Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

May 27, 2010

Kasih Ayah

Salam sayang ayah pada Little Mujahid Jr ayah yang sorang ini. Salam sayang jua buat mujahid ayah, `Ukasyah yang sedang menunggu ummi ayah di pintu syurga. Semoga ummi ayah dan anak-anak kami termasuk dalam golongan insan yang terpilih.

Sungguh ayah menyayangi `Ukasyah dan Little Mujahid Jr yang sangat soleh ini tanpa melebihkan sesiapa pun. Dan tiada bezanya antara kasih sayang seorang anak dengan anak yang lain. Kadang-kadang bila anak-anak sudah dewasa, akan timbul perasaan tidak puas hati dalam diri masing-masing yang menuduh ibu bapa pilih kasih pada anak-anak mereka. Puncanya bapa yang selalu membelikan barang keinginan adiknya. Ataupun ibu yang selalu memanjakan adik bongsunya. Dan perasaan inilah yang nanti akan menjadi duri dalam daging hubungan sesebuah keluarga itu.

Kenapalah ayah cerita tentang pilih kasih ni ye? Ayah ingin anak-anak tahu yang ummi ayah menyayangi anak-anak kami sama sahaja antara satu sama lain. Sekiranya kasih untuk `Ukasyah seluas langit dan bumi, maka seluas langit dan bumi jualah kasih untuk Little Mujahid Jr. ni. Dan kebanyakan ibu bapa di dunia ini mempunyai perasaan yang sama seperti ummi ayah. Kecualilah ibu bapa yang `derhaka’ pada anak-anaknya. Derhaka terhadap hak-hak anak padanya.

Kasih sayang bertambah dengan bertambahnya jumlah anak.

Itulah formula yang ummi ayah pegang menunjukkan nilai kasih sayang kami pada anak-anak kami. Dahulu, semasa `Ukasyah dilahirkan, kasih kami pada seluas langit dan bumi. Dan sekarang dengan kehadiran Little Mujahid Jr., bertambahlah kasih sayang kami seluas langit dan bumi jua untuk adik `Ukasyah ini menjadi kasih sayang sebanyak dua langit dan bumi.

Sebagai contoh. Selalunya anak berfikir dengan kehadiran adik baru, maka kasih sayang ibu bapa akan terbahagi dua antara dia dan adiknya. Dan ibu bapanya akan melebihkan adiknya dari dirinya. Kesannya, si anak tadi akan merasakan dirinya tidak disayangi lagi dan mungkin menimbulkan dendam dalam dirinya yang kemudian akan dibalas semasa ibu bapanya sudah tua. Dan sesungguhnya pandangan si anak tadi 100% SALAH.

Sebenarnya kasih sayang tidak berubah walau sedikit pun dengan kehadiran orang baru dalam keluarga. Kasih sayang akan bertambah menjadi dua dengan adanya dua orang anak dan menjadi tiga dengan tiga orang anak dan begitulah seterusnya. Yang berubah hanyalah masa yang dihabiskan antara dua anak tadi. Si kecil sudah tentu memerlukan lebih masa untuk dijaga walhal si abang hanya memerlukan sedikit sahaja masa untuk diperhatikan. Perkara ini teraplikasi juga dalam bab wang dan juga tenaga.

Dengan lahirnya Little Mujahid Jr nanti, kasih sayang ummi dan ayah tidak akan berubah sedikit pun terhadap `Ukasyah yang sedang berbahagia sekarang. Kasih kami pada anak-anak akan sentiasa bertambah dengan bertambahnya jumlah anak ummi ayah nanti. Dan seharusnya ummi ayah cemburu dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sehingga mencecah bilangan dua angka. Jumlah kasih sayang mereka sudah tentunya dua angka juga!!

Terubatnya hati ummi ayah

Sungguh banyak kelebihan yang Allah berikan pada ibu bapa yang kematian anak yang masih kecil. Kelebihan di atas kesabaran dan ketabahan mereka yang ditakdirkan kehilangan cahaya hati mereka. Ini menunjukkan yang Allah sayang pada mereka dan tidak berlaku zalim terhadap takdirNya pada mereka. Dan perkara inilah yang menjadikan ummi ayah tabah dan berlapang dada terhadap perginya `Ukasyah dari sisi kami.

Salah satu kelebihan yang menjadikan hati ummi ayah tenang dan terubat dengan pemergian `Ukasyah ialah kelebihan ketika di padang masyar yang diceritakan oleh Tuan Guru Nik Aziz di dalam bukunya berkenaan hari kiamat.

Seorang ulama pernah bermimpi dia berada di padang mahsyar yang sangat panas keadaannya. Manusia ketika itu berada dalam keadaan yang sangat panas, haus dan keletihan menanggung azab di padang mahsyar. Dan ketika itu dia terlihat anak-anak kecil berjalan di celah-celah manusia memegang cawan yang berisi air.

Dia cuba meminta air daripada anak itu, “Boleh berikan aku air itu?”

Anak itu bertanya kembali, “Adakah engkau ibu bapa yang pernah kematian anak kecil ketika di dunia dahulu?”

Dia menjawab,”Tidak.”

Anak kecil itu memberitahu,“ Air dari syurga ini hanyalah untuk ibu bapa yang pernah kehilangan anak ketika masih kecil”

Dan air syurga itu dapat menghilangkan haus ketika di mahsyar yang sangat panas dan azab itu sehingga mereka dimasukkan ke syurga.

Cerita yang disampaikan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan kami dengan perginya mujahid tersayang kami, `Ukasyah. Terbayang wajah `Ukasyah ketika di akhirat kelak dengan wajahnya yang bersih dan suci sebagai ahli syurga. Dan membawakan cawan berisi air dari syurga ketika kami di padang mahsyar yang maha dahsyat nanti. Sesungguhnya ummi ayah merindukan pertemuan kami dengan `Ukasyah nanti.

Tetapi nikmat yang sungguh besar ini ada syaratnya menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin. Hanya ibu bapa yang beriman dan beramal soleh sahaja yang akan beroleh kelebihan di padang mahsyar ini nanti. Dan kami sedang berusaha untuk menjadi insan dan hamba Allah yang terpilih itu demi mengharapkan redha Allah dan pertemuan dengan `Ukasyah yang tersayang. InsyaAllah.

Salam sayang buatmu anakku `Ukasyah dan Little Mujahid Jr. yang amat ayah rindui. Semoga kita semua bersama-sama dimasukkan ke syurga yang kekal abadi. Amin.

1 comment:

  1. salam..

    terharu saya membacanya..

    saya juga baru kehilangan anak kecil..

    mudah-mudahan dipermudahkan bertemu semula dgn ahli2 syurga itu..

    ReplyDelete