Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.

May 27, 2010

Kasih Ayah

Salam sayang ayah pada Little Mujahid Jr ayah yang sorang ini. Salam sayang jua buat mujahid ayah, `Ukasyah yang sedang menunggu ummi ayah di pintu syurga. Semoga ummi ayah dan anak-anak kami termasuk dalam golongan insan yang terpilih.

Sungguh ayah menyayangi `Ukasyah dan Little Mujahid Jr yang sangat soleh ini tanpa melebihkan sesiapa pun. Dan tiada bezanya antara kasih sayang seorang anak dengan anak yang lain. Kadang-kadang bila anak-anak sudah dewasa, akan timbul perasaan tidak puas hati dalam diri masing-masing yang menuduh ibu bapa pilih kasih pada anak-anak mereka. Puncanya bapa yang selalu membelikan barang keinginan adiknya. Ataupun ibu yang selalu memanjakan adik bongsunya. Dan perasaan inilah yang nanti akan menjadi duri dalam daging hubungan sesebuah keluarga itu.

Kenapalah ayah cerita tentang pilih kasih ni ye? Ayah ingin anak-anak tahu yang ummi ayah menyayangi anak-anak kami sama sahaja antara satu sama lain. Sekiranya kasih untuk `Ukasyah seluas langit dan bumi, maka seluas langit dan bumi jualah kasih untuk Little Mujahid Jr. ni. Dan kebanyakan ibu bapa di dunia ini mempunyai perasaan yang sama seperti ummi ayah. Kecualilah ibu bapa yang `derhaka’ pada anak-anaknya. Derhaka terhadap hak-hak anak padanya.

Kasih sayang bertambah dengan bertambahnya jumlah anak.

Itulah formula yang ummi ayah pegang menunjukkan nilai kasih sayang kami pada anak-anak kami. Dahulu, semasa `Ukasyah dilahirkan, kasih kami pada seluas langit dan bumi. Dan sekarang dengan kehadiran Little Mujahid Jr., bertambahlah kasih sayang kami seluas langit dan bumi jua untuk adik `Ukasyah ini menjadi kasih sayang sebanyak dua langit dan bumi.

Sebagai contoh. Selalunya anak berfikir dengan kehadiran adik baru, maka kasih sayang ibu bapa akan terbahagi dua antara dia dan adiknya. Dan ibu bapanya akan melebihkan adiknya dari dirinya. Kesannya, si anak tadi akan merasakan dirinya tidak disayangi lagi dan mungkin menimbulkan dendam dalam dirinya yang kemudian akan dibalas semasa ibu bapanya sudah tua. Dan sesungguhnya pandangan si anak tadi 100% SALAH.

Sebenarnya kasih sayang tidak berubah walau sedikit pun dengan kehadiran orang baru dalam keluarga. Kasih sayang akan bertambah menjadi dua dengan adanya dua orang anak dan menjadi tiga dengan tiga orang anak dan begitulah seterusnya. Yang berubah hanyalah masa yang dihabiskan antara dua anak tadi. Si kecil sudah tentu memerlukan lebih masa untuk dijaga walhal si abang hanya memerlukan sedikit sahaja masa untuk diperhatikan. Perkara ini teraplikasi juga dalam bab wang dan juga tenaga.

Dengan lahirnya Little Mujahid Jr nanti, kasih sayang ummi dan ayah tidak akan berubah sedikit pun terhadap `Ukasyah yang sedang berbahagia sekarang. Kasih kami pada anak-anak akan sentiasa bertambah dengan bertambahnya jumlah anak ummi ayah nanti. Dan seharusnya ummi ayah cemburu dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sehingga mencecah bilangan dua angka. Jumlah kasih sayang mereka sudah tentunya dua angka juga!!

Terubatnya hati ummi ayah

Sungguh banyak kelebihan yang Allah berikan pada ibu bapa yang kematian anak yang masih kecil. Kelebihan di atas kesabaran dan ketabahan mereka yang ditakdirkan kehilangan cahaya hati mereka. Ini menunjukkan yang Allah sayang pada mereka dan tidak berlaku zalim terhadap takdirNya pada mereka. Dan perkara inilah yang menjadikan ummi ayah tabah dan berlapang dada terhadap perginya `Ukasyah dari sisi kami.

Salah satu kelebihan yang menjadikan hati ummi ayah tenang dan terubat dengan pemergian `Ukasyah ialah kelebihan ketika di padang masyar yang diceritakan oleh Tuan Guru Nik Aziz di dalam bukunya berkenaan hari kiamat.

Seorang ulama pernah bermimpi dia berada di padang mahsyar yang sangat panas keadaannya. Manusia ketika itu berada dalam keadaan yang sangat panas, haus dan keletihan menanggung azab di padang mahsyar. Dan ketika itu dia terlihat anak-anak kecil berjalan di celah-celah manusia memegang cawan yang berisi air.

Dia cuba meminta air daripada anak itu, “Boleh berikan aku air itu?”

Anak itu bertanya kembali, “Adakah engkau ibu bapa yang pernah kematian anak kecil ketika di dunia dahulu?”

Dia menjawab,”Tidak.”

Anak kecil itu memberitahu,“ Air dari syurga ini hanyalah untuk ibu bapa yang pernah kehilangan anak ketika masih kecil”

Dan air syurga itu dapat menghilangkan haus ketika di mahsyar yang sangat panas dan azab itu sehingga mereka dimasukkan ke syurga.

Cerita yang disampaikan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan kami dengan perginya mujahid tersayang kami, `Ukasyah. Terbayang wajah `Ukasyah ketika di akhirat kelak dengan wajahnya yang bersih dan suci sebagai ahli syurga. Dan membawakan cawan berisi air dari syurga ketika kami di padang mahsyar yang maha dahsyat nanti. Sesungguhnya ummi ayah merindukan pertemuan kami dengan `Ukasyah nanti.

Tetapi nikmat yang sungguh besar ini ada syaratnya menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin. Hanya ibu bapa yang beriman dan beramal soleh sahaja yang akan beroleh kelebihan di padang mahsyar ini nanti. Dan kami sedang berusaha untuk menjadi insan dan hamba Allah yang terpilih itu demi mengharapkan redha Allah dan pertemuan dengan `Ukasyah yang tersayang. InsyaAllah.

Salam sayang buatmu anakku `Ukasyah dan Little Mujahid Jr. yang amat ayah rindui. Semoga kita semua bersama-sama dimasukkan ke syurga yang kekal abadi. Amin.

May 26, 2010

Little Mujahid Junior @ 6 bulan


Salam sayang buat kalian semua. Pada hujung minggu yang lalu, ummi sekali lagi pergi membuat antenatal check-up di Hospital Barakah. Kali ini, buat pertama kalinya ummi ayah pergi check-up berdua di Hospital Barakah kerana sebelum ini, pasti aki, opah, pak long atau pak cu teman ummi dan ayah. Tidak mengapa sebab ummi faham dengan kesibukan mereka.

Alhamdulillah, hero kedua kami ini sangat sihat. Sekali lagi detailed scan dilakukan oleh Dr. Khairiah. Mula-mula Dr. Khairiah palpate perut ummi, beliau sangat terkejut kerana fundal height (ketinggian rahim) ummi bezanya 3-4 cm dengan umur sebenar adik `Ukasyah. Perbezaan sebanyak 2cm boleh diterima, tetapi kali ini besar juga bezanya itu. Dr. Khairiah terus ambil tape dan ukur untuk mendapat kepastian. Memang sah, tepat agakan Dr. Khairiah sebentar tadi sampai Dr. Khairiah cakap, “Boleh tahan”.

Akhir-akhir ini, ummi memang asyik mengadu pada ayah yang ummi susah hendak tunduk ambil barang. Kalau sujud waktu solat, memang rasa senak sangat. Perut ummi juga tegang semacam, sedangkan ummi baru mengandung tujuh bulan. Ummi cakap pada ayah yang ummi rasa macam sudah sarat je. Sudah mula gastric dan sakit pinggang. Mengikut pengalaman mengandungkan hero sulung dahulu, symptom ini, mula dirasakan bila kandungan masuk trimester ketiga. Kalau berdiri lama di wad pula, ummi terpaksa jalan pegang perut sebab rasa perut macam hendak jatuh. Ramai juga yang menegur kebesaran perut ummi ini. Memang ketara juga kebesarannya.hehe.

Jadi, Dr. Khairiah scan lagi kali ini. Kandungan amniotic fluid ummi memang mencukupi. Placenta normal, tapi little mujahid junior yang agak berat untuk umurnya. Bahasa mudahnya, adik `Ukasyah agak tembam. Ummi berpeluang melihat raut wajahnya kali ini, memang agak terkejut juga. Saling tidak tumpah seperti abangnya, cuma hidung mancung sedikit. Pipinya sungguh gebu. Jari jemarinya sangat comel. Asyik menghisap jari anak ummi ini. Kakinya pula bersilang, amboi senang hati sungguh.

Tetapi kali ini, anak ummi kurang beri kerjasama pada Dr. Khairiah. Ini mesti sebab ayah lupa pesan pada hero ini. Selalunya ayah memang berpesan padanya supaya `soleh` waktu jumpa Dr. Khairiah nanti. Alhamdulillah, ummi tiada GDM (kencing manis), tetapi ummi ini memang keturunan besar-besar. Adik-beradik ummi semuanya lahir dalam 3 kg ke atas. `Ukasyah juga 3.15kg ketika lahir. Adik `Ukasyah, agaknya lagi beratlah kan dari abang dulu. Tidak mengapa sayang, asalkan kamu sihat saja.

Ummi rasa penangan posting di Kelantan iye juga. Pagi petang siang malam asyik makan nasi kerabu. Pokoknya semua jenis nasi menjadi pilihan ummi setiap kali waktu makan. Hasilnya berat ummi juga naik 2kg dalam masa 2 minggu posting di sana. Kenaikan berat badan itu memang banyak dan tidak seharusnya begitu. Berat ummi sekarang, kalau hendak dikirakan berat ummi adalah berat sewaktu ummi mula-mula mengandungkan `Ukasyah dulu. Waktu mengandung little mujahid junior, berat ummi banyak turun dan jumlah kenaikan sepanjang mengandung kali ini baru 1 kg. Walaubagaimanapun, ummi harus menjaga pemakanan ummi mulai sekarang.

Hari isnin baru-baru ini, ummi mula puasa ganti yang masih banyak untuk diganti. Alhamdulillah, berkat semangat dari opah dan ayah, berjaya juga ummi puasa. Sebelum ini ummi risau kalau memudaratkan little mujahid junior. Tapi bila sudah tahu tentang kesihatannya secara keseluruhan, ummi bertambah yakin. Bak kata ayah, kena kuat semangat untuk tarbiyyah little mujahid junior. Little mujahid junior memang tidak berhenti menendang perut ummi dan hampir sekali ummi tumpas hendak berbuka. Tapi, ayah pujuk heronya ini untuk bertahan dan heronya pun akur saja dengan ayah ye. Esok, projek mengganti puasa akan bermula lagi. Doakan si kecil ini dan umminya kuat tau.

May 20, 2010

WAD 6 UTARA, HUSM

Gambar terkini ummi dan ayah (6 bulan mengandung)



Salam sayang buat kalian semua. Alhamdulillah, ummi bersyukur sangat kerana telah berjaya menyempurnakan clinical posting ummi di wad kanser kanak-kanak, wad 6 Utara, HUSM. Clinical posting kali ini, benar-benar menyentuh naluri keibuan ummi. Ummi akhiri hari terakhir ummi di wad 6 Utara, dengan tangisan dan sedu di bilik hotel bersama ayah. Sungguh tidak dapat menahan air mata yang telah ummi tahan selama dua minggu ini. Ummi katakan pada ayah, ummi tidak sanggup lagi melaluinya sekali lagi. Teringat sungguh pada mujahid sulung ummi. Apatahlagi, mengenangkan anak-anak yang ummi tinggalkan di wad 6 Utara. Itulah kepayahannya bila ummi meletakkan diri ummi sebagai ummi kepada anak-anak kecil itu, bukan sebagai nurse yang merawat mereka.

Kecewa

Seorang ibu di wad ummi menyatakan kekecewaan beliau kepada ummi. Beliau seorang pendidik dan anak sulungnya menghidap kanser tulang (Ewing Sarcoma). Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga ummi ini,

“Akak kecewa sangat dik sebab anak sulung akak sakit. Sebelum ini, dialah harapan akak. Tinggi cita-cita kami padanya”.

Ummi hanya mampu memberikannya sokongan yang tidak berbelah bahagi. Ummi katakan padanya,

“Akak bertuah kerna dipilih Allah untuk diuji. InsyaAllah, semangatnya tidak akan luntur selagi ibunya jua bersemangat mengharungi ujian ini. Sungguh, tidak layak rasanya untuk saya menyuruh akak bersabar kerna saya tdak mendapat ujian seperti akak”.

Kalau ikutkan hati ummi, ingin sahaja ummi katakan padanya,

“Akak, anakku telah dijemput Allah. Hebat sungguh ujian ini buat saya. Semuanya bagai sekelip mata. Dia juga anak sulung saya, harapan saya, cita-cita saya terhadapnya sangat besar. Tetapi apabila saya telah dipilih oleh Allah, saya tidak punya pilihan lain lagi, selain terus tabah dan sabar serta mengutip segala hikmah di sebalik pemergiannya. Yakinlah, Allah menjanjikan sesuatu yang terbaik buat kita.”

Tetapi mulut ummi terkunci dari terus berkata-kata kepadanya kerana ummi tidak mahu melibatkan hal peribadi ketika bekerja. Lagi pun, pasti ummi jua akan menggoncang serta menghancurkan harapannya terhadap permata hatinya itu. Yalah, anak ummi telah meninggal, pasti beliau sedih jika ummi menceritakan kisah `Ukasyah padanya. Ummi doakan agar Allah mengurniakan yang terbaik buatnya dan anak beliau. InsyaAllah, perancangan Allah lebih hebat dari percaturan manusia.

Biarlah Rahsia

Ummi banyak mengundang persoalan kepada doktor-doktor, staff nurses, ibu bapa dan juga anak-anak kecil di wad 6 Utara kerana perut ummi buncit dan ummi pakai baju mengandung. Seringkali orang bertanya pada ummi sama ada ini kandungan yang pertama atau tidak. Tetapi ummi tidak pernah menyorokkan hakikat bahawa ini adalah kandungan kedua ummi kerna sesungguhnya, `Ukasyah memang pernah hadir dalam hidup ummi ayah. Tidak dapat ummi ayah untuk menidakkan kenyataan itu. Tetapi, ummi memilih untuk tidak menceritakan kisah `Ukasyah pada mereka, terutama sekali kepada para ibu bapa kepada kanak-kanak yang kurang sihat itu sebab ummi tidak mahu menggugat dan melunturkan sedikitpun semangat, ketabahan dan kesabaran yang menebal di dalam diri mereka. Biarlah ianya menjadi rahsia ummi.

Sedih sangat hati ini tatkala ada yang bapa yang berkata pada ummi, “Mesti awak tidak sabar nak habis kerja kan. Nak kejar anak di rumah”.

Ummi membalas dengan senyuman sahaja.

Ingin saja ummi katakan pada bapa mithali itu, “Encik, dia tidak lagi menunggu kepulangan saya kerna dia telah bahagia di sana”.

Ummi menangis di dalam hati. Balik bilik hotel, ummi ceritakan pada ayah tentang kesedihan hati ini.

Jika ingin ummi catatkan segalanya pengalaman ummi di wad 6 Utara, maka tidak cukuplah dengan satu entri saja. InsyaAllah, andai ada kesempatan lagi, akan ummi tuliskan lagi tentangnya. Inilah posting yang paling banyak memberi kesan kepada ummi dan juga ayah. Anak-anak adalah permata dan harta yang sangat berharga. Hargailah anak-anak, tunaikan hak-haknya dan didiklah zuriat kita.

Ummi ayah sayang sangat pada `Ukasyah dan si kecil, baby “U”….




May 15, 2010

Kerisauan di Hati Ummi


Assalamualaikum…

Pagi tadi, risau sungguh hati ummi sebab little mujahid junior ini, tidak menendang ummi. Biasanya, si kecil inilah yang mengejutkan ummi bangun. Waktu ummi ayah breakfast pun, ada sekali je little mujahid junior tendang ummi, pastu dia senyap je. Risau hati ummi dibuatnya, tapi ummi tidak menyatakan kerisauan ummi pada ayah. Lepas zohor tadi, little mujahid junior masih tidur nyenyak lagi, Cuma gerak sikit-sikit je, itupun bila ummi tekan-tekan dia.

Akhirnya, selepas azan Asar, little mujahid junior tidak berhenti-henti menendang perut ummi. Waktu ummi hendak berwudhuk, ummi rasa perut ummi berombak sangat. Rupa-rupanya anak ummi ini menendang dan bergerak-gerak dengan aktifnya. Keluar dari bilik air, ummi suruh ayah tengok plak gerakan ombak yang little mujahid junior buat. Ayah juga bersorak keriangan. Perut ummi bergerak ke kiri dan ke kanan. Hendak tunjuk skill baru rupanya anak ummi ini ye. Wahai hero kecil ummi, jangan buat ummi risau lagi tau. Kamu selalu aktif dalam perut ummi, bila kamu asyik tidur, ummi risau sangat. Ummi rasa kamu asyik hisap jari macam masa Dr. scan perut ummi. Semoga little mujahid junior membesar dengan sihat. Ummi ayah tidak sabar hendak jumpa kamu nanti. Baby, we love you so much..

p/s: esok adalah minggu terakhir ummi akan posting di HUSM. Ummi sudah tidak sabar lagi untuk menamatkannya. Moga Allah beri kekuatan dan badan yang sihat buat ummi.

May 12, 2010

Berita Terkini


Assalamualaikum ,

Setelah lama mendiamkan diri, ummi ingin kembali menulis tentang kami sekeluarga kerna ramai yang bertanya di manakah ummi ayah? Sudah habis belajar atau belum? Bagaimana dengan little mujahid junior kami?

Khamis, 6 Mei 2010 @ Kuantan

Alhamdulillah, ummi ayah sudah berpindah keluar dari rumah sewa kami di IM2, Kuantan pada hari khamis minggu lepas setelah clinical posting ummi di ICU, HTAA telah tamat. Minggu lepas sememangnya minggu yang amat memenatkan buat ummi ayah. Ummi kena submit research book ummi pada hari khamis, di mana ummi masih on duty di ICU dan pada hari yang sama ummi ayah kena keluar rumah juga.

Ummi ayah terpaksa juga balik KL memandangkan kami terpaksa mengangkut barang-barang kami dan juga kucing belaan kami sewaktu tinggal di Kuantan. Pukul 1 pagi, kami sampai di KL. Ummi tidak tahu pun yang rumah opah sudah jadi guarded community dan hendak masuk kena ada sticker kereta. Jadi terpaksalah ummi dengan yakinnya menjawab soalan pak guard yang mungkin menyangka kami mencuri barang sebab kereta kami memang penuh dengan TV, kipas, buku-buku dan barang-barang lain termasuklah seekor kucing.

Jumaat, 7 Mei 2010 @ Kuala Lumpur

Pada hari jumaat pula, ummi ayah mengemas bilik kami di rumah opah sebab rumah opah sudah bersepah dengan barang-barang yang kami angkut dari Kuantan. Rumah opah sudah jadi gedung barang pula. Opah suruh ummi ayah rehat sebab tengah malam nanti hendak travel lagi, tapi kami tidak senang hati sangat hendak biarkan opah aki kemas bilik kami. Alhamdulillah, berjaya juga susun barang-barang yang banyak itu di dalam bilik kami.

Ummi ayah juga mengemas dan membuka storage box abang `Ukasyah buat pertama kalinya selepas abang `Ukasah pergi meninggalkan kami. Air mata ummi berjurai-jurai keluar. Tatkala melihat beg nursery `Ukasyah, ummi tidak dapat menahan sebak. Bau `Ukasyah masih ada lagi. Kenangan bersamanya bermain di fikiran ummi seperti bermainnya sebuah episod kehidupan. Ayah juga menahan sebak. Berkali-kali ummi katakan pada ayah, “Ummi tidak sangka kan ayah”, “Ukasyah anak soleh”, “Bertuah adik `Ukasyah, banyak sungguh barang-barang abang yang adik boleh gunakan nanti”.

Kami menyusun baju-baju little mujahid junior dan arwah abang `Ukasyah di dalam satu almari yang di beli oleh opah untuk `Ukasyah sewaktu ummi pindah rumah di Kuantan. Oh lupa pula, ummi memang shopping juga baju-baju untuk little mujahid junior. Drawer pertama penuh dengan baju-baju dan barang-barang yang ummi ayah belikan khas buat hero kedua kami ini. Drawer kedua pula dipenuhi dengan breastfeeding equipments seperti stroga and feeding bottle yang berjumlah lebih 30 botol, breastmilk storage bags, bresatpump, bottle warmer dan sebagainya. Drawer ketiga pula diisi dengan diaper bags dan toys manakala drawer terakhir dipenuhi dengan toiletries baby. Stroller dan car seat ummi letakkan kemas di sisi almari itu dan bakul rotan yang mengandungi baju-baju `Ukasyah pula, ayah letakkan di bawah meja study kami. Bath tub dan bouncer pula diletakkan di atas almari. Banyak kan barang-barang baby. Ummi rasa sudah lengkap kesemuanya.

Sabtu, 7 Mei 2010 @ Kelantan

Pada tengah malamnya pula, ummi ayah bangkit bangun seawal jam 2.30 pagi. Pukul 3 pagi, ummi, ayah, opah dan aki makan tengah malam di Restoran mamak sebelum ummi ayah memulakan perjalanan. Kami berhenti di Temerloh untuk solat subuh dan sampai di Kampus UIA Indera Mahkota lebih kurang jam 7 pagi. Ummi ayah cemas terlepas bas untuk ke Kelantan kerana kami menjangkakan bas bertolak pukul 8 pagi. Rupa-rupanya, kami tersilap.

Alhamdulillah, selamat tiba di Kelantan setelah mengharungi perjalanan yang jauh. Buat pengetahuan semua, ummi sedang melakukan clinical posting di Paediatric Oncology Ward, Hospital Universiti Sains Malaysia. Clinical posting ini perlu ummi penuhi untuk menduduki Nursing Board Exam nanti. Kiranya ummi sudah habis belajar sebenarnya. Result final exam telah ummi perolehi dan research ummi has been completed too. Ummi akan stay lagi seminggu di Kelantan.

Selepas seminggu di Kelantan, ummi ayah akan kembali ke Kuantan untuk ambil kereta yang diletak di UIA dan pulang ke KL untuk check-up little mujahid junior. Selepas itu ummi akan pulang semula ke Temerloh pula untuk menyambung clinical posting yang masih berbaki 2 minggu di Paediatric Ward dan NICU.

Setelah selesai clinical posting ummi, ummi ada masa 2 minggu yang masih tidak lagi ummi rasakan sebagai cuti kerana ummi perlu study dan bersedia untuk Nursing Board Exam pula. 23 Jun 2010, barulah ummi akan cuti yang sebenar-benarnya dan menjadi suri rumah sementara menunggu kelahiran hero kedua kami.

Perkembangan Little Mujahid Junior

Little mujahid junior sudah pandai menendang ummi dengan kuatnya. Tendangan pertama little mujahid junior untuk ayah telah dilakukan pada 5 Mei yang lepas. Sekarang ini kalau little mujahid junior menendang, memang nampak perut ummi bergerak-gerak. Kalau ummi atau ayah letakkan tangan, lagilah beliau aktif berkung fu. Alhamdulillah, anak ummi sangat aktif sekarang ini. Ayah juga sangat rajin melayan si kecil ini. Entah apa yang disembangkannya dengan little mujahid junior ye. Bila ummi baca Quran, little mujahid junior sangat suka. Kaki kecilnya itu memberi respon terhadap sentuhan tangan ummi. Bila ummi lapar, little mujahid junior akan menjadi aktif. Kalau ummi menangis rindukan `Ukasyah, automatic little mujahid junior akan berhenti menendang ummi, seakan-akan tahu kondisi ummi. Soleh betul anak ummi ayah ini ye.

Sekian sahaja coretan panjang dari Ummi yang sangat kesuntukan masa…Sekian sahaja dari ummi ye…Doakan kesihatan dan kesejahteraan kami sekeluarga…