Abu `Ukasyah

Abu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Ummu `Ukasyah

Abang, Happy Anniversary

Abang, Happy Anniversary


Kedai Mawaddah & Hafiz

Ummi ayah sentiasa merinduimu sayang..

Powered by Blogger.
Showing posts with label little mujahid junior. Show all posts
Showing posts with label little mujahid junior. Show all posts

October 14, 2010

Hadiah Buat Atuk

Salam sayang buat anak-anak ayah yang tercinta,

Sedar tak sedar sudah masuk sebulan umur Uwais. Dan semakin banyak perubahan demi perubahan yang dicapai Uwais. Alahamdulillah Uwais semakin soleh dan yang paling penting semakin tembam. Hehe. Seperti tajuk entri kali ini, atuk teringin sangat tengok gambar Uwais yang terbaru. Jadi gambar-gambar ini khas untuk atuk yang rindu dengan cucu tersayangnya.


Pandainya Uwais senyum kat atuk

Gaya apa plak tu Uwais

Jeling kat siapa tu?

Makin tembam

Dah pandai pandang kamera

Mengadu apa kat ayah tu?

Uwais al-Qarni

Harapnya dengan entri ini, terubat jua rindu atuk pada Uwais. Kalau atuk tak puas lagi, InsyaAllah Uwais balik Tampin ye minggu ini. Tunggu tau atuk. Hehe.

May 27, 2010

Kasih Ayah

Salam sayang ayah pada Little Mujahid Jr ayah yang sorang ini. Salam sayang jua buat mujahid ayah, `Ukasyah yang sedang menunggu ummi ayah di pintu syurga. Semoga ummi ayah dan anak-anak kami termasuk dalam golongan insan yang terpilih.

Sungguh ayah menyayangi `Ukasyah dan Little Mujahid Jr yang sangat soleh ini tanpa melebihkan sesiapa pun. Dan tiada bezanya antara kasih sayang seorang anak dengan anak yang lain. Kadang-kadang bila anak-anak sudah dewasa, akan timbul perasaan tidak puas hati dalam diri masing-masing yang menuduh ibu bapa pilih kasih pada anak-anak mereka. Puncanya bapa yang selalu membelikan barang keinginan adiknya. Ataupun ibu yang selalu memanjakan adik bongsunya. Dan perasaan inilah yang nanti akan menjadi duri dalam daging hubungan sesebuah keluarga itu.

Kenapalah ayah cerita tentang pilih kasih ni ye? Ayah ingin anak-anak tahu yang ummi ayah menyayangi anak-anak kami sama sahaja antara satu sama lain. Sekiranya kasih untuk `Ukasyah seluas langit dan bumi, maka seluas langit dan bumi jualah kasih untuk Little Mujahid Jr. ni. Dan kebanyakan ibu bapa di dunia ini mempunyai perasaan yang sama seperti ummi ayah. Kecualilah ibu bapa yang `derhaka’ pada anak-anaknya. Derhaka terhadap hak-hak anak padanya.

Kasih sayang bertambah dengan bertambahnya jumlah anak.

Itulah formula yang ummi ayah pegang menunjukkan nilai kasih sayang kami pada anak-anak kami. Dahulu, semasa `Ukasyah dilahirkan, kasih kami pada seluas langit dan bumi. Dan sekarang dengan kehadiran Little Mujahid Jr., bertambahlah kasih sayang kami seluas langit dan bumi jua untuk adik `Ukasyah ini menjadi kasih sayang sebanyak dua langit dan bumi.

Sebagai contoh. Selalunya anak berfikir dengan kehadiran adik baru, maka kasih sayang ibu bapa akan terbahagi dua antara dia dan adiknya. Dan ibu bapanya akan melebihkan adiknya dari dirinya. Kesannya, si anak tadi akan merasakan dirinya tidak disayangi lagi dan mungkin menimbulkan dendam dalam dirinya yang kemudian akan dibalas semasa ibu bapanya sudah tua. Dan sesungguhnya pandangan si anak tadi 100% SALAH.

Sebenarnya kasih sayang tidak berubah walau sedikit pun dengan kehadiran orang baru dalam keluarga. Kasih sayang akan bertambah menjadi dua dengan adanya dua orang anak dan menjadi tiga dengan tiga orang anak dan begitulah seterusnya. Yang berubah hanyalah masa yang dihabiskan antara dua anak tadi. Si kecil sudah tentu memerlukan lebih masa untuk dijaga walhal si abang hanya memerlukan sedikit sahaja masa untuk diperhatikan. Perkara ini teraplikasi juga dalam bab wang dan juga tenaga.

Dengan lahirnya Little Mujahid Jr nanti, kasih sayang ummi dan ayah tidak akan berubah sedikit pun terhadap `Ukasyah yang sedang berbahagia sekarang. Kasih kami pada anak-anak akan sentiasa bertambah dengan bertambahnya jumlah anak ummi ayah nanti. Dan seharusnya ummi ayah cemburu dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sehingga mencecah bilangan dua angka. Jumlah kasih sayang mereka sudah tentunya dua angka juga!!

Terubatnya hati ummi ayah

Sungguh banyak kelebihan yang Allah berikan pada ibu bapa yang kematian anak yang masih kecil. Kelebihan di atas kesabaran dan ketabahan mereka yang ditakdirkan kehilangan cahaya hati mereka. Ini menunjukkan yang Allah sayang pada mereka dan tidak berlaku zalim terhadap takdirNya pada mereka. Dan perkara inilah yang menjadikan ummi ayah tabah dan berlapang dada terhadap perginya `Ukasyah dari sisi kami.

Salah satu kelebihan yang menjadikan hati ummi ayah tenang dan terubat dengan pemergian `Ukasyah ialah kelebihan ketika di padang masyar yang diceritakan oleh Tuan Guru Nik Aziz di dalam bukunya berkenaan hari kiamat.

Seorang ulama pernah bermimpi dia berada di padang mahsyar yang sangat panas keadaannya. Manusia ketika itu berada dalam keadaan yang sangat panas, haus dan keletihan menanggung azab di padang mahsyar. Dan ketika itu dia terlihat anak-anak kecil berjalan di celah-celah manusia memegang cawan yang berisi air.

Dia cuba meminta air daripada anak itu, “Boleh berikan aku air itu?”

Anak itu bertanya kembali, “Adakah engkau ibu bapa yang pernah kematian anak kecil ketika di dunia dahulu?”

Dia menjawab,”Tidak.”

Anak kecil itu memberitahu,“ Air dari syurga ini hanyalah untuk ibu bapa yang pernah kehilangan anak ketika masih kecil”

Dan air syurga itu dapat menghilangkan haus ketika di mahsyar yang sangat panas dan azab itu sehingga mereka dimasukkan ke syurga.

Cerita yang disampaikan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan kami dengan perginya mujahid tersayang kami, `Ukasyah. Terbayang wajah `Ukasyah ketika di akhirat kelak dengan wajahnya yang bersih dan suci sebagai ahli syurga. Dan membawakan cawan berisi air dari syurga ketika kami di padang mahsyar yang maha dahsyat nanti. Sesungguhnya ummi ayah merindukan pertemuan kami dengan `Ukasyah nanti.

Tetapi nikmat yang sungguh besar ini ada syaratnya menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin. Hanya ibu bapa yang beriman dan beramal soleh sahaja yang akan beroleh kelebihan di padang mahsyar ini nanti. Dan kami sedang berusaha untuk menjadi insan dan hamba Allah yang terpilih itu demi mengharapkan redha Allah dan pertemuan dengan `Ukasyah yang tersayang. InsyaAllah.

Salam sayang buatmu anakku `Ukasyah dan Little Mujahid Jr. yang amat ayah rindui. Semoga kita semua bersama-sama dimasukkan ke syurga yang kekal abadi. Amin.

February 19, 2010

‘Ukasyah Takut, Ummi

Salam sayang buat Lil Mujahid Jr. yang berada di dalam kandungan ummi,

Kadang-kadang sedih jua hati ini teringatkan ‘Ukasyah yang sangat ayah kasihi. Anak sulung kami dan anak yang kami nanti-nantikan selama ini. ‘Ukasyah yang menjadi penyejuk mata ayah dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Rindunya pada anak yang soleh ini mampu membuatkan air mata sesekali mengalir. Hanya Allah yang tahu perasaan ayah ketika itu.

Tapi…

Alhamdulillah, ayah masih sedar akan tanggungjawab ayah di dunia ini. Walaupun ayah mencintai anak-anak ayah lebih dari diri ayah sendiri, tapi cinta Allah jualah yang paling agung dan paling utama. Segala yang Allah tetapkan, itulah yang terbaik buat diri ayah dan ummi. Tiadalah pemergian ‘Ukasyah melemahkan semangat ayah untuk terus berusaha menggapai redha Illahi ataupun meratapi perginya mujahid ayah ini, tapi insyaAllah menguatkan ayah dan ummi di jalan ini.

Dan rindu terubat jua dengan kehadiran ‘Ukasayah tersayang dalam mimpi ayah dan ummi yang kelihatan gembira di alam sana. Ayah mimpikan ‘Ukasyah tersenyum dan bergembira di sana. Walaupun abang lil mujahid jr telah pergi meninggalkan ummi ayah di dunia, tetapi ayah yakin dia hidup di alam sana dan berbahagia di sisi Allah yang Agung.

Ummi juga bermimpikan ‘Ukasyah beberapa kali dan yang paling terkesan adalah mimpi yang baru ummi alami beberapa malam yang lepas. Semoga mimpi ini menjadi penguat dan pendorong untuk ummi ayah menjalani kehidupan dengan penuh taat pada Allah yang menjadikan alam ini.

Malam yang Allah takdirkan ‘Ukasyah bertemu ummi di alam mimpi merupakan malam yang menyenangkan hati walaupun ayah tidak mengalaminya. Ummi bermimpi abang lil mujadih jr sudah remaja sama seperti keadaan ahli syurga yang remaja. Wajah ‘Ukasyah mirip seperti adik ummi, paksu yang sedang meningkat dewasa. Pertemuan yang mengubat kerinduan ummi pada mujahid kecil ummi ayah.

‘Ukasyah yang segak dan lebih tinggi daripada ummi datang kepada ummi. Tanpa bicara, anak sulung kami memeluk ummi dengan sepenuh hati. Pelukan hangat yang sangat mendamaikan hati antara ibu dan anak walaupun hanya di alam mimpi. Dan pelukan yang berlangsung dalam waktu yang sangat lama, melepaskan kerinduan ibu yang sentiasa mengingati anaknya yang soleh.

“Walaupun ‘Ukasyah ahli syurga, tapi ‘Ukasyah takut sangat tengok orang kena seksa dalam kubur ni Ummi”, bicara ‘Ukasyah pada ummi.

MasyaAllah. Inilah susunan Allah buat peringatan ummi dan ayah.

Ucapan yang pendek tetapi penuh dengan makna yang mendalam. Hanya itu sahaja ucap ‘Ukasyah pada ummi dalam mimpi ini. Tiada bertanya khabar ataupun ucapan kerinduian. Mimpi yang Allah hadirkan untuk memberi peringatan buat ummi ayah. Dan meyakini akan jani-janji Allah yang pasti terjadi.

Dahsyat sungguh azab kubur yang kita sendiri tidak mampu untuk menghadapinya. Sedangkan seorang ahli syurga yang hanya melihat azabnya sahaja sudah takut untuk melihatnya, apatah lagi orang-orang yang mengalami azab kubur yang tidak terperi sakitnya. Seperti yang telah dinyatakan Allah dan Rasul di dalam kitab-Nya.

Ya Allah teguhkanlah kami di jalan yang Engkau telah tetapkan buat kami.

InsyaAllah ‘Ukasyah ummi ayah dan adikmu merindukan saat bertemu denganmu di akhirat kelak. Tetapi semuanya hanya dengan izin Allah jua. Barangsiapa yang berbuat kebajikan walaupun seberat zarah, maka Allah akan memberinya ganjaran dan barangsiapa yang berbuat kejahatan walaupun seberat zarah, maka Allah tetap akan memberikan balasan yang setimpal dengannya.


Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari azab neraka Jahannam, dari azab kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari fitnah dajjal


~Abu `Ukasyah~

January 27, 2010

Di sepanjang Perjalanan ini...

Ummi bertunang dengan ayah sewaktu di matrik UIA...


Berkahwin dengan ayah..ummi sarungkan cincin untuk ayah...


Ummi mengandungkan `Ukasyah...Sangat gembira rasanya...


Sewaktu ummi mengandungkan `Ukasyah di usia kandungan 7 bulan


Ummi melahirkan little mujahid sulung di hari kemerdekaan...31 ogos 2009...


Kini, ummi mengandungkan pula adik `Ukasyah, little mujahid junior...Semoga `baby U` juga sesolah abang `Ukasyah ye...


Salam sayang buat abang `Ukasyah dan little mujahid junior kesayangan ummi ayah,

Alhamdulillah ummi sihat…Tapi macam biasalah, bila ummi pregnant, mula ada `penyakit ganjil` datang menyerang…Paling ketara, ummi tidak boleh masak…Orang lain masak dalam rumah ummi juga tidak boleh…Pasal benda ini boleh mood swing dibuatnya…Terus loya hendak muntah…Waktu mengandungkan abang `Ukasyah juga begitu…Hari ini, ummi sekali lagi menghadiri temujanji di Klinik UIA…Alhamdulillah little mujahid junior dan ummi sihat…

Pagi tadi, sewaktu ummi ayah dalam perjalanan ke UIA, ummi telah menimbulkan suasana yang sangat sayu rasanya…Ummi cakap dengan ayah,`Abang, sayang teringat kat `Ukasyah…`Ukasyah dulu bahagia sangat bila dapat tidur bawah selimut dengan ummi….bila sayang tanya `Ukasyah hendak gi nursery, mesti dia pejam mata rapat-rapat`…Ummi bercakap seperti ada nada kekesalan di situ…Tiba-tiba suasana menjadi senyap, sunyi serta hiba…Ummi ayah, menahan air mata bersama…Kelu lidah tidak terkata…Ummi lihat, merah padam muka ayah…Ayah kata ayah sedih…Ummi juga begitu…Rindu sangat padamu `Ukasyah…Menyesal sungguh ummi mengungkapkan kata-kata sebegitu kepada ayah…Akhirnya, ia hanya mengocak jiwa kami berdua…Rasa bersalah sangat ummi pada ayah…Moga Allah kurniakan kami ketabahan dan kesabaran…

Terasa seperti masa sangat cepat berlalu…Ummi rasa seperti baru sahaja mendaftarkan diri di matrikulasi UIA, PJ….Dan kini tinggal 5 bulan lagi sebelum `graduation day`…Masakan tidak berasa begitu, terlalu banyak peristiwa yang berlaku sepanjang ummi bergelar `student` ini…Bertunang di waktu matrikulasi lagi, berkahwin sewaktu berada di tahun 2 (21 tahun), mengandung sewaktu di tahun 3 (22 tahun) , bersalin di tahun 4 (23 tahun) , `Ukasyah kembali kepada Allah di tahun 4 (23 tahun) dan ummi mengandungkan little mujahid junior pada semester terakhir ummi berada di UIA…Ummi ayah masih 23 tahun dan tidak lama lagi akan menginjak ke usia 24 tahun pula…Di sepanjang perjalanan ini juga, banyak pengalaman pahit dan manis yang berlaku…Banyak kegagalan, banyak juga mencipta kejayaan….Kejayaan dalam definisi ummi ayah tersendiri…

Bulan April ini, kami akan berpindah ke KL…Membawa segala kenangan kami di Kuantan…Ummi akan ada clinical posting di Temerloh serta di Kelantan dan bakinya di HTAA…Terakhir sekali, ummi akan menduduki `Nursing Board Exam` untuk mendapatkan lesen…Selepas itu, mengucapkan selamat tinggal di Bandar Kuantan ini…Bekemungkinan besar, tidak akan kembali lagi di sini…tidak, tidak dan tidak akan…Tidak mahu lagi mengingati perkara yang hanya akan melukakan hati kami…Segala kenangan manis dan pahit di sini akan ummi ayah simpan sekemasnya di dalam hati dan memori kami berdua…

Selepas itu ummi ayah akan menanti hari konvokesyen kami yang kami sendiri tidak pasti akan tarikhnya lagi…Ummi dengar, kemungkinan `convocation day` kami selepas raya, bulan September nanti…Maksudnya, ummi masih dalam pantang lagi…Walaubagaimanapun, ummi akan cuba berusaha untuk menghadirinya kerana `convocation` kali ini sememangnya saat paling bermakna buat ummi ayah sebagai `married students`…Sangat bermakna juga buat kedua-dua anak kami, `Ukasyah dan juga semestinya `Baby U` …

Ummi ayah sangat sayangkan kalian berdua…Ummi juga sangat sayangkan ayah yang semestinya menjadi tulang belakang kepada kejayaan ummi di sepanjang jalan ini…Ayah yang sangat tabah dan sabar menghadapi mehnah kehidupan serta kerenah ummi…Ayah yang banyak berkorban untuk `Ukasyah dan juga `Baby U`…Ayah yang sentiasa bersama ummi di kala suka dan duka…Ayah yang sentiasa menemani ummi sejak pemergian `Ukasyah…Ummi ayah sangat tagihkan redha Allah…Moga baitul muslim yang dibina ini dilembayungi rahmat Allah…Ummi ayah juga berdoa agar anak-anak ummi ayah menjadi anak-anak yang soleh solehah…Menjadi da`ie…Mengamalkan islam dalam segenap kehidupan ini…Menyambung kerja dakwah yang masih tidak selesai dan tiada penghujungnya….Ummi sayang kalian semua…