Panggilan dari pihak taska yang memang ummi ayah jangkakan selepas perginya mujahid kami. Pihak taska sebenarnya ingin berjumpa dengan ummi ayah tetapi dengan trauma yang dialami ummi, kami memilih untuk tidak berjumpa. Trauma dengan tempat terakhir `Ukasyah menghembuskan nafas terakhirnya lebih-lebih lagi trauma dengan kecuaian pengasuh yang menjadi asbab `Ukasyah ke syurga.
Setelah 2 minggu ummi ayah bercuti untuk menghilangkan kesedihan dengan perginya anak tercinta, alhamdulillah sedikit sebanyak terubat hati yang pilu dengan pemergian `Ukasyah. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Kulliyyah of Nursing dan Kulliyyah of Pharmacy serta pensyarah-pensyarah yang sangat memahami perasaan kami ketika itu dengan memberi kelonggaran untuk bercuti. Hadir semula semangat untuk menghabiskan sisa pengajian dan terus berusaha untuk mencapai redhaNya.
Tapi mesej dari pengasuh `Ukasyah, Azizah mengungkit kembali kenangan pahit itu. Pemilik taska Anakku Comel, Pn Siti ingin bertemu dengan ummi ayah sekembalinya kami ke Kuantan. Bukanlah kami tidak mahu berjumpa, tetapi membayangkan apa yang bakal terjadi nanti membuatkan kami memilih untuk tidak bersua muka.
Biarlah tiada lagi hubungan kami dengan pihak terbabit kerana ia akan mengimbas kembali detik-detik bagaimana `Ukasyah kembali menghadap Ilahi. Pedihnya hanya Allah yang mengetahuinya. Kesedihan dan ingatan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat.
“Salam. Minta maaf, saya rasa kamu tidak perlu ziarah kami. Isteri saya masih trauma dan kecewa dengan apa yang berlaku. Dan bos kamu tidak pernah call dia hingga ke hari ini. Semasa `Ukasyah di wad kecemasan pun dia sibuk dengan hal-hal teknikal dan tidak memikirkan perasaan kami ketika itu. Biarlah masa dan keadaan yang menentukan. Semoga ia tidak terjadi pada bayi-bayi yang lain. Allah tahu apa yang terbaik buat kami”, mesej ayah kepada Azizah, ketua pengasuh di taska tersebut cawangan Indera Mahkota.
Benar. Pihak taska pernah meminta maaf ketika `Ukasyah di wad kecemasan. Tetapi kenyataan pemilik taska tersebut membuatkan perasaan kami terguris.
“Taska mengikut panduan yang ditetapkan JKM iaitu seorang pengasuh untuk 3 bayi. `Ukasyah diberi minum susu 2 oz pada pukul 5 petang dan kemudian disendawakan dan tidur pada pukul 5.15 petang. Dari dahulu lagi taska tidurkan bayi dengan meniarap dan kepala diiringkan untuk mengelakkan bayi tersedak”, kata Pn Siti ketika itu.
Bukanlah kami tidak redha dengan pemergian `Ukasyah dan menerima ketentuanNya, tetapi kadang-kadang kata-kata itu boleh membuatkan insan lain terluka dan sedih.
Bolehkah untuk tidak menyatakan hal-hal teknikal ketika itu? Kami yang sedang bersedih tidak perlu semua penjelasan itu. Hanya simpati ataupun berdiam diri yang lebih baik.
Dan segalanya berulang kembali ketika Pn Siti menelefon ummi petang Selasa.
Segalanya bermula dengan baik dan ummi berlapang dada kerana ia tanggungjawab sesama muslim. Tetapi kami tetap dengan pendirian kami untuk tidak berjumpa kerana takut banyak hati yang akan terguris dan menambah dosa yang telah sedia banyak.
Ayah tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Pn Siti tetapi ayah dengar apa yang ummi cakapkan ketika itu.
“`Ukasyah telah pergi dan tiada apa yang perlu dibincangkan untuk kita berjumpa. Saya tidak mahu mengungkit kembali kenangan yang pahit itu……
Kami sedang dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya atas kecuaian pihak taska…..
Kalau ada seorang yang menjaga bayi di dalam bilik tersebut, takkanlah dia tidak mendengar anak saya bersuara sedikit pun. Mesti anak saya ada terbatuk atau berbunyi ketika dia tersedak…..
Kalau pengasuh semua trauma sampai tidak mahu mengangkat `Ukasyah, habis saya sebagai ibunya tidak trauma? Saya lagilah trauma nak mengambil `Ukasyah masa tu…..
Memang siapa pun tak mahu perkara ni terjadi tetapi kecuaian tetap kecuaian…..
Siapa yang tidak mengalaminya tidak akan merasainya. Kalau kamu di tempat saya pun pasti kamu akan bertindak seperti yang saya buat……
Jadi kamu ingin menyalahkan saya atas kematian `Ukasyah?
Saya sudah banyak bertolak ansur dengan pihak taska. Minggu sebelum `Ukasyah meninggal, jari `Ukasyah berdarah sebab pengasuh yang potong kuku dalam-dalam. Kalau satu dua jari boleh diterima, tapi ni hampir semua jari. Suami saya tak bagitahu saya sebab perkara kecil dan `Ukasyah pun tak menangis. Dan kami pun sedikit lebih kurang untuk tidak menghantar `Ukasyah ke taska jika tiada kelas….
Takpelah puan. Biar masa dan keadaan yang menentukan segalanya....”, antara perbualan ummi di telefon.
Hati ummi telah tenang sebelum ini tetapi setelah mendapat panggilan dari Pn Siti, ummi kembali sedih dan selalu teringatkan `Ukasyah. Ummi ayah menerima ketetapan Ilahi tetapi pihak taska susah untuk mengakui kecuaian mereka dan cuba untuk memberi berbagai alasan atas apa yang terjadi.
Adakan takut perniagaan taskanya merudum? Mungkin.
Tiada siapa yang mahu menutup periuk nasi mereka, tetapi kelalaian dan kecuaian mereka yang memakan diri. Samalah seperti kes bas Sani Express yang terlibat dengan kemalangan disebabkan kecuaian pemandunya. Dan sekarang permit bas ini mungkin akan digantung. Tiada siapa yang inginkan perkara ini terjadi baik pihak bas, pemandu mahupun penumpang. Pemandunya sendiri mengakui kemalangan akibat kecuaian dirinya yang mengantuk ketika itu.
Kami bukanlah inginkan pampasan yang berjuta ringgit mahupun satu sen. Yang penting kejadian ini tidak berlaku kepada bayi-bayi lain yang tidak berdosa dan pihak taska tidak mengambil mudah atas apa yang terjadi disebabkan ibu bapa yang redha dengan kematian anak mereka. Biarlah setiap manusia menghargai nyawa insan lain yang tidak bersalah terutamanya bayi yang suci dari segala dosa lalu mahupun akan datang.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa ummi dan ayah dan mereka yang bertaubat kepadaNya.
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan: "Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad)". Katakanlah: "Semuanya (datang) dari sisi Allah". Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikitpun?
An-Nisaa : 78
~Abu `Ukasyah~