Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

March 7, 2009

Check-up Baby


5 Mac 2009

Hari sepatutnya ummi pergi check-up baby dalam kandungan yang sudah mencecah 3 bulan 1 minggu dan 4 hari. Hari yang paling excited buat baby sebab ingin berjumpa dengan jururawat yang berdedikasi dan baik hati di klinik kesihatan Indera Mahkota 2. Hari yang kami tunggu-tunggukan jua untuk mengetahui kesihatan baby yang semakin pandai menendang perut ummi. Huhu.

Tapi impian hanya tinggal impian. Hajat kami untuk check-up baby tidak kesampaian kerana kesibukan ayah dan ummi dengan urusan masing-masing. Hari di mana ayah ditugaskan attachment di HTAA untuk mempelajari TPN atau Total Parenteral Nutrition. Attachment yang bermula dari pagi hinggalah ke petang.

Manakala ummi pula posting di HTAA di wad ENT bermula dari pukul 2 petang hinggalah ke jam 9 malam. Check-up yang sepatutnya dilakukan pada waktu pagi tidak dapat dipenuhi. Ish ish sibuk benar kami berdua ni sampai tak ada masa nak check-up baby. Kesian baby dah excited tadi. Memang perkara yang tidak dapat kami tunaikan kerana sibuk memenuhi kriteria pembelajaran masing-masing.

6 Mac 2009

“Ini Mawaddah ye? Kenapa adik tak datang semalam?”, tanya jururawat di klinik Indera Mahkota 2.

“Haah. Saya dengan suami sibuk posting kat HTAA semalam. Minta maaflah kak”, jelas ummi.

“La.kenapa tak buat check-up kat klinik O&G HTAA? Bagitau je kami nak buat check-up kat sana”, terang jururawat yang ummi kenali ketika posting di poliklinik Beserah.

“Saya tak tahu boleh buat di sana. Maklumlah tak de pengalaman lagi”, jawab ummi tersenyum.

“Tak pelah kalau macam tu. Ni saya bagi tarikh baru. Kalau tak dapat datang bagitaulah ye. Kami boleh datang ke rumah”, prihatin jururawat yang memberi alternatif pada kami.

“Oo. Terima kasih ye kak”, ujar ummi sebelum kami beredar.

Kami ingatkan boleh check-up walaupun lewat sehari dari tarikh yang ditetapkan tetapi nurse yang bertugas di sana ada aktiviti lain yang memaksa mereka keluar seperti school nursing ataupun home nursing. Mungkin mereka ingin memberi ceramah di sekolah ataupun melawat ibu-ibu yang sama ada mengandung ataupun masih dalam pantang.

Tidak dapatlah baby nak check-up di klinik tadi. Jangan sedih ya baby. Nurse dah tetapkan satu tarikh baru. InsyaAllah kami akan cuba tunaikan walaupun di tempat selain klinik kesihatan IM 2.

Apa yang penting? Baby sihat. Hehehe.

March 6, 2009

Maafkan Ayah


Kemaafanmu yang ku pinta
Walau terpaksa menempuh derita
Agar kau bahagia kelak di dunia
Merasai hakikat kemanisan cinta

Sungguh, banyak rasanya kelemahan dan kesilapan yang ayah lakukan terhadap baby. Walaupun baby masih kecil di dalam kandungan ummi, tapi ayah boleh merasakan kehangatan jiwa baby yang selalu bermain-main di dalam rahim ummi. Sudah pandai meluah rasa hati walaupun masih belum mengenal dunia nyata yang sebenarnya. InsyaAllah baby akan jadi insan yang pandai menurut pandangan Islam.

“Sesungguhnya manusia yang paling bijak ialah manusia yang sentiasa mengingati mati dan bersedia menghadapinya”

Apa sebenarnya kesalahan ayah pada baby?

Ayah ada pukul baby ke kat perut ummi?

Ish, tak delah sampai macam tu kejam ayah pada baby. Walaupun ada kes suami menendang perut isteri semasa mengandung kerana keceluparan mulut si isteri, ayah tidaklah sanggup menendang ummi yang sangat sopan dan baik terhadap ayah. Bahagia rasanya mendapat isteri yang mampu menenangkan jiwa kita di saat kita dalam kegelisahan.

“Wahai tuhan kami. Engkau jadikanlah isteri kami dan zuriat kami sebagai penyejuk mata kami dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa”

Ayah memohom kemaafan sekiranya ayah tidak mampu menyediakan segala keperluan baby yang sudah pandai mengidam. Bukanlah mengidam sebenarnya tetapi lebih kepada keinginan baby yang kadang-kadang menginginkan sesuatu makanan atau minuman yang ‘special’ dari kebiasaan (ataupun ummi yang teringin sebenarnya. Huhu.)

Minggu lepas semasa usia baby mencecah 3 bulan 1 minggu di dalam kandungan, ummi mengatakan bau mulut ayah seperti bau buah laici. Puas ayah mencium sendiri bau mulut yang baru lepas digosok, tetapi tiada bau seperti yang ummi katakan.

Mungkin ummi teringin laici kot, bisik ayah dalam hati.

Dan ternyata benar ummi mengorder air laici sebagai minuman makan malam kami. Perkara sama berulang keesokan harinya di mana bau mulut ayah bertukar kepada jagung dan seterusnya epal pada malam berikutnya. Masuk hari keempat tiada lagi bau buah-buahan dari mulut ayah. Lega rasanya begitu kerana risau bau buah yang sukar didapati di Malaysia.

Kalaulah ummi terbau buah yang sukar didapati jusnya di sini, jawabnya sampai keesok pagilah ayah terpaksa mencarinya untuk memenuhi keinginan baby. Tiadalah sampai mengidam rasanya kerana ummi boleh beralah untuk minum minuman yang lain seperti air jagung yang tiada di gerai tempat kami menjamu selera tempoh hari.

Baik juga baby ye dengan ayah. Boleh compromise kalau tak dapat kehendak hati. Nanti kalau tak dapat mainan yang baby nak dah besar nanti, compromiselah ye. Bertuah ayah nanti dapat baby. Boleh bangga dengan opah aki. Hehe. Maaf ye baby tak dapat minum jus jagung. Nanti ayah ganti balik.

Baby pun dah pandai lapar sekarang ni. Terkadang kalau lapar, baby akan tendang perut ummi sampai ummi sakit supaya ummi makan. Pandai sungguh minta makanan kat ummi ye. Ummi pun layan sahaja kehendak baby yang kelaparan. Comel sungguh kalau difikir-fikirkan.

Tetapi kadang-kadang perut ummi sakit ditendang baby pada tengah malam meminta makanan daripada ayah. Tak sampai hati ayah tengok kesakitan ummi dan terus meluncur laju ke gerai makan berdekatan. Walaupun baby yang lapar, tapi ayah boleh tumpang sekaki. Kesannya, ayah sendiri yang mengandung dua bulan tanpa disedari. Mengandung tanpa bersalin. Haha.

Ish ish, baby zaman sekarang pun dah pandai supper ye. Kalau tak nanti baby tendang perut ummi. Bertuah sungguh anak ayah ni. Pandai minta makanan dari ayah. Nak manja dengan ayahlah katakan.

Walaupun berbagai-bagai keinginan baby (ataupun ummi) yang mengidam sesuatu, ayah akan cuba sedaya-upaya memenuhi kehendak hati baby. Kasih sayang ayah pada baby tidak akan berbelah bagi membuktikan kecintaan ayah pada zuriat sulung ayah ini. Terjadi juga ayah tidak berkemampuan memenuhinya kerana ummi berada di hospital atau di kampus Jalan Hospital.

Dengan rasa bersalah dan kasian pada zuriat serta isteri tersayang, ayah memohon seribu kemaafan atas kelemahan ayah yang mungkin tidak disedari atau disengajakan. Semoga Allah menerima segala amalan kita dan mencukupkan rezeki buat kita sekeluarga. Amin.

March 4, 2009

Berbeza Tetapi Bahagia


Perbezaan bukan alasan untuk tidak bahagia. Hati ummi tercuit untuk menulis tentang ini kerana sesungguhnya, ummi dan ayah adalah dua insan yang sangat berbeza dari segi latar belakang, prinsip hidup, karakter, minat, dan banyak lagi yang tak akan dapat ummi senaraikan di blog ini. Cuma ingin ummi nyatakan kepada anak ummi bahawa ummi dan ayah punya cita-cita yang sama dalam rangka menegakkan deen Islam dan kerana itulah jua kami bahagia bersama mengemudi rumahtangga yang dibina ini. Buat sahabat-sahabat semua, sesungguhnya baru diri ini sedar bahawa perbezaan tidak membataskan kebahagiaan.

Pasti anak-anak ummi dan sahabat-sahabat sekalian tertanya-tanya kan apakah perbezaan ummi dan ayah. Sekadar berkongsi dengan anak ummi yang bakal lahir ini dan sahabat-sahabat ummi ayah agar kita semua dapat bertaaruf dengan lebih dalam lagi.

Sewaktu di Sek. Men. Sains Tuanku Jaafar, ummi adalah seorang atlit sekolah yang seringkali terlibat dengan aktiviti olahraga di peringkat daerah. Sungguh banyak pingat emas yang telah ummi rangkul dalam acara balapan. Kenangan yang paling tak dapat ummi lupakan adalah menjadi johan merentas desa sekolah dan johan jogathon. Ummi juga sprinter sekolah. Banyak masa ummi dihabiskan di padang untuk latihan dan ummi telah banyak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Terbit rasa kecewa kerna ummi juara di padang, tetapi bukan di kelas.

Ayah pula sungguh berbeza dengan ummi. Komitmen ayah terhadap kelas dan pelajaran tidak berbelah bahagi. Ayah bukan seorang yang rajin mentelaah (ummi pun sama je), tapi ayah punya daya tumpuan yang sangat tinggi di dalam kelas. Otak ayah menangkap setiap bait-bait kata cikgu seperti sebuah kamera. Ummi jeles dengan ayah sebab ayah tidak pernah gagal untuk naik ke atas pentas bila tiba Hari Anugerah Cemerlang. Keputusan ayah juga tidak mengecewakan bila tiba peperiksaan PMR dan SPM. Pokoknya, ayah memang student straight A`s lah. Sampai di matrik pun begitu, kecemerlangan berterusan hingga kini. Ayah memang juara di kelas.

Dahulunya, ummi sangat pelik dengan kejayaan ayah. Ada sedikit rasa cemburu di hati ummi. Ummi rasa, sungguh gelap hati ini untuk menerima ilmu. Ummi cuba mengorek rahsia belajar ayah, tetapi jawapannya sungguh menghampakan sebab ayah kata setelah segala usaha dikudratkan, kita harus bertawakal kepada Allah di samping sentiasa berdoa dan itulah yang ummi tidak lakukan (ummi pula yang kena komen). Sebenarnya, bukan itu jawapan yang ummi mahukan daripada ayah. Dalam diam ummi aplikasikan segala nasihat ayah. Ummi takutkan kegagalan dan ummi tidak mahu keputusan akademik ummi menjadi fitnah kepada perkahwinan ini. Alhamdulillah, telah dua kali ummi mencapai kecemerlangan yang sebenar iaitu sewaktu ummi baru melansungkan perkahwinan dan sebelum ummi mengandungkan baby. Alhamdulillah, terkena juga tempias kepintaran ayah kepada ummi. Hehe.

Harapan ummi, kecemerlangan ini dapat membantu jalan Allah. Semoga anak di dalam kandungan ummi ini berjiwa besar dan punya cita-cita yang tinggi. Anakku, ummi harap baby ummi ni akan menjadi muslim yang serba boleh ya.

p/s:
Jelas sangat dari pengalaman ini bahawa perbezaan di antara suami isteri ataupun dengan sahabat-sahabat, bukanlah patut dijadikan alasan bahawa kita tidak sekepala, tidak boleh bersama mahupun hidup bahagia. Sebenarnya perbezaan inilah yang menjadikan kita semua saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kelebihan suami isteri atau sahabat kita, mendokong kelemahan kita. Perbezaan inilah jua yang mencorakkan hidup kita dengan pelbagai warna menjadikan hidup ini cukup indah untuk dilalui bersama.

10 Minit



Apa maknanya 10 minit dalam hidup ayah?

Mungkin 10 minit itu hanyalah senggang waktu yang sangat singkat bagi sesetengah manusia. Mungkin juga 10 minit itu berlalu tanpa kita sedari dek kerana sibuk melaksanakan kehidupan duniawi yang fana ini. Ataupun 10 minit yang diberi mampu mengubah seluruh perjalanan hidup kita tanpa kita sedari.

Sungguh, 10 minit itulah masa yang sangat penting bagi ayah suatu ketika dahulu. Hanya dalam masa 10 minit sahaja jodoh ayah ditentukan dalam sekelip mata. Dan dengan hanya 10 minit sahajalah ayah telah membuktikan keyakinan dan keteguhan perasaan ayah pada ummi. Ayah yakin ummilah jodoh yang telah ditentukan Illahi buat ayah.

Baby dengar mesti macam mustahil kan?

Macam mana jodoh boleh ditentukan dalam 10 minit je?

Bukankah hidup mati, ajal maut, jodoh dan rezeki berada dalam ketentuan yang Esa?

Memang benar bahawa segala takdir bagi diri kita telah ditentukan Allah termasuklah jodoh. Dan benar juga bahawa jodoh yang Allah tetapkan bagi ayah berasbabkan dari tempoh masa 10 minit yang diberikanNya melalui insan yang ummi ayah sayangi, paklong baby.

Segalanya bermula pabila paklong baby yang hensem (mesti paklong tersenyum baca ni. Hehe.) ni memanggil ayah di musolla sekolah kami selepas Isya. Ayah yang menjadi junior paklong ketika itu berasa agak terkejut dan gementar dengan panggilan paklong yang mungkin akan memarahi ayah. Mungkin marahkan ayah kerana ayah melakukan kesalahan tanpa disedari. Ataupun mungkin marahkan ayah kerana tindakan ayah meng’approach’ ummi semasa kami di tingkatan empat (paklong di tingkatan lima ketika itu).

“Abang nak jumpa sekejap lepas minum malam. Hafiz ada nak buat apa-apa ke?”, tanya paklong.

“Eh, tak ada apa-apa kot. Boleh je”, jawab ayah tertanya-tanya.

Sepanjang waktu minum itu ayah tercari-cari sebab ayah dipanggil paklong pada masa itu. Otak ayah ligat memikirkan kesalahan yang mungkin ayah lakukan tanpa ayah sedari. Rasanya tak ada pulak ayah berbuat kesalahan dengan paklong. Paklong tidak pernah memukul junior kecuali sekali semasa ada junior yang meninggalkan solat.

“Abang nak tanya skit. Betul ke kau suka dengan adik abang, Mawaddah?”, soalan pertama paklong setelah kami selesai minum malam.

“Hmm…Errr…”, ayah tergamam dengan soalan cepumas paklong.

“Janganlah takut. Abang bukan nak marah pun. Abang cuma nak kepastian je.”, jelas paklong bila melihat ayah ragu-ragu untuk menjawab.

“Boleh tak bang bagi saya masa sepuluh minit?”, pinta ayah pada paklong.

Ayah pun tidak tahu mengapa ayah meminta masa selama sepuluh minit untuk menjawab soalan tersebut. Kalau diikutkan yang sebenarnya, soalan itu bukanlah satu soalan yang sukar dijawab. Mudah rasanya untuk menjawab soalan yang memang ayah tahu menjawabnya. Mungkin ayah berperasaan gementar yang teramat sangat bila berdepan dengan bakal abang ipar ayah ataupun paklong baby.

“Boleh. Tak ada masalah. Ambillah seberapa banyak masa Hafiz. Jangan tergesa-gesa.”, ujar paklong menenangkan perasaan gementar ayah.

Sementara menunggu masa sepuluh minit berlalu, kami berborak-borak tentang keadaan masing-masing. Berbual-bual mesra walaupun sebenarnya ayah memikirkan ayat yang paling sesuai untuk diterangkan pada paklong. Masa sepuluh minit berlalu dengan cepatnya walaupun ayah sebenarnya masih tidak berani untuk menyuarakan perasaan ayah yang sebenarnya pada paklong. Ayah berharap agar jawapan ayah mempu memenuhi kehendak paklong.

“Betullah saya suka dengan adik abang. Saya ada bagitau dengan seorang kawan kami. Rasanya dia dah bagitau dengan adik abang.”, jawab ayah yakin walaupun gementar.

“Haah. Kami sekeluarga dah tahu dah. Cuma abang nak kan kepastian je dari Hafiz. Bila dah dengar dari mulut Hafiz sendiri barulah abang yakin dengan kata-kata orang lain.”, jelas paklong pada ayah.

“Oo. Macam tu ke.”, kata ayah lega. Lega dengan penjelasan terus terang paklong.

“Nanti kalau ummi abah datang sini, Hafiz boleh jumpa ye?”, tanya paklong.

“InsyaAllah. Boleh.”, ayah bersetuju.

Begitulah kisah tentang masa yang sangat penting bagi ayah. Masa yang menentukan masa depan ayah seperti yang ayah lalui sekarang. Sekiranya ayah menjawab tidak pada masa itu, mungkin perjalanan hidup ayah akan berbeza dari yang ayah alami sekarang. Mungkin ayah akan merantau jauh di negeri orang menuntut ilmu. Mungkin juga ayah tidak berkahwin lagi pada masa ini.

Tetapi sekarang tidak ada mungkin-mungkin lagi dalam hidup ayah. Yang ada hanyalah kenyataan yang harus kita tempuhi dengan hati yang bahagia. Usia perkahwinan ayah dan ummi pun sudah menginjak waktu satu tahun. Baby pun sekarang sudah tiga bulan seminggu dalam perut ummi. InsyaAllah ummi ayah akan menjaga sebaik-baiknya hingga baby lahir ke dunia ini.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan yang haq dan meraka yang berpesan-pesan dengan kesabaran. ”

March 2, 2009

Budak Comel


“Ada nampak faiha tak bang?”, tanya ummi.

“Tak de plak nampak. Kenapa?”, jawab ayah.

“Dia tak de kat sini. Tadi dia ada dengan sayang. Abang tolong carikan bang”, jelas ummi cemas.

Risau sungguh hati kami bila Faiha binti Asri tiada di depan mata. Baru sebentar tadi kelibatnya ada bersama ummi yang tidak ikut jogging bersama opah kerana bawaan baby dalam kandungan. Puas ummi ayah bersama paklong mencarinya di taman permainan yang padat dengan kanak-kanak bermain riang tetapi Faiha tidak kelihatan.

“Macam mana ni abang? Kita cuba cari kat bawah nak?”, cadang ummi setelah puas mencari.

Ayah mengiyakan sahaja kerana sudah puas kami mencari di kawasan kami berkumpul. Sahabat-sahabat semuanya sedang ber’jogging’ dan ayah baru sahaja selesai melengkapkan satu pusingan Taman Tasik Permaisuri tersebut. Cemasnya kami tidak terkata kerana ummi ditugaskan manjaga makanan dan anak-anak kecil sahabat. Sebelum itu Faiha kelihatan mengikut abangnya Muadz bermain dan tiba-tiba hilang dari pengawasan ummi kerana sibuk menjaga anak kecil yang lain.

Ummi ayah tidak putus-putus berdoa dan mencari kelibat anak comel tersebut. Berbagai-bagai tanggapan buruk terlintas di benak kami dan berharap tiada apa-apa terjadi pada Faiha dan dilindungi Allah dari sangkaan buruk kami. Semoga Faiha terselamat dari berita-berita sedih yang melanda ibu bapa yang kehilangan anak. Nauzubillah.

“Ada nampak Faiha tak?”, tanya ummi pada Aisyah yang turut serta ber’jogging’.

“Dia ada tadi dengan ummi dia. Dia nak ikut akak dengan ummi dia jogging sekali”, jawab Aisyah.

Alhamdulillah. Lega sungguh hati kami mendengarnya. Risau apa-apa yang tidak diingini terjadi pada anak kecil sahabat ummi ayah tersebut. Kami boleh bayangkan ketakutan anak tersebut sekiranya dia menangis atau dikelilingi dengan orang yang tidak dikenalinya. Kanak-kanak sekecil itu yang tidak lagi mengenal dunia yang semakin tidak berperikemanusiaan ini.

Itulah perkara cemas yang terjadi semasa rehlah kami sekeluarga di Taman Tasik Permaisuri bersama sahabat-sahabat tercinta. Sudah lama kami tidak berkumpul di sana lebih-lebih lagi ummi ayah yang sudah lama tidak pulang menjenguk opah di Cheras. Seronok rasanya dapat berjumpa kerana kasih sayang yang terjalin antara kami. Berbual-bual mesra hinggakan terlupa waktu sudah menginjak tengahari. Menjelang pulang, kami sempat bersalam-salaman tanda perpisahan kerana Allah. Sempat juga ummi mencuit pipi Faiha yang sungguh chubby dan menjadi kerisauan hati kami sebentar tadi.

Kami berharap dapat bertemu lagi dengan sahabat-sahabat yang menenangkan hati kami yang terkadang sibuk dengan urusan duniawi. Semoga ukhuwwah yang terjalin sesama kita berkekalan hingga ke syurga hendaknya. Amin.