Alhamdulillah, selesai sudah urusan ummi ayah pada minggu ini untuk berjumpa dengan Dr Khairiah Seman. Mulai hari ini kami akan meneruskan check-up di sana sehingga ummi bersalin nanti, insyaAllah.
Bahagian yang paling mendebarkan untuk hari ini adalah sesi scan. Little Mujahid Jr sangat soleh hari ini tau. Seolah-olah telah mengenali Dr Khairiah sekian lamanya. Hehe. Dulu abang `Ukasyah juga begitu, bila dengan Dr di UIA, tidak Memberikan kerjasama lansung dengan Dr, tapi bila dengan Dr Khairiah, semuanya bekerjasama je ye.
Oh sungguh sempurna sekali kejadian Allah. Dalam hati ummi tidak berhenti-henti mengucapkan “Alhamdulillah” dan “subhanallah”. Dr Khairiah buat `detail scan`. Mula-mula ambil BPD untuk mengesahkan EDD. Lepas itu kami bersama-sama mengira jari tangan dan kaki Little Mujahid Jr pula. Selepas itu tengok spine dan organ-organ dalaman yang penting pula. Waktu nak tengok spine Little Mujahid Jr , dia terus membelakangkan kami semua sedangkan sebelum itu dia berbaring menghadap kami. Dr Khairiah kata Little Mujahid Jr macam tahu sahaja apa yang Dr Khairiah hendak lakukan. Alhamdulillah, semuanya sihat belaka.
Bahagian akhir pada sesi scan adalah saat yang paling mendebarkan ummi ayah serta aki dan pak cu (aki dan pak cu juga turut bersama ummi ayah di bilik scan). Bila Dr Khairiah sebut je perkataan, “Gender???”, ummi terus mengamati skrin dengan fokus sekali. Dr Khairiah sudah menguntumkan senyuman terlebih dahulu dan diikuti dengan ucapan “Alhamdulillah” yang keluar serentak dari mulut ummi, ayah, aki dan pak cu. Ummi menitiskan air mata gembira. Terharu sangat ummi dan yang lain juga begitu. Kami semua tidak habis-habis menguntumkan senyuman setelah melangkah keluar dari bilik Dr Khairiah. Aki terus menghantar SMS pada Opah dan Khaulah di Yaman. Opah tidak dapat turut serta pada hari ini kerna ada program di UKM. Ummi pula menelefon pak long yang juga berada di UKM dan pak long berjaya meneka dengan tepat sekali. Pandailah pak long ni. Hehe. Ummi ini bikin orang tertanya-tanya pula ye. Masih tidak menyatakan lagi Little Mujahid Jr adalah seorang lelaki atau perempuan.
Oleh itu, ummi ayah sangat berbesar hati mengumumkan bahawa Little Mujahid Jr adalah…
Ummi bersyukur sangat dengan rezeki Allah pada ummi ayah. Bukan kerana ummi ayah tidak sukakan anak perempuan, tapi apabila abang `Ukasyah pergi meninggalkan kami, kami sering merinduinya. Tiada pengganti buatmu `Ukasyah, tetapi ummi ayah mengharapkan kehadiran seorang anak yang menjadi pengubat hati dan kerinduan kami padamu. Allah makbulkan doa ummi, ayah, opah, aki dan semua orang.
Semalam ummi telah bersedia dengan melapangkan dada dengan selapang-lapangnya sebelum menghadiri sesi scan pada hari ini. Walaupun ummi mengharapkan baby boy, tetapi ummi juga tidak menolak juga jika mendapat baby girl. Ummi katakan pada Opah, seronok juga jika mendapat baby girl setelah ummi lihat betapa solehah nye anak perempuan novelis terkenal, Kak Fatimah Syarha iaitu Haura. Opah pula berulang kali bertanyakan kecenderungan pemakanan ummi ketika mengandungkan Little Mujahid Jr ini. Waktu itu ummi dan keluarga sedang menjamu selera di restoran nasi kandar dan Opah lihat ummi sunguh berselera menghirup sup kambing. Hari ini baru ummi tahu bahawa semua orang mengharapkan Little Mujahid Jr adalah lelaki. Patutlah Opah dok bertanya ummi berkali-kali. Ummi mengetahui tentang ini pun setelah opah dan aki menyatakan keinginan mereka pada ummi setelah mengetahui jantina Little Mujahid Jr . Mungkin mereka jua seperti ummi dan ayah yang sentiasa merindui `Ukasyah kan.
Panjang sungguh entri ummi pada kali ini ye. Maafkan ummi andai jarang sekali ummi menulis entri yang baru kerna ummi sedang clinical posting di HTAA. Jadi, bila pulang dari wad setiap hari, ummi tidak lagi berupaya untuk menulis. Mungkin abu `Ukasyah akan menyambung tugas ini memandangkan beliau sudah mula bercuti. Ummi buat permintaan khas pada ayah supaya menulis entri yang tarbawi sedikit kerna ummi tidak sehebat ayah kan. Ummi hanya mencatatkan perjalanan kehidupan kami berdua dan anak-anak sahaja, di mana mungkin tidak dapat memberi manfaat pada pembaca semua. Nantikan kemunculan abu `Ukasyah yang diam-diam ubi berisi itu tau.
Buatmu `Ukasyah,
Kamu adalah penghuni syurga dan ummi ayah sangat gembira kerana kamu berada dalam pemeliharaan Allah. Ummi ayah bersyukur kerna telah terpilih untuk diuji di dunia ini. Ujian yang kami lalui ini sungguh hebat sayang, tambahan pula diuji di usia yang masih muda. Sesungguhnya ujian ini membuahkan keberuntungan di akhirat ini jika ummi ayah bersabar dan mendekatkan diri padaNya. InsyaAllah, akan ummi ayah kutip segala hikmah-hikmah disebaliknya.
Buatmu Little Mujahid Jr,
Ummi ayah bersyukur dengan kehadiran kamu di dalam rahim ummi ini setelah pemergian abang `Ukasyah. Sesungguhnya, ummi ayah sangat haus untuk mentarbiyyah anak-anak. Ummi ayah punya harapan dan cita-cita yang tinggi buat kamu sayang. Kamu adalah penerus dan pewaris kerja-kerja DnT ini. Ummi ayah mahukan kamu menjadi seorang anak yang soleh, musleh, da`ie dan murabbi. Kamu jua punya jiwa yang kuat dan kental seperti abang `Ukasyah kerna kalian berdua bersama-sama berjuang bersama ummi ayah dalam menghabiskan pengajian di taman ilmu ini. Ummi ayah gembira punya anak-anak seperti kalian berdua.
p/s: Maafkan kami kerna tidak dapat memaparkan gambar scan Little Mujahid Jr sebab kami terlupa terus dek kerana terlalu gembira. Pokoknya baby sihat, Alhamdulillah.