya. Segala pengajaran nenek atuk yang penuh kasih sayang itu akan ayah aplikasikan dalam mendidik baby kelak. Semoga Allah memberkati atuk nenek buat selama-lamanya.

“Ya Allah, engkau ampunilah diriku dan kedua ibu bapa ku. Dan engkau kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi daku ketika kecil.”

No comments:

Post a Comment