Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

January 8, 2010

Panggilan Taska!!!



Panggilan dari pihak taska yang memang ummi ayah jangkakan selepas perginya mujahid kami. Pihak taska sebenarnya ingin berjumpa dengan ummi ayah tetapi dengan trauma yang dialami ummi, kami memilih untuk tidak berjumpa. Trauma dengan tempat terakhir `Ukasyah menghembuskan nafas terakhirnya lebih-lebih lagi trauma dengan kecuaian pengasuh yang menjadi asbab `Ukasyah ke syurga.

Setelah 2 minggu ummi ayah bercuti untuk menghilangkan kesedihan dengan perginya anak tercinta, alhamdulillah sedikit sebanyak terubat hati yang pilu dengan pemergian `Ukasyah. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Kulliyyah of Nursing dan Kulliyyah of Pharmacy serta pensyarah-pensyarah yang sangat memahami perasaan kami ketika itu dengan memberi kelonggaran untuk bercuti. Hadir semula semangat untuk menghabiskan sisa pengajian dan terus berusaha untuk mencapai redhaNya.

Tapi mesej dari pengasuh `Ukasyah, Azizah mengungkit kembali kenangan pahit itu. Pemilik taska Anakku Comel, Pn Siti ingin bertemu dengan ummi ayah sekembalinya kami ke Kuantan. Bukanlah kami tidak mahu berjumpa, tetapi membayangkan apa yang bakal terjadi nanti membuatkan kami memilih untuk tidak bersua muka.

Biarlah tiada lagi hubungan kami dengan pihak terbabit kerana ia akan mengimbas kembali detik-detik bagaimana `Ukasyah kembali menghadap Ilahi. Pedihnya hanya Allah yang mengetahuinya. Kesedihan dan ingatan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat.

“Salam. Minta maaf, saya rasa kamu tidak perlu ziarah kami. Isteri saya masih trauma dan kecewa dengan apa yang berlaku. Dan bos kamu tidak pernah call dia hingga ke hari ini. Semasa `Ukasyah di wad kecemasan pun dia sibuk dengan hal-hal teknikal dan tidak memikirkan perasaan kami ketika itu. Biarlah masa dan keadaan yang menentukan. Semoga ia tidak terjadi pada bayi-bayi yang lain. Allah tahu apa yang terbaik buat kami”, mesej ayah kepada Azizah, ketua pengasuh di taska tersebut cawangan Indera Mahkota.

Benar. Pihak taska pernah meminta maaf ketika `Ukasyah di wad kecemasan. Tetapi kenyataan pemilik taska tersebut membuatkan perasaan kami terguris.

“Taska mengikut panduan yang ditetapkan JKM iaitu seorang pengasuh untuk 3 bayi. `Ukasyah diberi minum susu 2 oz pada pukul 5 petang dan kemudian disendawakan dan tidur pada pukul 5.15 petang. Dari dahulu lagi taska tidurkan bayi dengan meniarap dan kepala diiringkan untuk mengelakkan bayi tersedak”, kata Pn Siti ketika itu.

Bukanlah kami tidak redha dengan pemergian `Ukasyah dan menerima ketentuanNya, tetapi kadang-kadang kata-kata itu boleh membuatkan insan lain terluka dan sedih.

Bolehkah untuk tidak menyatakan hal-hal teknikal ketika itu? Kami yang sedang bersedih tidak perlu semua penjelasan itu. Hanya simpati ataupun berdiam diri yang lebih baik.

Dan segalanya berulang kembali ketika Pn Siti menelefon ummi petang Selasa.

Segalanya bermula dengan baik dan ummi berlapang dada kerana ia tanggungjawab sesama muslim. Tetapi kami tetap dengan pendirian kami untuk tidak berjumpa kerana takut banyak hati yang akan terguris dan menambah dosa yang telah sedia banyak.

Ayah tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Pn Siti tetapi ayah dengar apa yang ummi cakapkan ketika itu.

“`Ukasyah telah pergi dan tiada apa yang perlu dibincangkan untuk kita berjumpa. Saya tidak mahu mengungkit kembali kenangan yang pahit itu……

Kami sedang dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya atas kecuaian pihak taska…..

Kalau ada seorang yang menjaga bayi di dalam bilik tersebut, takkanlah dia tidak mendengar anak saya bersuara sedikit pun. Mesti anak saya ada terbatuk atau berbunyi ketika dia tersedak…..

Kalau pengasuh semua trauma sampai tidak mahu mengangkat `Ukasyah, habis saya sebagai ibunya tidak trauma? Saya lagilah trauma nak mengambil `Ukasyah masa tu…..

Memang siapa pun tak mahu perkara ni terjadi tetapi kecuaian tetap kecuaian…..

Siapa yang tidak mengalaminya tidak akan merasainya. Kalau kamu di tempat saya pun pasti kamu akan bertindak seperti yang saya buat……

Jadi kamu ingin menyalahkan saya atas kematian `Ukasyah?

Saya sudah banyak bertolak ansur dengan pihak taska. Minggu sebelum `Ukasyah meninggal, jari `Ukasyah berdarah sebab pengasuh yang potong kuku dalam-dalam. Kalau satu dua jari boleh diterima, tapi ni hampir semua jari. Suami saya tak bagitahu saya sebab perkara kecil dan `Ukasyah pun tak menangis. Dan kami pun sedikit lebih kurang untuk tidak menghantar `Ukasyah ke taska jika tiada kelas….

Takpelah puan. Biar masa dan keadaan yang menentukan segalanya....”, antara perbualan ummi di telefon.

Hati ummi telah tenang sebelum ini tetapi setelah mendapat panggilan dari Pn Siti, ummi kembali sedih dan selalu teringatkan `Ukasyah. Ummi ayah menerima ketetapan Ilahi tetapi pihak taska susah untuk mengakui kecuaian mereka dan cuba untuk memberi berbagai alasan atas apa yang terjadi.

Adakan takut perniagaan taskanya merudum? Mungkin.

Tiada siapa yang mahu menutup periuk nasi mereka, tetapi kelalaian dan kecuaian mereka yang memakan diri. Samalah seperti kes bas Sani Express yang terlibat dengan kemalangan disebabkan kecuaian pemandunya. Dan sekarang permit bas ini mungkin akan digantung. Tiada siapa yang inginkan perkara ini terjadi baik pihak bas, pemandu mahupun penumpang. Pemandunya sendiri mengakui kemalangan akibat kecuaian dirinya yang mengantuk ketika itu.

Kami bukanlah inginkan pampasan yang berjuta ringgit mahupun satu sen. Yang penting kejadian ini tidak berlaku kepada bayi-bayi lain yang tidak berdosa dan pihak taska tidak mengambil mudah atas apa yang terjadi disebabkan ibu bapa yang redha dengan kematian anak mereka. Biarlah setiap manusia menghargai nyawa insan lain yang tidak bersalah terutamanya bayi yang suci dari segala dosa lalu mahupun akan datang.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa ummi dan ayah dan mereka yang bertaubat kepadaNya.

Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan: "Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad)". Katakanlah: "Semuanya (datang) dari sisi Allah". Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikitpun?

An-Nisaa : 78

~Abu `Ukasyah~

14 comments:

  1. Mudah sangat mereka nak lepaskan tanggungjawab. memanglah sudah tertulis, umurnya hanya setakat itu tetapi kesudahan yang seperti itu bukanlah sepatutnya.

    Tindakan yg Mawaddah dan suami akan ambil moga-moga akan memberikan keinsafan kepada pengasuh-pengasuh di taska itu khususnya dan pengasuh-pengasuh yang lain. Bukan bermaksud untuk menjatuhkan maruah mereka namun untuk memberikan peringatan supaya mereka lebih bersikap bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

    Tabahkankan hatimu wahai adik-adik yang dirahmati Allah

    ReplyDelete
  2. Moga-moga jadi pengajaran kepada pengasuh-pengasuh yang lain. Supaya lebih bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

    ReplyDelete
  3. moga-moga mawaddah n hafiz tabah menhadapi ujian Allah ini....Ukasyah dijaga oleh bidadari syurga InsyaAllah....

    ReplyDelete
  4. salam

    Banyakkan bersabar Ukht Mawaddah. Pasti ada hikmahnya. Manusia memang begitu, bila dah berlaku kesilapan, mudahlah mahu melarikan diri dari dari mengakui kesilapan tersebut. Kita yang faham Islam ini kena cuba tunjukkan qudwah yg terbaik dengan redha which i believe both of you dah laksanakan yang terbaik. Selamat kembali belajar dan meneruskan kehidupan. Ambillah tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit supaya mereka lebih berhati-hati di kemudian hari. Risau sekiranya mereka 'dilepaskan' begitu sahaja,ibarat membenarkan segala tindak tanduk mereka yg cuai itu.Wallahualam.

    Akak sentiasa mendoakan yang terbaik buat kalian berdua.InsyaAllah.

    ReplyDelete
  5. moga roh nya dicucuri rahmat.. tempat dia pasti.. pastinya dia syurga.. dia bekalan buat ummi n ayah di akhirat kelah.. amin.. buat ummi n ayah.. bersabarlah.. 'ukasyah pasti tidak mahu melihat ummi n ayah nya bersedeh atas pemergian nya.. banyak kan berdoa buat 'Ukasyah...

    ReplyDelete
  6. salam takziah.
    moga Allah sentiasa limpahkan ketenangan dan kekuatan dalam hati kalian..

    ReplyDelete
  7. salam.... salam takziah atas kehilangan... semoga terus tabah... iAllah, arwah akan menanti di pintu syurga... Al-Fatihah...

    ReplyDelete
  8. Ana terasa sedih bila baca kisah ni..geram betul dengan org taska..kalau ana di tempat anta pun ana pasti geram dgn dia..anta banyak bersabar dan berdoa ye akhi..Moga Allah beri pengganti ukasyah

    ReplyDelete
  9. semoga kisah ni jadi pgajaran kat semua pengusaha taska kat luar sana..jgn igt untung je..jagalah amanah yang dah ibu bapa amanahkan untuk anda..bt ummi dan ayah, banyakkan bersabar.ukasyah menanti anda di syurga

    ReplyDelete
  10. salam perkenalan..dpat blog ni dari adik..iqa pharmacy kolej..

    takziah dari akak ye..moga adik dan suami tabah atas pe yang berlaku..ukasyah akan tunggu ummi dan ayahnya di sana..

    masa keguguran dulu pun,memang terasa sangat kehilangan..tabah ye..

    ReplyDelete
  11. Salam...

    Drpd pgalaman sy meninggalkan anak di taska... pengasuh akan letak bantal dibwh botol susu lps tu biarkan baby menyusu sendiri. Baby bwh 6 bln mana pandai pegang botol susu lg...sebab tu lah byk kes baby tersedak susu. Lps bagi susu... tak pernah sy tgk mereka sendawakan baby pun.Sikap amik mudah mereka ni yg amat sy kesalkan. Pengusaha taska pun mengharapkan keuntungan semata2 tp tidak menitikberatkan aspek keselamatan. Slps melihat sendiri layanan pengasuh melayan baby dan kanak2 kt situ, sy ambil keputusan utk meletakkan anak dibwh jagaan jiran.

    ReplyDelete
  12. salam Mawaddah.
    pengalaman akak letak anak di taska dulu pn mendukacitakan. anak tak diberi susu. mujurlah baby bf sepnuhnya tengahari akak turun bagi susu bdn. anak menangis smpai serak suara sebab lapar. susu perahan dorg biarkan saja hingga basi dlm peti ais tak digunakan.

    tak cukup dgn tu ketika anak akak injak usia 7bulan dan disahkan ada alahan, pengasuh2 dan ketua taska ambil sikap sambil lewa. Suapkan juga bubur nasi bercampur stok bahan yang tak boleh anak makan. Kemuncaknya ketika anak akak beruisa 11bulan, akak terpksa ambil cuti sepnuh masa selama 9bulan menjaga anak sndri kerana menderita sakit eczema yang agak kronik!

    segalanya berpunca dari sikap smbil lewa pihak taska. 3bulan pertama akak bercuti dan tak letakkan anak bawah taska tetap kena bayar yuran kalau nak teruskan letak anak di taska bila dh kembali bekerja. Jangan kan nak mintak maaf, diusirnya pulak anak akak dr taska. alasannya kami lambat bayar yuran. sedangkan dlm resit tercatat tarikh bayaran. masalahnya kami tak berkesempatan hntr resitnya ke taska kerana akak dan suami sama2 cuti tanpa gaji dan balik ke kg.

    pihak taska lngsg x bertanya khabar apalagi nak menerima alasan, sebaliknya bertindak usir anak akak keluar taska. waktu tu akak down sngt. sudahlah anak sakit brpunca dr sikap pengasuh n ketua pengasuh yang malas nak menyalin n mandikan anak akak. diberi pilak makanan yang buat anak akak alergik.

    skrg akk dah letak ank bwh jagaan pengasuh. syukurlah eczemanya makin menyembuh. Malangnya nama baik akak dan suami pulak diburukkan pihak taska di kalangan ibu bapa yang letakkan anak di taska.

    justeru akak sokong kuat tindakan Mawaddah serta suami ambil tindakan pada pihak taska. kerana kami tak upaya melawan sikap hipokrit dan bias pihak taska, kami tak upaya nak ambil tindakan. kerana akak yakin pihak akak dan suami jugak akan dipersalahkan. lebih teruk blog akak kena hack oleh kroni2 mereka ini kerana hasad dengki kerana akak cuba menceritakan hal sebenar tentang taska itu.

    akak harap Mawaddah serta suami kekal tabah harungi dugaan ini.

    ReplyDelete
  13. Saya fikir memang semua taska begini, tak nak mengaku salah, terutamanya kalau kita minta surat tunjuk sebab.
    Anak saya pernah kena kunci dalam taska seorang diri pada usia 5 bulan. Pengasuh tak sedar dia berseorangan di dalam bilik. Saya hanya lewat 5 minit. Taska di jabatan kerajaan kena tutup sebelum pukul 7 malam. saya sampai dalam 6.20 - 6.25 ptg, sbb ada metg habis lewat. Nasib baik guard bangunan datang pecahkan pintu emergency belakang taska dan masuk ke dalam taska. Anak saya nyenyak tidur walaupun aircond dah ditutup dan tak sejuk. Berderau darah guard perempuan yang jumpa anak saya dalam bilik yang gelap. Itu memang peristiwa yang paling tak boleh saya maafkan. Keesokannya, penyelia taska tak datang pun jumpa saya untuk minta maaf (sgt sombong dan angkuh, dah buka taska sendiri di jabatan lain dan mmg saya dah pangkah nama dia dari list saya selama-lamanya!), hanya pengasuh bilik baby yang datang jumpa minta maaf (dia 'tak bersalah sepenuhnya', dia dah balik awal tapi tak hand-over kerja kpd rakan yg balik lewat). Owner (ok la, humble dan minta maaf smbl nangis2)jumpa saya dan suami dengan wakil Puspanita to make sure saya tak buat kes jadi besar. Sangat tak peduli perasaan orang, malam tu saya langsung tak boleh tidur mengenangkan, nasib baik tak jadi yang lebih buruk dan geram sangat. Saya hantar surat tunjuk sebab kejadian dan jawapan yang diberikan langsung tak sentuh tentang apa yang mereka dah buat (mmg cuai tapi tak nak mengaku). Sampai kesudah pihak taska takkan bertanggung jwab atas apa yg jadi tak kira la salah besar atau kecik. Susah nak jumpa owner taska yg sanggup jumpa kita minta maaf anak kena cakar tau gigit dgn kwn smp luka (owner taska sekrg, mmg baik dgn parents), satu dalam seribu kot. Saya pernah jumpa owner taska yg sombong dan angkuh jadi sedikit sebanyak saya agak faham situasi anda. Harap mawaddah sabar banyak2....

    ReplyDelete
  14. Salam Mawaddah...

    Moga Mawaddah & Hafiz sentiasa tabah yea...akak dapat rasakan penderitaannya tapi itulah kasih Allah SWT kepada kita, setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya...

    ReplyDelete