Pernah terbaca kenyataan seorang yang dikenali ramai, dia tidak akan beri anaknya bertudung tanpa kefahaman. Tapi Ummi punya pendapat yang berlainan. Masakan anak- anak akan faham jika tidak dididik dan dibiasakan dari kecil. Menutup aurat wajib, bukan ada pilihan mahu atau tidak. Ianya, antara dosa dan pahala, syurga atau neraka. Mahukah kita membiarkan anak-anak menanggung dosa. Pasti tiada siapa mahu anaknya menjadi penghuni neraka.
Anak-anak zaman ini hidup dalam cabaran yang banyak, yang sukar untuk ibu bapa menjangka. Sebelum dia pandai punya keinginan itu dan ini, lebih baik kita tarbiyyah dia. Kebiasaan dan keterpaksaan membuahkan kekuatan dan kefahaman, percayalah. Aku pernah melaluinya. Aku belajar dari pengalaman.
Ummi dan abah membiasakan aku menutup aurat dari kecil, sehingga aku tak dapat menjawab soalan umur berapakah mula bertudung. Ummi abah amat mudah, tak pernah menghalang itu dan ini, syaratnya, "menutup aurat". Ummi ku bertudung labuh, tapi tak pernah suruh aku seperti dia sebab katanya, yang wajib menutup aurat dalam apa cara sekalipun. Hidayah Allah beri kepadaku sewaktu tingkatan 1. Mulai itu, aku inginkan kesempurnaan dalam menutup aurat. Terima kasih Allah, terima kasih atas hidayahMu ke atas hambaMu ini.
Aku dan abu ukasyah sentiasa inginkan yang terbaik buat Puteri kami ini. Ini adalah usaha-usaha kecil dalam mentarbiyyah Haniyya, selebihnya semua atas keizinanMu jua. Kami hanya berusaha.
Setakat ini Haniyya suka bertudung, tapi bila panas atau berpeluh kami tanggalkan. Juga telah terbiasa keluar rumah, pakaikan Haniyya tudung. Uwais juga pandai ambilkan tudung adik. Pernah beberapa kali aku terlupa dan abu ukasyah menegur aku, " Haniyya tak pakai tudung?" . Aku menjawab dengan perasaan malu.;)