Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary

Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..
Powered by Blogger.

May 31, 2010

Hari-hari Terakhirku...


Assalamulaikum,

Hari ini akan bermula lagi clinical posting di paeds ward, Hospital Temerloh. Tinggal 5 hari sahaja lagi untuk menamatkan posting sepanjang pengajian ini. Mungkinkah ummi akan melaluinya sekali lagi? Ummi serahkan pada-Nya untuk menentukan yang terbaik buat deen, keluarga dan anak-anak ummi. Selepas habis clinical posting pada hari jumaat ini, banyak perancangan yang hendak ummi ayah laksanakan.

Ummi ada masa dua minggu saja untuk mengulangkaji pelajaran sepanjang empat tahun pengajian kerana ummi akan menduduki Nursing Board Exam pada 23 Jun 2010 ini. Exam ini sangat penting untuk ummi kerana jika ummi gagal, maka Ummi tidak akan dapat lesen untuk practice. Tapi ummi ayah ada tanggungjawab lain juga yang hendak ditunaikan. Sudah lama tidak balik ke Tampin kerana sibuk ke sana ke mari. Ummi ayah akan pulang ke Tampin sekejap( untuk memberi ruang dan masa kepada ummi mengulangkaji pelajaran). Walaupun tidak lama,ummi harap masa yang diluangkan bersama sangat berkualiti kan.

Begitulah kehidupan `married students` seperti ummi ayah. Perlu bijak membahagi masa untuk DnT, keluarga, pelajaran dan yang lain. Ummi rasa sama sahaja seperti orang lain yang berkahwin ketika sudah bekerja. Tanggungjawab yang dipikul sama sahaja. Bezanya, kami pergi ke kelas.

Sampai di sini sahaja entri Ummi untuk kali ini. Sebenarnya ummi seperti kehabisan idea untuk menulis kerana pukul 2 petang ini,Ummi hendak pergi wad. Semoga Allah berkati segala usaha-usaha kita dalam mendapatkan redha-Nya.

p/s: Sekarang, little mujahid junior sudah menjadi `alarm` ummi ayah. Seawal pukul 4 ke 5 pagi, beliau tidak akan berhenti menendang ummi, sehinggalah ummi bangun dari katil ye. Soleh anak ummi ini, banyak tarbiyyah ummi ayah ye. Ummi perasan sangat yang anak ummi ini ada rutin hariannya yang tersendiri. Bangun awal pagi. Tidur sekejap waktu tengah hari. Petang sampai malam akan aktif sangat. Malam, hero ummi akan tidur seawal pukul 9 malam dan paling lewat pun pukul 12 malam.




May 27, 2010

Kasih Ayah

Salam sayang ayah pada Little Mujahid Jr ayah yang sorang ini. Salam sayang jua buat mujahid ayah, `Ukasyah yang sedang menunggu ummi ayah di pintu syurga. Semoga ummi ayah dan anak-anak kami termasuk dalam golongan insan yang terpilih.

Sungguh ayah menyayangi `Ukasyah dan Little Mujahid Jr yang sangat soleh ini tanpa melebihkan sesiapa pun. Dan tiada bezanya antara kasih sayang seorang anak dengan anak yang lain. Kadang-kadang bila anak-anak sudah dewasa, akan timbul perasaan tidak puas hati dalam diri masing-masing yang menuduh ibu bapa pilih kasih pada anak-anak mereka. Puncanya bapa yang selalu membelikan barang keinginan adiknya. Ataupun ibu yang selalu memanjakan adik bongsunya. Dan perasaan inilah yang nanti akan menjadi duri dalam daging hubungan sesebuah keluarga itu.

Kenapalah ayah cerita tentang pilih kasih ni ye? Ayah ingin anak-anak tahu yang ummi ayah menyayangi anak-anak kami sama sahaja antara satu sama lain. Sekiranya kasih untuk `Ukasyah seluas langit dan bumi, maka seluas langit dan bumi jualah kasih untuk Little Mujahid Jr. ni. Dan kebanyakan ibu bapa di dunia ini mempunyai perasaan yang sama seperti ummi ayah. Kecualilah ibu bapa yang `derhaka’ pada anak-anaknya. Derhaka terhadap hak-hak anak padanya.

Kasih sayang bertambah dengan bertambahnya jumlah anak.

Itulah formula yang ummi ayah pegang menunjukkan nilai kasih sayang kami pada anak-anak kami. Dahulu, semasa `Ukasyah dilahirkan, kasih kami pada seluas langit dan bumi. Dan sekarang dengan kehadiran Little Mujahid Jr., bertambahlah kasih sayang kami seluas langit dan bumi jua untuk adik `Ukasyah ini menjadi kasih sayang sebanyak dua langit dan bumi.

Sebagai contoh. Selalunya anak berfikir dengan kehadiran adik baru, maka kasih sayang ibu bapa akan terbahagi dua antara dia dan adiknya. Dan ibu bapanya akan melebihkan adiknya dari dirinya. Kesannya, si anak tadi akan merasakan dirinya tidak disayangi lagi dan mungkin menimbulkan dendam dalam dirinya yang kemudian akan dibalas semasa ibu bapanya sudah tua. Dan sesungguhnya pandangan si anak tadi 100% SALAH.

Sebenarnya kasih sayang tidak berubah walau sedikit pun dengan kehadiran orang baru dalam keluarga. Kasih sayang akan bertambah menjadi dua dengan adanya dua orang anak dan menjadi tiga dengan tiga orang anak dan begitulah seterusnya. Yang berubah hanyalah masa yang dihabiskan antara dua anak tadi. Si kecil sudah tentu memerlukan lebih masa untuk dijaga walhal si abang hanya memerlukan sedikit sahaja masa untuk diperhatikan. Perkara ini teraplikasi juga dalam bab wang dan juga tenaga.

Dengan lahirnya Little Mujahid Jr nanti, kasih sayang ummi dan ayah tidak akan berubah sedikit pun terhadap `Ukasyah yang sedang berbahagia sekarang. Kasih kami pada anak-anak akan sentiasa bertambah dengan bertambahnya jumlah anak ummi ayah nanti. Dan seharusnya ummi ayah cemburu dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sehingga mencecah bilangan dua angka. Jumlah kasih sayang mereka sudah tentunya dua angka juga!!

Terubatnya hati ummi ayah

Sungguh banyak kelebihan yang Allah berikan pada ibu bapa yang kematian anak yang masih kecil. Kelebihan di atas kesabaran dan ketabahan mereka yang ditakdirkan kehilangan cahaya hati mereka. Ini menunjukkan yang Allah sayang pada mereka dan tidak berlaku zalim terhadap takdirNya pada mereka. Dan perkara inilah yang menjadikan ummi ayah tabah dan berlapang dada terhadap perginya `Ukasyah dari sisi kami.

Salah satu kelebihan yang menjadikan hati ummi ayah tenang dan terubat dengan pemergian `Ukasyah ialah kelebihan ketika di padang masyar yang diceritakan oleh Tuan Guru Nik Aziz di dalam bukunya berkenaan hari kiamat.

Seorang ulama pernah bermimpi dia berada di padang mahsyar yang sangat panas keadaannya. Manusia ketika itu berada dalam keadaan yang sangat panas, haus dan keletihan menanggung azab di padang mahsyar. Dan ketika itu dia terlihat anak-anak kecil berjalan di celah-celah manusia memegang cawan yang berisi air.

Dia cuba meminta air daripada anak itu, “Boleh berikan aku air itu?”

Anak itu bertanya kembali, “Adakah engkau ibu bapa yang pernah kematian anak kecil ketika di dunia dahulu?”

Dia menjawab,”Tidak.”

Anak kecil itu memberitahu,“ Air dari syurga ini hanyalah untuk ibu bapa yang pernah kehilangan anak ketika masih kecil”

Dan air syurga itu dapat menghilangkan haus ketika di mahsyar yang sangat panas dan azab itu sehingga mereka dimasukkan ke syurga.

Cerita yang disampaikan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan kami dengan perginya mujahid tersayang kami, `Ukasyah. Terbayang wajah `Ukasyah ketika di akhirat kelak dengan wajahnya yang bersih dan suci sebagai ahli syurga. Dan membawakan cawan berisi air dari syurga ketika kami di padang mahsyar yang maha dahsyat nanti. Sesungguhnya ummi ayah merindukan pertemuan kami dengan `Ukasyah nanti.

Tetapi nikmat yang sungguh besar ini ada syaratnya menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin. Hanya ibu bapa yang beriman dan beramal soleh sahaja yang akan beroleh kelebihan di padang mahsyar ini nanti. Dan kami sedang berusaha untuk menjadi insan dan hamba Allah yang terpilih itu demi mengharapkan redha Allah dan pertemuan dengan `Ukasyah yang tersayang. InsyaAllah.

Salam sayang buatmu anakku `Ukasyah dan Little Mujahid Jr. yang amat ayah rindui. Semoga kita semua bersama-sama dimasukkan ke syurga yang kekal abadi. Amin.

May 26, 2010

Little Mujahid Junior @ 6 bulan


Salam sayang buat kalian semua. Pada hujung minggu yang lalu, ummi sekali lagi pergi membuat antenatal check-up di Hospital Barakah. Kali ini, buat pertama kalinya ummi ayah pergi check-up berdua di Hospital Barakah kerana sebelum ini, pasti aki, opah, pak long atau pak cu teman ummi dan ayah. Tidak mengapa sebab ummi faham dengan kesibukan mereka.

Alhamdulillah, hero kedua kami ini sangat sihat. Sekali lagi detailed scan dilakukan oleh Dr. Khairiah. Mula-mula Dr. Khairiah palpate perut ummi, beliau sangat terkejut kerana fundal height (ketinggian rahim) ummi bezanya 3-4 cm dengan umur sebenar adik `Ukasyah. Perbezaan sebanyak 2cm boleh diterima, tetapi kali ini besar juga bezanya itu. Dr. Khairiah terus ambil tape dan ukur untuk mendapat kepastian. Memang sah, tepat agakan Dr. Khairiah sebentar tadi sampai Dr. Khairiah cakap, “Boleh tahan”.

Akhir-akhir ini, ummi memang asyik mengadu pada ayah yang ummi susah hendak tunduk ambil barang. Kalau sujud waktu solat, memang rasa senak sangat. Perut ummi juga tegang semacam, sedangkan ummi baru mengandung tujuh bulan. Ummi cakap pada ayah yang ummi rasa macam sudah sarat je. Sudah mula gastric dan sakit pinggang. Mengikut pengalaman mengandungkan hero sulung dahulu, symptom ini, mula dirasakan bila kandungan masuk trimester ketiga. Kalau berdiri lama di wad pula, ummi terpaksa jalan pegang perut sebab rasa perut macam hendak jatuh. Ramai juga yang menegur kebesaran perut ummi ini. Memang ketara juga kebesarannya.hehe.

Jadi, Dr. Khairiah scan lagi kali ini. Kandungan amniotic fluid ummi memang mencukupi. Placenta normal, tapi little mujahid junior yang agak berat untuk umurnya. Bahasa mudahnya, adik `Ukasyah agak tembam. Ummi berpeluang melihat raut wajahnya kali ini, memang agak terkejut juga. Saling tidak tumpah seperti abangnya, cuma hidung mancung sedikit. Pipinya sungguh gebu. Jari jemarinya sangat comel. Asyik menghisap jari anak ummi ini. Kakinya pula bersilang, amboi senang hati sungguh.

Tetapi kali ini, anak ummi kurang beri kerjasama pada Dr. Khairiah. Ini mesti sebab ayah lupa pesan pada hero ini. Selalunya ayah memang berpesan padanya supaya `soleh` waktu jumpa Dr. Khairiah nanti. Alhamdulillah, ummi tiada GDM (kencing manis), tetapi ummi ini memang keturunan besar-besar. Adik-beradik ummi semuanya lahir dalam 3 kg ke atas. `Ukasyah juga 3.15kg ketika lahir. Adik `Ukasyah, agaknya lagi beratlah kan dari abang dulu. Tidak mengapa sayang, asalkan kamu sihat saja.

Ummi rasa penangan posting di Kelantan iye juga. Pagi petang siang malam asyik makan nasi kerabu. Pokoknya semua jenis nasi menjadi pilihan ummi setiap kali waktu makan. Hasilnya berat ummi juga naik 2kg dalam masa 2 minggu posting di sana. Kenaikan berat badan itu memang banyak dan tidak seharusnya begitu. Berat ummi sekarang, kalau hendak dikirakan berat ummi adalah berat sewaktu ummi mula-mula mengandungkan `Ukasyah dulu. Waktu mengandung little mujahid junior, berat ummi banyak turun dan jumlah kenaikan sepanjang mengandung kali ini baru 1 kg. Walaubagaimanapun, ummi harus menjaga pemakanan ummi mulai sekarang.

Hari isnin baru-baru ini, ummi mula puasa ganti yang masih banyak untuk diganti. Alhamdulillah, berkat semangat dari opah dan ayah, berjaya juga ummi puasa. Sebelum ini ummi risau kalau memudaratkan little mujahid junior. Tapi bila sudah tahu tentang kesihatannya secara keseluruhan, ummi bertambah yakin. Bak kata ayah, kena kuat semangat untuk tarbiyyah little mujahid junior. Little mujahid junior memang tidak berhenti menendang perut ummi dan hampir sekali ummi tumpas hendak berbuka. Tapi, ayah pujuk heronya ini untuk bertahan dan heronya pun akur saja dengan ayah ye. Esok, projek mengganti puasa akan bermula lagi. Doakan si kecil ini dan umminya kuat tau.

May 20, 2010

WAD 6 UTARA, HUSM

Gambar terkini ummi dan ayah (6 bulan mengandung)



Salam sayang buat kalian semua. Alhamdulillah, ummi bersyukur sangat kerana telah berjaya menyempurnakan clinical posting ummi di wad kanser kanak-kanak, wad 6 Utara, HUSM. Clinical posting kali ini, benar-benar menyentuh naluri keibuan ummi. Ummi akhiri hari terakhir ummi di wad 6 Utara, dengan tangisan dan sedu di bilik hotel bersama ayah. Sungguh tidak dapat menahan air mata yang telah ummi tahan selama dua minggu ini. Ummi katakan pada ayah, ummi tidak sanggup lagi melaluinya sekali lagi. Teringat sungguh pada mujahid sulung ummi. Apatahlagi, mengenangkan anak-anak yang ummi tinggalkan di wad 6 Utara. Itulah kepayahannya bila ummi meletakkan diri ummi sebagai ummi kepada anak-anak kecil itu, bukan sebagai nurse yang merawat mereka.

Kecewa

Seorang ibu di wad ummi menyatakan kekecewaan beliau kepada ummi. Beliau seorang pendidik dan anak sulungnya menghidap kanser tulang (Ewing Sarcoma). Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga ummi ini,

“Akak kecewa sangat dik sebab anak sulung akak sakit. Sebelum ini, dialah harapan akak. Tinggi cita-cita kami padanya”.

Ummi hanya mampu memberikannya sokongan yang tidak berbelah bahagi. Ummi katakan padanya,

“Akak bertuah kerna dipilih Allah untuk diuji. InsyaAllah, semangatnya tidak akan luntur selagi ibunya jua bersemangat mengharungi ujian ini. Sungguh, tidak layak rasanya untuk saya menyuruh akak bersabar kerna saya tdak mendapat ujian seperti akak”.

Kalau ikutkan hati ummi, ingin sahaja ummi katakan padanya,

“Akak, anakku telah dijemput Allah. Hebat sungguh ujian ini buat saya. Semuanya bagai sekelip mata. Dia juga anak sulung saya, harapan saya, cita-cita saya terhadapnya sangat besar. Tetapi apabila saya telah dipilih oleh Allah, saya tidak punya pilihan lain lagi, selain terus tabah dan sabar serta mengutip segala hikmah di sebalik pemergiannya. Yakinlah, Allah menjanjikan sesuatu yang terbaik buat kita.”

Tetapi mulut ummi terkunci dari terus berkata-kata kepadanya kerana ummi tidak mahu melibatkan hal peribadi ketika bekerja. Lagi pun, pasti ummi jua akan menggoncang serta menghancurkan harapannya terhadap permata hatinya itu. Yalah, anak ummi telah meninggal, pasti beliau sedih jika ummi menceritakan kisah `Ukasyah padanya. Ummi doakan agar Allah mengurniakan yang terbaik buatnya dan anak beliau. InsyaAllah, perancangan Allah lebih hebat dari percaturan manusia.

Biarlah Rahsia

Ummi banyak mengundang persoalan kepada doktor-doktor, staff nurses, ibu bapa dan juga anak-anak kecil di wad 6 Utara kerana perut ummi buncit dan ummi pakai baju mengandung. Seringkali orang bertanya pada ummi sama ada ini kandungan yang pertama atau tidak. Tetapi ummi tidak pernah menyorokkan hakikat bahawa ini adalah kandungan kedua ummi kerna sesungguhnya, `Ukasyah memang pernah hadir dalam hidup ummi ayah. Tidak dapat ummi ayah untuk menidakkan kenyataan itu. Tetapi, ummi memilih untuk tidak menceritakan kisah `Ukasyah pada mereka, terutama sekali kepada para ibu bapa kepada kanak-kanak yang kurang sihat itu sebab ummi tidak mahu menggugat dan melunturkan sedikitpun semangat, ketabahan dan kesabaran yang menebal di dalam diri mereka. Biarlah ianya menjadi rahsia ummi.

Sedih sangat hati ini tatkala ada yang bapa yang berkata pada ummi, “Mesti awak tidak sabar nak habis kerja kan. Nak kejar anak di rumah”.

Ummi membalas dengan senyuman sahaja.

Ingin saja ummi katakan pada bapa mithali itu, “Encik, dia tidak lagi menunggu kepulangan saya kerna dia telah bahagia di sana”.

Ummi menangis di dalam hati. Balik bilik hotel, ummi ceritakan pada ayah tentang kesedihan hati ini.

Jika ingin ummi catatkan segalanya pengalaman ummi di wad 6 Utara, maka tidak cukuplah dengan satu entri saja. InsyaAllah, andai ada kesempatan lagi, akan ummi tuliskan lagi tentangnya. Inilah posting yang paling banyak memberi kesan kepada ummi dan juga ayah. Anak-anak adalah permata dan harta yang sangat berharga. Hargailah anak-anak, tunaikan hak-haknya dan didiklah zuriat kita.

Ummi ayah sayang sangat pada `Ukasyah dan si kecil, baby “U”….




May 15, 2010

Kerisauan di Hati Ummi


Assalamualaikum…

Pagi tadi, risau sungguh hati ummi sebab little mujahid junior ini, tidak menendang ummi. Biasanya, si kecil inilah yang mengejutkan ummi bangun. Waktu ummi ayah breakfast pun, ada sekali je little mujahid junior tendang ummi, pastu dia senyap je. Risau hati ummi dibuatnya, tapi ummi tidak menyatakan kerisauan ummi pada ayah. Lepas zohor tadi, little mujahid junior masih tidur nyenyak lagi, Cuma gerak sikit-sikit je, itupun bila ummi tekan-tekan dia.

Akhirnya, selepas azan Asar, little mujahid junior tidak berhenti-henti menendang perut ummi. Waktu ummi hendak berwudhuk, ummi rasa perut ummi berombak sangat. Rupa-rupanya anak ummi ini menendang dan bergerak-gerak dengan aktifnya. Keluar dari bilik air, ummi suruh ayah tengok plak gerakan ombak yang little mujahid junior buat. Ayah juga bersorak keriangan. Perut ummi bergerak ke kiri dan ke kanan. Hendak tunjuk skill baru rupanya anak ummi ini ye. Wahai hero kecil ummi, jangan buat ummi risau lagi tau. Kamu selalu aktif dalam perut ummi, bila kamu asyik tidur, ummi risau sangat. Ummi rasa kamu asyik hisap jari macam masa Dr. scan perut ummi. Semoga little mujahid junior membesar dengan sihat. Ummi ayah tidak sabar hendak jumpa kamu nanti. Baby, we love you so much..

p/s: esok adalah minggu terakhir ummi akan posting di HUSM. Ummi sudah tidak sabar lagi untuk menamatkannya. Moga Allah beri kekuatan dan badan yang sihat buat ummi.