Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

June 8, 2010

Perlu Berubah….


Dua hari sebelum pemergian mujahid sulung ummi, `Ukasyah. Ummi ayah rindu dan sayangkan kamu, tapi kasih sayang Allah padamu membatasi kasih sayang ummi ayah. Ini langkah pertama ummi membuka album kenangan bersamamu sayang. Dengan sengaja ummi memilih gambar yang tidak berapa jelas untuk permulaan ini.



Salam sayang buat anak-anak ummi dan zauj tercinta…

Ummi sedang merancang untuk menukar layout blog ini, tetapi ada sesuatu yang membuatkan hati ummi terlalu gusar untuk mengubahnya. Layout blog yang ummi guna sekarang menyimpan banyak kenangan ummi, ayah dan `Ukasyah. Ummi masih ingat lagi, layout blog ini ummi tukar tanpa pengetahuan ayah selepas ummi habis berpantang `Ukasyah. Waktu itu, ummi pilih layout ini kerana kata-kata di header blog ini iaitu, “The love of a family makes life beautiful”. Lagi satu kerana warnanya. Ayah suka warna hijau, ummi pula suka warna pink, jadi ummi buat keputusan pilih layout ini memandangkan ummi juga tidak minta izin ayah. Bila buat begiru, kenalah pilih layout yang ayah suka juga kan.

Tapi ummi rasa ummi perlu tukar juga layout ini. Ummi kena hijrah sebab setiap kali ummi buka blog anak-anak ummi ini, hati ummi sangat sayu rasanya. Percaya atau tidak, ummi masih tidak kuat untuk menatap gambar `Ukasyah di sidebar blog ini. Setiap kali ummi scroll down, ummi akan pejam mata ummi. Ummi berpendapat, dengan menukar layout ini, ummi akan lebih kuat untuk hadapi segala-galanya tentang `Ukasyah. Ibarat hijrah.

Selepas `Ukasyah sudah tiada, ummi banyak ubah diri ummi, mahupun susunan barang-barang. Jalan yang ummi biasa ikut bila bersama `Ukasyah, tidak lagi ummi lalui. Terutamanya bila di Kuantan. Bila terpaksa ikut juga, ayah akan suruh ummi pejam mata dulu. Sebab itu, ummi tidak mahu kembali ke Kuantan lagi. Trauma sangat rasanya diri ini. Apatahlagi bila ummi clinical posting di HTAA, langsung ummi tidak mahu lalu depan bilik mayat, mahupun emergency department. Hanya ada satu jalan yang boleh ummi lalui iaitu melaui Kulliyyah of Nursing. Waktu di hospital Temerloh, ummi mengelak berjumpa dengan kakitangan hospital yang mengenali ummi. Ummi bukannya popular pun, tetapi ramai yang ingat ummi sebab ummi pernah posting waktu ummi masih dalam pantang lagi. Ibaratnya, kalau jalan ummi selalu laju-laju. Ummi tidak mahu bertembung dengan orang yang mengenali diri ini. Sedih sangat bila jadi macam ini. Isk isk (Tiba-tiba menitis pula air mata).

Buat pengetahuan kalian, ummi selalu mengelak untuk berada di khalayak ramai atau menghadiri majlis-majlis tertentu, cuma tidak setiap masa ummi boleh begitu. Kebanyakannya ummi kuat hati dan tabahkan diri menghadiri program-program dan walimah kawan-kawan. Pada zahirnya, ummi kelihatan gembira, tabah dan kuat, tetapi sebenarnya ummi selalu menangis dengan ayah sama-sama di waktu kami terlalu rindukan `Ukasyah. InsyaAllah, setakat ini kami saling ingat-mengingati, kuat menguatkan antara satu sama lain. Allah sayang pada ummi ayah serta `Ukasyah jua. Masih teringat lagi ummi pada kata-kata ayah sejurus doktor sahkan `Ukasyah telah tiada. Ayah peluk ummi yang menangis dan ummi berkata pada ayah, “Abang, sayang ada abang sorang je lagi”. Ayah terus membalas, “Sayang masih ada Allah. Abang juga adalah pinjaman dari Allah”.

InsyaAllah, ummi yakin suatu hari nanti ummi akan 100% kembali seperti sewaktu adanya `Ukasyah, malah ummi mengharapkan ummi akan jadi lebih baik dari dulu. Seperti yang ummi janjikan pada ayah bahawa ummi yakin, segala-galanya akan kembali normal bila Little Mujahid Jr sudah lahir nanti. InsyaAllah, doakan ummi ayah terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini ye. Ummi ayah insan biasa yang masih perlu diproses hatinya. Rindu sangat padamu anakanda tercinta...

June 1, 2010

Untukmu Jiwa dan Darah Kami

Untukmu jiwa-jiwa kami

Untukmu darah kami

Untukmu jiwa dan darah kami

Wahai Al-Aqsa tercinta

Inilah ikrar mereka yang berjuang dalam misi menerobos tembok kematian Gaza, Lifeline4Gaza. Dan inilah juga ikrar ayah dan ummi untuk membebaskan palestin yang sedang dijajah Israel Zionis. Cemburunya ayah terhadap mereka yang syahid diserang tentera zionis yang kejam. Syuhada yang sedang berterbangan di sisi Tuhannya bak burung-burang yang terbang bebas. Ya Allah masukkanlah aku dikalangan syuhadaMu.

Ketika ini dilaporkan sekurang-kurangnya 16 orang telah syahid dari serangan zionis terhadap kapal induk Lifeline4Gaza, Mavi Marmara. Dan beratus-ratus lagi telah cedera dan ditawan oleh zionis laknatullah. Semoga Allah memberikan mereka keselamatan dan kemenangan dalam perjuangan ini. InsyaAllah.

Buat anak-anak ayah, `Ukasyah dan Little Mujahid Jr. yang disayangi, sesungguhnya ayah selalu berharap kamu akan menjadi sekuat dan setabah mujahid-mujahid yang telah mengorbankan diri dan harta mereka di jalan Allah. Dan ummi ayah selalu mendoakan anak-anak kami menjadi seorang yang soleh, musleh dan terutama sekali mujahid agar Islam tertegak di bumi ini. Hanya dengan Islam sahaja kita akan mulia dan berbahagia. Bukan dengan sosialis. Bukan dengan komunis. Bahkan bukan dengan apa sahaja selain Islam. Hanya Islam dan Islam sahaja.

Walaupun `Ukasyah telah pergi menuju ke syurga Ilahi tanpa sempat berjuang bersama mujahid-mujahid di Palestin sana, tetapi `Ukasyah telah berjaya memperoleh syurga yang kekal abadi yang merupakan cita-cita ayah buat anak-anak ayah. Semoga ummi ayah dan adik-adikmu yang lain berjaya memperoleh nikmat yang kamu perolehi sayangku.

Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah berdoa dan melakukan solat hajat buat mereka yang sanggup bergadai nyawa dalam misi Lifeline4Gaza ini. Kita juga boleh sedaya upaya memboikot barangan buatan Zionis Israel yang telah terbukti memberikan impak terhadap ekonomi mereka. Dan bagi mereka yang belum melakukannya, bolehlah melakukan sedikit sumbangan terhadap misi Lifeline4Gaza ini.

Tabung Palestin HALUAN
Maybank 5-644-902-085-28

Sesungguhnya Allah menilai terhadap segala apa yang kita kerjakan di dunia ini hatta yang sedikit sekali pun.


May 31, 2010

Hari-hari Terakhirku...


Assalamulaikum,

Hari ini akan bermula lagi clinical posting di paeds ward, Hospital Temerloh. Tinggal 5 hari sahaja lagi untuk menamatkan posting sepanjang pengajian ini. Mungkinkah ummi akan melaluinya sekali lagi? Ummi serahkan pada-Nya untuk menentukan yang terbaik buat deen, keluarga dan anak-anak ummi. Selepas habis clinical posting pada hari jumaat ini, banyak perancangan yang hendak ummi ayah laksanakan.

Ummi ada masa dua minggu saja untuk mengulangkaji pelajaran sepanjang empat tahun pengajian kerana ummi akan menduduki Nursing Board Exam pada 23 Jun 2010 ini. Exam ini sangat penting untuk ummi kerana jika ummi gagal, maka Ummi tidak akan dapat lesen untuk practice. Tapi ummi ayah ada tanggungjawab lain juga yang hendak ditunaikan. Sudah lama tidak balik ke Tampin kerana sibuk ke sana ke mari. Ummi ayah akan pulang ke Tampin sekejap( untuk memberi ruang dan masa kepada ummi mengulangkaji pelajaran). Walaupun tidak lama,ummi harap masa yang diluangkan bersama sangat berkualiti kan.

Begitulah kehidupan `married students` seperti ummi ayah. Perlu bijak membahagi masa untuk DnT, keluarga, pelajaran dan yang lain. Ummi rasa sama sahaja seperti orang lain yang berkahwin ketika sudah bekerja. Tanggungjawab yang dipikul sama sahaja. Bezanya, kami pergi ke kelas.

Sampai di sini sahaja entri Ummi untuk kali ini. Sebenarnya ummi seperti kehabisan idea untuk menulis kerana pukul 2 petang ini,Ummi hendak pergi wad. Semoga Allah berkati segala usaha-usaha kita dalam mendapatkan redha-Nya.

p/s: Sekarang, little mujahid junior sudah menjadi `alarm` ummi ayah. Seawal pukul 4 ke 5 pagi, beliau tidak akan berhenti menendang ummi, sehinggalah ummi bangun dari katil ye. Soleh anak ummi ini, banyak tarbiyyah ummi ayah ye. Ummi perasan sangat yang anak ummi ini ada rutin hariannya yang tersendiri. Bangun awal pagi. Tidur sekejap waktu tengah hari. Petang sampai malam akan aktif sangat. Malam, hero ummi akan tidur seawal pukul 9 malam dan paling lewat pun pukul 12 malam.